Bukit Aman Arah Najib Serah Bukti Selepas Tuduh Lhdn Guna Dokumen Palsu
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak menyerahkan dokumen berkaitan laporan dibuatnya terhadap Lembaga  Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
															 																					 									 							 					 						Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman  mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan  dokumen berkaitan laporan dibuatnya terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri  (LHDN) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Laporan polis itu mendakwa, saman tuntutan cukai yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan berkenaan bermotifkan politik.
Memetik kenyataan kepada BHOnline, Pengarah JSJK Datuk Kamarudin Md  Din, mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat Najib terhadap LHDN,  kelmarin.
“Pada masa ini, pihak polis sudah meminta Najib mengumpulkan segala  dokumen yang dimilikinya sebagai bukti untuk kita melakukan siasatan.
“Bagaimanapun, tiada tempoh masa diberikan kepada beliau untuk menyerahkan segala dokumen kepada pihak polis,” katanya .
Kamarudin berkata, siasatan sedang dijalankan dan pihak polis juga sedang berusaha mendapatkan segala butiran dan maklumat lain.
Najib sekarang ini berdepan proses mahkamah setelah Mahkamah Rayuan  semalam menolak permohonan beliau dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk  membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuntutan  saman cukai ke atas mereka.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN  untuk membuat keputusan ringkas dalam tuntutan saman cukai mereka  terhadap Najib dan Nazifuddin, yang masing-masing bernilai RM1.69 bilion  dan RM37.6 juta.
LHDN kini sedang menunggu proses kemuflisan ke atas Ahli Parlimen  Pekan itu dan anaknya dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala  Lumpur.
Bagaimanapun, Najib memuat naik kenyataan menerusi akaun Facebook  miliknya kelmarin, mendakwa ada pegawai LHDN dan ahli politik yang  menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu untuk  menganiaya dirinya.
Tidak pasti sama ada dokumen palsu yang didakwa Najib itu telah  ditunjukkan kepada mahkamah ketika perbicaraan kesnya dengan LHDN.
“Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya  bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya tiga kali  disiasat sejak 2018.
“Malah, mereka sendiri akui selepas tiga kali siasatan itu dijalankan  dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang  dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap  saya.
“Berdasarkan maklumat serta bukti kukuh saya terima, saya telah  membuat laporan polis terhadap LHDN tengah hari ini sebab saya  dimaklumkan secara sahih bahawa pegawai-pegawai terbabit serta ahli-ahli  politik tertentu dipercayai dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen  192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM  yang membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu,” kata  Najib.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/bukit-aman-arah-najib-serah-bukti.html