Bersih Desak Ph Pembangkang Kecam Pendirian Mahathir
MALAYSIAKINI
Bersih, mendesak penyokonng kerajaan bersama pembangkang bersama-sama mengkritik Dr Mahathir Mohamad berhubung sikap beliau mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini gerakan pembaharuan pilihan raya itu berkata langkah tersebut jelas merendahkan peranan penyokong kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat yang sepatutnya bertindak sebagai ejen semak dan imbang kepada kabinet.
Kata Bersih mereka kecewa dengan tindakan sepihak diambil perdana menteri untuk mengekalkan anggota parlimen Beluran itu mengetuai PAC walaupun selepas beliau menyertai Bersatu.
Penyertaan itu menjadikan Kiandee sebahagian daripada anggota kerajaan. Lazimnya PAC - yang berperanan sebagai badan pemantau kerajaan - dipengerusikan oleh anggota parlimen pembangkang.
Sebelum ini Kiandee ialah wakil rakyat Umno.
Menurut Bersih bagi memastikan agenda PAC tidak dipengaruhi oleh parti pemerintah, jawatankuasa mesti dipengerusikan wakil pembangkang agar memastikan urusan semak dan imbang dapat dilakukan dengan adil.
Tindakan tersebut kata Bersih merupakan satu lagu pusingan U dibuat Mahathir selepas ikrar sebaliknya dibuat dalam manifesto PH dulu.
Bebaskan institusi awam
"Mandat PAC ialah untuk menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan Ketua Audit Negara.
"PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil menteri kabinet dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan kepada pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai.
"Dengan adanya anggota parlimen pembangkang menjadi pengerusi ia dapat memastikan parti pemerintah tidak boleh mempengaruhi agenda PAC," katanya.
Menurut pertubuhan itu lagi sepatutnya skandal 1MDB menjadi pengajaran utama kepada PH mengenai kepentingan PAC dipengerusikan oleh pemimpim pembangkang.
Pada masa sama Bersih turut mengecam pendirian Kiandee yang enggan melepaskan jawatan tersebut disebabkan perdana menteri berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
"Ia jelas menunjukkan beliau tidak sesuai untuk mempengerusikan PAC," kata Bersih.
Menurut pertubuhan itu lagi jika Mahathir tidak membatalkan keputusannya untuk mengekalkan Kiandee sebagai pengurusi PAC, bukan sahaja kredibiliti kerajaan akan terjejas, bahkan kehormatan parlimen akan tercemar.
"Legasi Mahathir untuk negara - sebelum beliau berehat - seharusnya diingati sebagai langkah mengembalikan kebebasan institusi awam dan bukannya mengekalkan kesetiaan mereka kepada perdana menteri," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/bersih-desak-ph-pembangkang-kecam.html