Boleh Pula Main Meriam
NOOR AINON MOHAMED    

Tiga lelaki ditahan polis ketika leka bermain meriam karbaid di Kampung Gajah semalam
      PASIR SALAK - Tindakan tiga rakan 'meraikan' kelonggaran  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain meriam karbaid  mengundang padah apabila ditahan polis dalam satu pemeriksaan di Padang  Astaka Desa KPMP, Kampung Gajah semalam.
   Ketiga-tiga  lelaki berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan  anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak  Tengah kira-kira jam 10.30 malam.
 Ketua Polis Daerah Perak  Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika pemeriksaan dibuat,  kesemua mereka sedang leka bermain meriam karbaid.
   "Apabila ditanya sebab berada di padang awam tersebut, mereka tidak dapat memberi alasan yang kukuh.
 "Siasatan  seterusnya mendapati mereka telah bermain meriam karbaid di situ sejak  jam 9 malam lagi dan sempat melepaskan empat das tembakan sebelum  ditahan," katanya.
 Beliau berkata, pemeriksaan fizikal ke atas semua tangkapan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
 Katanya,  polis kemudiannya merampas satu paip PVC dan satu paip simen yang telah  diubah suai, satu batang kayu untuk mencucuh meriam, dua kayu diubah  suai bersambung dengan mangkuk keluli di hujungnya.
 "Turut  dirampas satu bekas plastik mengandungi serbuk putih disyaki karbaid,  satu botol plastik berisi cecair kuning disyaki diesel dan satu guni  plastik digunakan untuk menutup lubang meriam.
    "Semua peralatan ini disyaki digunakan oleh ketiga-tiga tangkapan untuk bermain meriam karbaid," katanya.
 Menurutnya,  ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai juruteknik elektrik dan peniaga  tidak memiliki sebarang rekod lampau, saringan air kencing juga  negatif.
 "Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan  1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau  denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
 Barudin  meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat  berkaitan penjualan atau aktiviti bermain mercun dan meriam.
 "Kita tidak akan berkompromi kepada peniaga dan orang ramai yang terlibat kerana aktiviti ini membahayakan keselamatan awam.
 "Di peringkat IPD juga telah ditubuhkan satu pasukan khas untuk memantau aktiviti ini," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/boleh-pula-main-meriam.html