Beza Pasrah Dan Redha Saat Kehilangan
Al-Fatihah buat arwah Ayah yang disayangi
(RAMLI BIN MAN)
Assalamualaikum Selamat Sejahtera semuanya....
Masya Allah,lama sudah rasanya jari jemari ini tidak menitipkan suatu catitan di sini...Rindu, ya. Sangaaaat rindu untuk berkongsi segala pengalaman.
Untuk makluman semua, diri ini masih lagi masih dalam fasa pemulihan emosi.Ya. Emosi yang bagi sesetengah orang agak ringan, tapi bagi saya amat berat sedikit rasanya.
Saya telah kehilangan ayah yang dikasihi tanggal 26 Jun 2020 yang lalu.. Saat negara kita dalam fasa PKPP.
Alhamdulillah, diberikan kesempatan untuk pulang menziarahi arwah ayah, saat saya juga menunggu hari untuk melahirkan cahaya mata yang ke lima. Saat itu, saya bertarung dengan emosi namun perlu mengawal diri, kerana tidak mahu asbab emosi yang terlebih sedih akan memberi kesan pada bayi yang dikandung. Alhamdulillah, atas segala nikmatNya juga, telah selamat melahirkan seorang mujahidah pada pertengahan Julai 2020.
Saat itu, saya merasakan saya telah redha akan kehilangan insan yang saya sayangi. Namun, acapkali, pedih, sakit rasanya hati, emosi ni saat terkenangkan arwah. Pelbagai cara saya cuba untuk menghilangkan rasa tersebut, namun tidak berjaya. Ini disebabkan perasaan itu akan datang secara tiba-tiba.
Tahun 2021 menjelma, dan saya membuat keazamana dalam diri bahawa saya perlu kuat dan Redha. Namun, baru-baru ini juga, saya telah kehilangan abang ipar. Insan yang juga banyak menyumbang jasa membantu menjaga ayah saat hidupnya. Hanya dari kejauhan kami sekeluarga mengirimkan bacaan doa semoga segala urusan dipermudahkan olehNya..
Selepas itu segalanya terjadi.
Hati saya dijentik untuk sama-sama menghadiri sesi bacaan Yaasin bersama kejiranan. Kami sama-sama mengadakan sesi tahlil,diniatkan dan dalam masa yang sama mendoakan kesejahteraan, kesihatan, dan dipermudahkan segala urusan semua muslimin dan muslimat. Saya menitipkan doa buat arwah ayah yang dikasi dan abang ipar yang beru meninggalkan kami. Saat kalimat Yaasin pertama dibaca, airmata sudah mulai menitis. Rindu terlepas buat sang ayah. Diharapkan apa yang diniatkan sampai padanya. Kemuncaknya, saat doa dibaca, nama disebut, airmata menitis laju. Seumpama air terjun rasanya. Dibiarkan sahaja, dan pada ketika itu ringan rasanya emosi ini.
Beberapa hari kemudian, saya ternampak ayat ini.
Pasrah ialah menyerah diri atau jiwa terhadap sesuatu keadaan yang berlaku. Biasanya kita sering terdengar ayat, “Aku pasrah dengan apa yang sudah berlaku. Tiada apa yang aku boleh lakukan lagi.”
Perkataan redha berasal daripada bahasa Arab.
Redha ialah penerimaan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi dengan ikhlas atau dengan rela hati terhadap apa yang telah ditakdirkan Tuhan. Ayat yang sering diucapkan ialah, “Dia redha dengan pemergian anaknya. Hidup mesti diteruskan.“
(rujukan : http://www.myhealth.gov.my/pasrah-atau-redha/)
Rupa-rupanya saya bermula dengan PASRAH dan ianya mengambil masa sebelum ianya berubah menjadi REDHA.
Ada beberapa perkara yang saya belajar:
Untuk redha, bagi saya ianya mengambil masa walaupun pada awalnya saya merasakan yang saya telah redha. Seorang dan ramai ada bezanya. Kekuatan secara beramai-ramai lebih jitu berbanding hanya bersendirian.Kasih sayang ibu ayah tidak sesekali akan putus dipertengahan jalan. Biar maut menjadi pemisah, namun doa, amal kebajikan tidak sesekali dilupakan malah menjadi penghubung.Emosi yang sakit akan mebuatkan dirimu tidak bermaya, hilang fokus. Ubatilah emosimu
Doakan saya.....
Perjuangan seorang anak, ibu dan mencuba menjadi terbaik buat keluarga.
Nurulhayati Ramli
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://nurulhayatiramli.blogspot.com/2021/02/beza-pasrah-dan-redha-saat-kehilangan.html