Beri Kami Rm1 Bilion Setiap Tahun Kata Km Pulau Pinang Kepada Putrajaya
 Predeep Nambiar

Ketua  Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan persekutuan mesti memberikan ganjaran yang adil kepada negeri itu atas sumbangannya kepada  KDNK.GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meminta  Putrajaya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada negeri itu  setiap tahun, berdasarkan sumbangannya kepada ekonomi.
Memetik sumbangan tahun lalu sebanyak RM94.7 bilion, atau 6.7%  daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), Chow berkata sebagai  penyumbang ke-4 tertinggi dalam negara, kerajaan persekutuan mesti  memberi ganjaran yang adil kepada Pulau Pinang.
Menurut Laporan Prestasi Ekonomi Pulau Pinang 2019 oleh Jabatan  Perangkaan, sebahagian besar daripada RM94.7 bilion datang dari sektor  perkhidmatan (RM48.7 bilion) dan pembuatan (RM40.5 bilion), dengan  pembinaan (RM2.6 bilion), pertanian (RM2.1 bilion) dan perlombongan  (RM200 juta) antara penyumbang lain.
Katanya, negeri ini hanya menerima dana persekutuan sebanyak RM241  juta tahun ini, terdiri daripada sumbangan per kapita tahunan  berdasarkan jumlah penduduk, pemberian bantuan Covid-19 RM15.1 juta, dan  dana pembaikan jalan, antara lain.
“Walaupun kami menghargai dana persekutuan yang diterima,  peruntukannya tidak sebanyak yang kami berikan kepada negara,” katanya  dalam ucapan penggulungannya di DUN hari ini.
Chow turut menekankan perbezaan dana diterima oleh negeri itu, dengan  menyatakan Universiti Sains Malaysia (USM) sahaja menerima peruntukan  RM525 juta tahun lalu, berbanding RM195.1 juta diberikan kepada kerajaan  negeri dalam geran tahunan persekutuan antara 2017 dan Jun 2018.
“Juga, daripada RM6.78 bilion geran diberikan pada 2016, Pulau Pinang hanya menerima 3.18% berbanding 13 negeri lain,” katanya.
Chow berkata, Pulau Pinang meminta dana persekutuan sebanyak RM10  bilion untuk membina laluan Transit Aliran Ringan (LRT) pertamanya untuk  mengurangkan lalu lintas tetapi ditolak.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/beri-kami-rm1-bilion-setiap-tahun-kata.html