Viral Empat Sekeluarga Hilang Setelah Bercuti Di Pulau Perhentian Akhirnya Dijumpai Selamat
Ahli keluarga hilang secara tiba-tiba menjadi satu mimpi buruk yang tak boleh dibayangkan dengan kata-kata. Tentunya misteri kehilangan tersebut ingin dirungkai secepat mungkin dan menemui jawapan yang pasti.
Namun inilah yang terjadi pada sebuah keluarga di mana polis mengesahkan menerima laporan empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian baru-baru ini.
Memetik kenyataan di Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa iaitu dibuat pengadu pada Isnin setelah gagal menghubungi mereka sejak 30 September lalu.
“Siasatan telah dijalankan dan mendapati kesemua mangsa yang merupakan dua anak, ibu serta adik lelaki pengadu telah pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan telah menginap di Senja Bay Resort sebelum mendaftar keluar jam 8 pagi pada 1 Oktober lalu.
“Siasatan juga mendapati kesemua mangsa ada mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 September lalu dan pengendali bot memaklumkan telefon ibu dan adik pengadu telah terkena air dan tidak dapat dihidupkan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Abdul Rozak berkata, mangsa telah menaiki bot sekitar jam 8 pagi dan tiba di jeti Kuala Besut sekitar jam 9 pagi.
Katanya, mangsa juga ada memberitahu akan ke Batu Buruk di Kuala Terengganu setelah keluar dari Pulau Perhentian.
Keratan tiket menunjukkan mangsa telah keluar dari Pulau Perhentian pada 1 Oktober lalu. FOTO: Ihsan Polis
“Pihak polis diberitahu mangsa menggunakan kereta jenis Proton Saga BLM warna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan mangsa telah dikesan bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah jambatan Seberang Kastam sekitar jam 10.06 pagi pada 1 Oktober lalu.
“Bagaimanapun, sehingga kini kesemua mangsa masih gagal dihubungi dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan kesemua mangsa,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nur Izzati Arina di talian (017-3792157) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut (09-6956222) atau mana-mana balai polis berdekatan.
Katanya, orang ramai diberi amaran agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan.
Pada Isnin, tular hantaran oleh seorang pemilik akaun Facebook yang meluahkan kebimbangan mengenai kehilangan dua anak, ibu serta seorang adik lelakinya yang gagal dihubungi sejak Sabtu lalu.
Akhirnya Ditemui Selamat
Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian sebelum ini dilaporkan sudah ditemui selamat.
Berita berkenaan dikongsikan oleh ayah kepada dua orang kanak-kanak, iaitu antara yang dikhuatiri hilang melalui perkongsian Facebooknya, Ah Pek.
”Alhamdulilah ibu mertua, adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai. Terima kasih pada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai”.
”Tanpa bantuan anda siapalah saya. Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan, menyampaikan.
”Semoga Tuhan membalas jasa baik dan niat murni tuan-tuan semua. Alhamdulilah, syukur,” katanya lagi.
Setakat ini, pengguna Facebook tidak memberitahu sebab semua ahli keluarganya gagal dihubungi dan apa yang berlaku terhadap mereka dalam beberapa hari ketika kehilangannya.
The post Viral Empat Sekeluarga Hilang Setelah Bercuti Di Pulau Perhentian, Akhirnya Dijumpai Selamat! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/empat-sekeluarga-hilang-setelah-bercuti-di-pulau-perhentian-timbul-tanda-tanya/