Bayi Tercampak Ke Tengah Lebuh Raya
   Mohd Khidir Zakaria 
 
 BAYI  perempuan berusia 18 bulan nyaris maut apabila tercampak di tengah  jalan selepas kereta dipandu bapanya terbabit kemalangan di Kilometer  235.5 Lebuhraya PLUS Ayer Keroh-Senawang (arah utara) dekat Rembau,  petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan  Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan pada 3.20 petang itu  membabitkan tiga kereta.
“Kemalangan  berlaku apabila pemandu kereta Honda Civic berusia 33 tahun gagal  mengawal kenderaannya sebelum terlanggar penghadang besi di tengah lebuh  raya ketika cuba mengelak kereta Perodua Myvi yang menukar lorong  secara tiba-tiba.
“Kereta  Honda Civic itu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah lagi  kereta jenis Perodua Myvi yang bergerak di lorong tengah.
“Akibat  kemalangan itu, bayi perempuan berusia 18 bulan tercampak dari kereta  Honda dan terjatuh di atas lorong kanan lebuh raya dan cedera ringan,”  katanya dalam kenyataan media di Rembau, hari ini.
Beliau berkata,  pihaknya sedang mengesan pemandu Perodua Myvi berwarna biru bagi  membantu siasatan selepas menerima maklumat orang awam serta video tular  menyatakan pemandu terbabit berlumba dengan pemandu sebuah lagi Perodua  Myvi.
“Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.
“Orang  ramai atau pengguna lebuh raya yang mempunyai maklumat boleh  menghubungi Inspektor Sarah Ismail di IPD Rembau dan kes disiasat  mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kejadian itu tular di media sosial selepas dirakam dash cam kereta lain.
Menerusi  rakaman itu, pemandu dua kereta Perodua Myvi itu kelihatan berlumba dan  menukar lorong sesuka hati sebelum kemalangan menyebabkan bayi itu  tercampak.
Pengguna jalan raya lain segera memperlahankan kendeeraan sebelum seorang pemandu lori bergegas mendapatkan bayi berkenaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/bayi-tercampak-ke-tengah-lebuh-raya.html