Bentuk Kerajaan Perpaduan Dengan Majoriti Sebenar
Dijangkakan isu pandemik yang menular serta krisis ekonomi akan terus menjadi dua cabaran utama sehingga 1 Ogos 2021. Dalam keadaan ini, terdapat risiko amat besar jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat dan meruncingkan lagi situasi kemajuan sosioekonomi negara.
Kita boleh menjangkakan ramai orang terancam dengan aktiviti berkaitan pemilihan wakil rakyat dalam sistem demokrasi negara.
Tiada pakar perubatan yang boleh memastikan jika pilihan raya diadakan pada akhir 2021 atau awal 2022, ia dapat mengelakkan krisis kesihatan yang boleh memusnahkan ekonomi dan masyarakat di negara ini.
Bagaimanapun, kita faham walaupun dalam keadaan genting ini, semangat sistem kenegaraan kita masih perlu berjalan sebaik mungkin. Amat penting bagi rakyat menaruh keyakinan penuh terhadap sistem pemerintahan di negara ini.
Persoalannya adalah bagaimana kita boleh melahirkan kepimpinan politik yang diterima majoriti rakyat tanpa mengharungi proses pilihan raya umum yang bakal membawa malapetaka terhadap bidang sosial dan ekonomi negara.
Cabaran ini amat meruncing dengan dinamik politik masa kini yang tidak mempunyai sebuah kerajaan dengan sokongan majoriti jelas. Terdapat beberapa cadangan bagaimana penyelesaian politik dapat diwujudkan dalam keadaan darurat dan ancaman pandemik.
Ada beberapa suara rakyat prihatin yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan secara demokratik apabila Parlimen mula bersidang. Diharapkan ketika itu akan ada cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dapat memberi keyakinan kepada rakyat sambil memerangi Covid-19 serta membaik pulih ekonomi negara.
Cadangan proses pembentukan kerajaan perpaduan
Kami ingin mengajukan beberapa langkah mudah untuk pembentukan kerajaan perpaduan yang menghormati Perlembagaan, diyakini rakyat dan telus.
Pertama, Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa eksekutif untuk menangguhkan pilihan raya serta memberi laluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan di bawah kuasa seorang perdana menteri yang menerima sokongan majoriti 222 Ahli Parlimen.Setiap Ahli Parlimen menulis nama calon yang layak menjadi perdana menteri secara rahsia. Pemilihan sebegini mengurangkan ugutan dan tindakan parti sendiri. Nama lima Ahli Parlimen yang paling banyak dicalonkan akan dinyatakan tanpa mendedahkan hasil kiraan undi. Selepas itu, proses pusingan kedua undian dibuat.Pemilihan secara rahsia juga dibuat bagi pusingan kedua ke atas kelima-lima nama tersebut, dengan hanya satu undi untuk setiap Ahli Parlimen. Calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi perdana menteri.Jika tiada majoriti jelas, maka undian pusingan ketiga akan dilakukan ke atas dua calon yang mendapat undi tertinggi.Bagi pusingan ini, undian secara terbuka perlu dibuat untuk mengetahui sokongan majoriti sebenar Ahli Parlimen bagi calon perdana menteri yang menang.Setelah sah dipilih, maka perdana menteri akan memilih ahli Kabinetnya. Bagi memastikan wujud kerajaan perpaduan, 1/3 ahli Kabinet perlu datang daripada pihak pembangkang. Ini bermakna, perdana menteri akan hanya dapat memilih 2/3 ahli Kabinet daripada parti sokongannya atau pun kurang daripada jumlah itu, jika beliau memilih untuk melantik beberapa ahli Kabinet dalam kalangan profesional dari luar Parlimen yang secocok kepakarannya serta berintegriti.Bagi memastikan keseimbangan perwakilan wilayah, dua timbalan perdana menteri boleh dilantik.Kabinet perpaduan ini akan memerintah sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tarikh sesuai.Secara ringkasnya, cadangan yang diutarakan dapat memastikan:
i) Negara tidak terancam dengan pilihan raya diadakan pada masa tidak sesuai.
ii) Perdana menteri dan Kabinetnya mendapat mandat majoriti dan kekal sehingga PRU15.
iii) Akan wujud sebuah kerajaan lebih efektif dan berpadu bagi menyelesaikan masalah negara sehingga PRU15.
Kami berharap proses yang digariskan ini dapat membentuk kerajaan perpaduan yang diterima secara umum oleh rakyat, stabil dan efektif dalam konteks krisis yang melanda negara.
Kami bersedia menerima cadangan balas dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang lebih berkualiti bagi menangani cabaran dihadapi negara pada saat genting ini. - FMT
Prof Tajuddin Mohd Rasdi ialah pensyarah Universiti UCSI dan Lim Teck Ghee adalah bekas saintis sosial kanan Bank Dunia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/06/bentuk-kerajaan-perpaduan-dengan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Must+Kn