Beberapa Trik Whatsapp Yang Menarik Untuk Dilakukan
WhatsApp menjadi penghubung dan medium komunikasi paling popular di Malaysia. Ia bukan kerana aplikasi ini mempunyai ciri yang banyak, kerana kalau hendak dibandingkan dengan Telegram, WhatsApp ketinggalan jauh. Tetapi ia berjaya menjadi pelopor aplikasi permesejan di Malaysia lalu berkembang sebagai aplikasi utama.
Saya lama berharap agar satu hari nanti, WhatsApp sudah tidak perlu lagi buat sebarang fail sandaran, sepertimana Telegram yang menyimpan kesemua sejarah bual di storan awannya. Ini satu-satunya ciri yang masih belum diimplimentasi dan ia agak menjengkelkan.
Pun begitu, saya tidak dapat meninggalkan WhatsApp kerana tiada ahli keluarga yang tegar menggunakan Telegram. Kawan-kawan pula lebih selesa menggunakan WhatsApp, kecuali kawan yang termasuk kategori nerd, ahli forum XDA, dan dari jenis kaki godek telefon. Ini, memang kerja mereka hanya melepak di dasar group Telegram sahaja.
Kembali ke WhatsApp, masih terdapat beberapa trik menarik yang kita dapat lakukan. Saya cuba senaraikan beberapa trik tersebut untuk dicuba sendiri oleh anda. Harapnya dapatlah mengubat lara di hati sementara menanti ciri baru yang lebih menarik dimasukkan.
Mari kita lihat, apakah trik-trik tersebut:
1. Mendengar Nota Suara Seperti Panggilan Telefon
Memang agak sukar juga hendak mendengar nota suara apabila kita berada dalam bilik mesyuarat, atau di tempat-tempat lain yang akan mengganggu konsentrasi orang lain. Tetapi dengan trik ini, anda tidak perlu berasa bimbang lagi untuk mendengar nota suara dari rakan-rakan.
Caranya ialah dengan mendekatkan telefon ke telinga sepertimana anda menjawab panggilan. WhatsApp secara automatik akan mengesan pergerakan ini lalu memainkan nota suara tersebut pada pembesar suara di atas, tidak ubah seperti anda sedang berbual melalui panggilan telefon juga.
Menarik bukan?
2. Mengetahui Pihak ‘Sebelah Sana’ Sudah Baca Atau Belum Walaupun ‘Blue Tick’ Tidak Diaktifkan
Tips ini sudah lama saya gunakan, terutamanya untuk kawan-kawan yang suka nyahaktif fungsi ‘blue tick’ atau tanda/centang biru. Caranya juga adalah mudah. Anda hantarkan pula nota suara kepada individu tersebut. Walaupun mereka sudah menyahaktif tanda biru, ia masih akan keluar untuk nota suara.
WhatsApp, silalah baiki ‘ralat’ ini ya.
3. Pin Perbualan Penting
Memang agak rimas juga jika anda ada dalam group yang aktif 24 jam, seakan ahlinya tak reti hendak tidur. Nak keluar, rasa ‘rugi’. Nak terus duduk di dalam, terasa perlu lakukan sesuatu kerana bahagian perbualan yang lebih penting dah jauh terbenam di bawah.
Cara untuk elak dari berlakunya perkara ini ialah dengan pin-kan perbualan tersebut, tidak kiralah sama ada dari individu mahupun group. Ini akan membuat ia sentiasa berada di atas dan anda tidak akan tertinggal lagi sebarang mention.
4. Periksa Perbualan Mana Paling Banyak Menggunakan Storan
Kadang-kadang terdapat senarai perbualan yang kita tidak sedar menggunakan banyak storan pada peranti kita kerana banyak menghantar dokumen mahupun gambar/video. Tambahan pula jika kita tidak menutup fungsi ‘auto download’, memang bersepahlah pelbagai data tidak penting di storan kita.
Nak periksa perbualan mana yang lebih banyak menggunakan storan pun tidak susah. Cuma perlu buka Settings > Data and storage usage > Storage usage. Dari sini, anda boleh pilih mana-mana perbualan dan padamkan data yang anda sudah tidak mahukan ia lagi.
5. Buat Kekunci Pintasan Di Depan (Home)
Ini juga antara tips yang dapat memudahkan anda mengakses kepada perbualan penting. Dari bahagian Home Screen, anda tekan skrin beberapa saat dan klik pada Widgets (atau Add Widgets – bergantung kepada launcher apa yang anda gunakan).
Dari situ cari WhatsApp Chat, dan pilihlah mana-mana perbualan yang anda hendak ia duduk di depan Home Screen. Selepas ini, anda hanya tinggal klik saja pada kekunci pintas tersebut, dan anda akan terus masuk ke perbualan yang dimaksudkan.
6. Typewriter Font
Anda boleh gunakan font Typewriter walaupun.. errr.. tiadalah apa yang menarik sangat. Tapi ianya bak kata orang Kuala Kangsar, ‘intriguing’. Anda gunakan ia hanya dengan menambahkan simbol ` sebanyak tiga kali di permulaan dan penghujung perkataan/ayat.
Untuk italic, bold, dan strikethrough pula, begini caranya:
_omghackers_ – letakkan underscore di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi italic.
*omghackers* – letakkan asterisk di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi bold.
~omghackers~ – letakkan tilde di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi strikethrough.
7. Letakkan Perbualan Kurang/Tidak Penting Dalam Archive
Perbualan yang anda rasakan sudah tidak lagi memberi impak signifikan kepada hidup anda, bolehlah terus dipadam. Tetapi kalau masih ada rasa ragu sama ada ia penting atau tidak, atau anda ada apa jua alasan untuk belum dapat memadamkannya, maka masukkan saja ia ke dalam ruangan arkib.
Anda hanya perlu tekan beberapa saat pada perbualan yang mahu diarkibkan, kemudian klik sahaja pada logo arkib di atas. Chat tersebut akan ‘hilang’ serta-merta dari pandangan. Untuk mengaksesnya semula, anda skrol ke bawah. Ia terletak di bawah sekali (jangan risau, ia tidaklah ‘hilang’ 100%. Ia masih ada, cuma tidak menyemakkan pandangan mata sahaja).
Baiklah. Cukup dulu setakat itu. Jika ada lagi trik-trik WhatsApp lain yang menarik, saya akan terus kongsikan di sini. Kalau anda juga ada yang lebih menarik, bolehlah komen di ruangan yang disediakan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/beberapa-trik-whatsapp-yang-menarik-untuk-dilakukan/