Bersatu Buka Keahlian Pada Orang Sabah Di Semenanjung
B Nantha Kumar           Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian  partinya hanya kepada orang-orang Sabah yang tinggal di Semenanjung  Malaysia sahaja, maklum Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya
“Bersatu  hanya membuka keahlian kepada anak-anak Sabah yang tinggal di  Semenanjung sahaja. Buat masa ini kita tidak akan bertapak di Sabah.
“Kami  masih hormati rakan-rakan Pakatan Harapan yang berada di Sabah. Kita  tidak akan mengambil keahlian dari Sabah, hanya dari semenanjung  sahaja,” jelasnya.
Menurut Abu Bakar yang juga Setiausaha  Politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebanyak 500 orang  menyerahkan borang penyertaan ahli Bersatu dalam majlis hari ini.
“Mereka  bukan sahaja dari sini. Dari tempat lain pun ada. Jadi, saya serahkan  borangnya ke pusat parti. Mereka akan mengambil keputusan berkenaan  keahlian anak-anak Sabah ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau  berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan borang keahlian  anak-anak Sabah di Wakaf Al-Quran, Bandar Country Homes, Rawang.
Turut  hadir Ketua Bahagian Bersatu Selayang Zulkifli Mohamad serta penganjur  majlis Adzmi KK Juatan, Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu.
Padu bawah satu payung
Dalam pada itu Adzmi berkata penyertaan anak-anak Sabah ke dalam politik antaranya bertujuan menjaga kebajikan mereka
“Keutamaan  kami adalah membawa mereka ke parti Bersatu. Namun, kami juga  mengalu-alukan mereka ingin menyertai parti-parti lain dalam PH.
“Selain memberi ilmu politik kepada anak-anak Sabah yang berada di semenanjung, kami juga menjaga kebajikan mereka.
“Buat  setakat ini kami berjaya mendaftar 2,500 orang Sabah termasuk 500 yang  diserahkan hari ini, lepas ini kami ke Shah Alam dan seterusnya ke  Johor," katanya.
Menurut Adzmi lagi, sebanyak 40,000 orang Sabah  kini bermastautin di Selangor. Manakala, lebih kurang 20,000 orang lagi  menetap di Johor.
“Matlamat kami adalah menyatupadukan mereka ini di bawah satu payung,” jelasnya lagi. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/bersatu-buka-keahlian-pada-orang-sabah.html