Bila Di Bawah Teruskan Melantai
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
2-3 minggu penghabisan tahun 2019 dan 2 minggu awal tahun 2020 ni, memang banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui. Ada banyak projek yang tergendala disebabkan beberapa faktor termasuklah faktor peribadi yang tak dapat dielakkan.
Perkara ini memang tak bagus untuk jangka masa panjang, tetapi sebagai manusia biasa, aku tak dapat nak lari daripada perkara sebegini untuk berlaku. Aku masih berusaha untuk kekal menjadi manusia yang waras dan meneruskan kehidupan seperti yagn sepatutnya.
Menghadapi ujian dalam hidup itu sudah menjadi lumrah, jika nak dibandingkan dengan situasi yang aku perlu hadapi hampir 11 tahun yang lalu, ianya lebih berat dan menduga jiwa dan raga.
Ujian untuk kita terus melantai
Ujian dalam kehidupan kita sebagai umat islam ni ada satu tujuan utama, iaitu untuk melihat sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Adakah ketika kita ditimpa ujian, kita kembali kepadaNya atau sebaliknya. Jika kita semakin jauh daripada Allah, maka rugilah kita sebagai umat islam.
Andai kita kembali kepadaNya walaupaun pada awalnya kita telah lupa atau leka, itulah sebaik-baik ujian dalam kehidupan. Buat masa ini, aku menganggap ini semua sebagai satu lagi episod dalam kehidupan untuk aku belajar dan terus belajar.
Memang mustahil untuk boleh belajar semua ilmu dalam dunia ini, kerana ilmu kurniaan Allah itu sangat luas skopnya, dan atas sebab itu kita saling memerlukan antara satu dan lain. Kita mungkin mahir dalam satu dua perkara, tetapi kita tidak akan mampu untuk mahir dalam semua perkara. Itu adalah sesuatu yang mustahil akan berlaku.
Teruskan melangkah walau sesusah mana pun ujian yang diterima
Tidak akan ada ujian yang tidak boleh kita lalui selagi mana kita bersabar dan yakin dengan janji Allah. Di sebalik setiap kesusahan dan kepayahan itu, pasti ada kesenangan dan kebahagian.
Cuma mungkin kesenangan itu akan kita nikmati selepas kita meninggalkan dunia dan alam fana ini. Alangkah indahnya andai kita dapat mengecapi kejayaan ketika menerima buku amalan di tangan kanan. Ketika itu adalah masa dan saat ketika kita boleh benar-benar meraikan kejayaan yang akan kekal abadi.
Semoga kita semua akan dapat menjadi hamba Tuhan yang beriman dan bertaqwa serta sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan di muka bumi Allah ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/bila-di-bawah-teruskan-melantai/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=bila-di-bawah-teruskan-melantai