Bekas Pesakit Covid 19 Boleh Derma Darah Selepas Pulih
HARAKAH DAILY 

             KOTA BHARU: Bekalan darah di Hospital Raja Perempuan  Zainab II (HRPZ II) kini hampir kritikal yang dianggap hanya mampu  bertahan beberapa hari sahaja lagi.
Pengarah HRPZ II Datuk Dr  Selasawati Ghazali berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  sekarang pihak Tabung Darah tidak boleh lagi keluar untuk mengadakan  program menderma darah.
    Oleh itu katanya orang ramai dipelawa tampil menderma darah bagi mengisi tabung darah hospital.
   “Orang ramai yang berminat boleh menghubungi pihak kami untuk  menderma bagi mengisi tabung darah yang semakin meruncing sekarang.
   “Kami juga turut menghubungi rakan-rakan daripada pertubuhan bukan  kerajaan (NGO) untuk tampil membantu,” katanya selepas majlis penyerahan  pelitup muka di lobi HRPZ II di sini kelmarin.
   Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan Dato’ Syamsuri Awang Mat.
   Dr Selasawati juga berkata, bekas pesakit Covid-19 juga boleh menderma darah selepas mereka pulih sepenuhnya.
   “Ini kerana keadaan mereka yang agak lemah dan selepas tiga bulan melalui fasa pemulihan, barulah boleh menderma darah.
   “Kita berterima kasih kepada pesakit Covid-19 atas usaha mereka  menderma darah kerana keutamaan kita adalah membantu pesakit kembali  pulih,” ujarnya.
   Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pesakit bukan Covid-19 tampil untuk menderma darah.
   Malah beliau berkata, penerima vaksin Covid-19 pula bebas untuk menderma darah.
   Bagaimanapun kata beliau pihaknya akan melakukan ujian kesihatan terhadap setiap individu yang tampil mahu menderma darah.
   Pada majlis itu Shamsuri menyampaikan 2,780 keping pelitup muka untuk kegunaan kakitanga HPRZ ll.
   Kata beliau sumbangan berkenaan diberi sebagai tanggungjawab sosial kepada petugas barisan hadapan.
   “Kita mendoakan semoga semua petugas barisan hadapan sentiasa sihat  dan dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/bekas-pesakit-covid-19-boleh-derma.html