Bercuti Ke Pulau Tioman
Saya dan dua teman bercuti di Pulau Tioman selama lima hari dan tujuan utama kami ke sini adalah untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Hampir 20 tahun dulu saya datang ke Pulau Tioman untuk bercuti, maka berputiklah hasrat untuk mendaki Gunung Nenek Semukut satu hari nanti. Kali ini saya cuba merialisasikan impian saya. Kami menaiki feri ke Pulau Tioman dari Jeti Tanjung Gemok dan mengambil masa sekitar hampir dua jam perjalanan. Disebabkan feri dari Tanjung Gemok tidak berlabuh di Jeti Kampung Mukut, maka kami turun di Jeti Kampung Genting dan dari sana kami menaiki bot yang telah sedia menunggu kedatangan kami untuk dihantar ke penginapan
Kami menginap di Tunamaya Resort. Hari pertama sampai, setelah check in kami berehat. Sebelah petang, kami berjalan ke Kampung Mukut. Jarak Tunamaya Resort ke Kampung Mukut sekitar sejam berjalan kaki. Walaupun Tunamaya Resort terletak di Kampung Mukut, namun jaraknya agak jauh dari kampung berdirinya Gunung Nenek Semukut. Petang itu kami bersiar di Kampung Mukut dan untuk pulang ke penginapan, kami menggunakan khidmat sewa motorsikal penduduk tempatan. Kami juga sepakat untuk menggunakan khidmat motosikal ini untuk memudahkan perjalanan kami ke Kampung Mukut memandangkan kami akan sering berkunjung ke sana dalam percutian kali ini
Hari kedua, kami menaiki bot Naga Shuttle untuk ke Kampung Tekek. Di sini kami sarapan dan makan tengahari. Selain kedai bebas cukai yang sepi tiada apa yang menarik perhatian kami untuk berlama-lama di sini. Bot Naga Shuttle beroperasi dua kali sehari dengan tambang RM40 sehala buat masa sekarang.
Di sebelah petang dan malam kami cuma berehat di pantai dan kawasan resort
Hari ketiga adalah tujuan utama kami ke Pulau Tioman. Kami bersedia awal pagi menuju ke Kampung Mukut untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Kami keluar jam 07:00 pagi, trekking sekitar 10 minit menuju tempat motosikal menunggu dan meneruskan perjalanan ke Kampung Mukut. Kawan-kawan baru yang membawa motosikal menyarankan kami bersarapan di Warong Roti Canai Padang Kampung Mukut sebelum memulakan pendakian. Saya rekoman roti canai di warong ini kepada pembaca. Kami memulakan pendakian pada jam 08:30 pagi ditemani Amy, guide tempatan Kampung Mukut
Kami mendaki Gunung Nenek Semukut melalui Uncle Sam Trails, jalur yang mempunyai 10 check point yang boleh didaki secara ringkas tanpa penggunaan peralatan teknikal. Jalur agak mendatar di permulaan pendakian namun semakin menegak setelah check point 4 sehingga ke check point 10. Kami mendaki secara santai sambil bercerita dan merakam gambar. Setelah 3 jam mendaki kami sampai di check point 9 di mana papan tanda Gunung Nenek Semukut 703mdpl dipacak. Kami akhiri pendakian gunung ini sehingga ke check point 10 iaitu tempat tertinggi yang boleh didaki tanpa penggunaan peralatan pendakian teknikal
Kami kemudian terus turun sehingga ke pintu gerbang Dragon Horns dan sampai di sana sekitar jam 13:40 petang. Kami makan tengahari di Kampung Mukut dan selepas itu isteri Amy membawa kami mandi di Sungai Temu Jodoh Kampung Mukut
Selepas mandi kami dijemput menghadiri majlis jamuan makan penduduk Kampung Mukut. Kebetulan kami di sana semasa majlis diadakan. Saya merasa serasi dengan keramahan penduduk Kampung Mukut sehingga terbit rasa ingin datang lagi ke kampung ini di masa akan datang. Setelah menjamu selera, kami pulang ke penginapan dengan menaiki motosikal sewa. Hari keempat, kami mengambil pakage snorkling dari Kampung Mukut. Kami dibawa ke empat tempat persinggahan dalam pakage ini. Tempat pertama, kami dibawa snorkling ke Pulau Rengis. Kami snorkling sepuasnya mengikut masa kami di sini memandangkan kami menyewa sebuah bot
Tempat kedua adalah Taman Laut. Di sini terdapat gerai makan, tandas dan muzium. Kawasan untuk kanak-kanak berenang luas dan mendatar. Setelah melawat Taman Laut, pemandu bot bertanya samada kami ingin berhenti di Kampung Tekek yang menjadi destinasi ketiga dalam jadual kami. Memandangkan kami telah ke Kampung Tekek tempoh hari, jadi destinasi ketiga ini kami langkau dan kami terus ke destinasi keempat
Destinasi keempat, kami dibawa snorkling ke Pulau Tomok yang berhadapan dengan Kampung Paya. Kami snorkling lagi di sini dan pakage snorkling kami berakhir setelah selesai snorkling di tempat keempat ini. Memandangkan kami mempunyai banyak masa, kami meminta pemandu bot menghantar kami ke Kampung Asah untuk ke Air Terjun Asah. Pemandu bot menerangkan kepada kami cara dan arah ke air terjun tersebut
Kami bertiga meneruskan percutian kami di Kampung Asah untuk mandi manda. Dari Jeti Kampung Asah, kami berjalan sekitar 20 minit melalui trek yang dibina. Terdapat dua tempat penginapan percutian yang sedang dibina di Kampung Asah ini.
Trek ke Air Terjun Asah jelas, bersih dan terjaga. Kami bertiga berjalan melalui jalur bersimen sehingga ke Air Terjun Asah. Di sini kami mandi manda semahunya
Terdapat tandas, wakaf, bangku dan meja di kawasan Air Terjun Asah ini. Setelah puas mandi manda di sini, kami terus pulang ke Kampung Mukut dengan berjalan kaki mengikuti arah papan tanda yang diterangkan oleh pemandu bot semasa menghantar kami di Jeti Kampung Asah tadi. Sekitar 30 minit berjalan kaki melalui jalan mini tar, kami sampai di Kampung Mukut. Kami berehat dan minum petang sebelum meminta kawan-kawan baru kami menghantar kami pulang ke Tunamaya Resort petang itu
Hari kelima, kami berangkat pulang ke tanah besar sekitar jam 10:00 pagi dari Jeti Kampung Genting ke Jeti Tanjung Gemok. Saya mungkin akan datang lagi ke Pulau Tioman yang banyak cerita dan banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini pada masa akan datang. Pada masa itu, saya mungkin akan mendaki Gunung Kajang pula
Contack Kampung Mukut:1. Amy +60 13-713 9203 (guide gunung, diving, snorkling, penginapan dan percutian Kampung Mukut)2. Fidah +60 13-912 7565 (operator percutian Kampung Mukut, Tioman)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2023/10/bercuti-ke-pulau-tioman.html