Bazar Ramadan Beralih Ke Dalam Talian
Kemungkinan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan atau diperkenalkan semula yang mendorong beberapa kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan mengalihkan tumpuan peniaga menggunakan kaedah atas talian bagi pesanan pelanggan.
Menghadapi kesukaran itu beberapa kumpulan peniaga mula menyusun langkah pemasaran melalui Facebook di daerah masing-masing.
Dalam tinjauan The Malaysian Insight beberapa peniaga di Utara Semenanjung Malaysia mula membuat iklan perniagaan dalam talian walaupun Ramadan hanya akan bermula pada minggu akhir bulan ini.
Pengarah Urusan Gigau Food and Beverages Aniza Isahak berkata sejak PKP berkuatkuasa perniagaan minumannya terjejas teruk dan pihaknya bimbang keadaan ini berlarutan sehingga Ramadan.
Atas dasar itu, beliau yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah membuka satu kumpulan Facebook yang mengumpulkan peniaga di daerah itu supaya mereka dapat terus berniaga pada bulan puasa nanti.
“Sekarang ini saya buka kumpulan Facebook Bazaar Ramadhan Kuala Ketil Online yang sudah mengumpulkan lebih 100 peniaga dan 5,000 pembeli.
“Kumpulan ini sebagai satu tapak mereka berniaga. Saya beri ruang kepada sesiapa untuk sertai, malah bantu peniaga daripada segi pemasaran, contohnya buat iklan dan video produk,” katanya.
Aniza mengendalikan perniagaan Teh Ais Mengigau yang popular di sekitar wilayah utara, dari Perlis ke utara Perak.
Aniza berkata idea bazar Ramadan dalam talian itu timbul selepas perniagaannya sendiri terjejas sejak PKP dilaksanakan.
“Satu bazar mungkin ada 100 hingga 200 peniaga. Kalau 10 bazar, dah ada 2,000 peniaga. Katakan, satu peniaga ada seorang, dua atau tiga pekerja.
“Keadaan Covid-19 ini, bukan jejaskan peniaga kecil saja, malah pekerja juga boleh hilang kerja,” tambahnya.
Aniza bercadang menjadikan kilang minuman tehnya sebagai pusat penghantaran makanan kepada pelanggan.
“Kebanyakan peniaga masing-masing ada penghantar makanan sendiri, tapi kami juga rancang untuk sediakan servis penghantaran makanan dengan memilih 10 menu yang menjadi pilihan ramai.
“Saya sediakan perkhidmatan ini supaya dapat tambah pekerjaan di samping bantu peniaga kampung.
“Bagi yang tidak pernah berniaga pun, mereka boleh cuba jual produk mereka kerana boleh masak di rumah tanpa perlu sewa tapak, yang menelan kos lebih tinggi,” katanya.
Semakan The Malaysian Insight mendapati kumpulan Facebook yang sama ada di beberapa daerah lain antaranya di Bayan Lepas, Permatang Pauh, Kemaman, Rembau, Muar, Taiping dan hampir di seluruh kawasan di Lembah Klang.
Pengusaha restoran makanan barat D’Sofea Grill di Kangar, Mohd Fadzli Zainuddin berkata pekerjanya yang sebelum ini bertugas sebagai pelayan ditukarkan peranan menjadi penghantar makanan.
Fadzli, 34, bukan saja bersiap sedia untuk berniaga pada bulan puasa tetapi sudah memulakan khidmat penghantaran sejak PKP bermula.
“Makanan disediakan di kedai dan bagi pelayan, kita kekalkan mereka bekerja tetapi perlu bertugas sebagai penghantar makanan.
“Perniagaan memang merosot… sebelum PKP boleh dapat hampir RM2,000 sehari tetapi kini RM300 hingga RM500 saja,” katanya.
Untuk bulan puasa ini, beliau juga menyertai beberapa kumpulan Facebook Bazar Ramadan untuk memasarkan perniagaannya.
“Jika tidak boleh meniaga di bazar Ramadan, memang rasa susah. Jual atas talian saja platform yang kita ada. Kita pun sediakan beberapa menu khas sempena bulan puasa.
“Selain iklan di Facebook dan sediakan servis hantar makanan, saya juga guna perkhidmatan Food Panda untuk luaskan lagi jualan,” jelasnya.
Sementara itu, satu aplikasi khidmat penghantaran makanan yang baharu, OdaMakan, sudah mula menyediakan platform untuk peniaga makanan pada bulan Ramadan.
Pengarah OdaMakan Zon Utara, Md Shifon Nizam berkata sejak pelancarannya minggu lalu, pihaknya sudah mengumpulkan lebih 900 peniaga.
OdaMakan memberi ruang kepada semua jenis perniagaan termasuk peniaga kecil di tepi jalan dan mereka yang berniaga dari rumah.
“Projek untuk bazar Ramadan ini, pengguna boleh memilih lokasi bazar kegemaran mereka. Kita kekalkan lokasi sedia ada contohnya Bazar Ramadan Stadium Alor Setar.
“Bukan itu saja, kalau waktu biasa pembeli hanya boleh memesan makanan daripada radius 10km tetapi kini kita luaskan sehingga 20km,” katanya.
Shifon menganggarkan 60 bazar di beberapa daerah di utara Perak, Pulau Pinang, dan Kedah, termasuk di Langkawi sudah menyertai OdaMakan.
“Sekarang lebih 900 peniaga bersama kita,” katanya.
Setiap bazar hanya dibuka kepada tidak lebih 50 peniaga supaya mengelak daripada terlalu banyak pilihan menu yang sama.
Beliau berkata OdaMakan tidak mengenakan caj kepada peniaga memandangkan perniagaan mereka hanyalah kecil-kecilan.
“Peniaga akan dapat untung macam mana dia jual di gerai. Kita kenakan caj kepada pengguna, iaitu 20% setiap satu menu yang dipesan dan caj penghantaran mengikut jarak lokasi pesanan,” tambahnya.
Pada 3 April lalu, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan selagi PKP dilaksanakan untuk menghalang penularan pandemik Covid-19.
Beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah, dan Selangor sudah membatalkan sebarang lesen dan permit untuk bazar Ramadan tahun ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari melancarkan bazar Ramadan dalam talian di negeri itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengangkutan dan penghantaran Grab.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/27055