Balik Pulau Pantai Pasir Panjang Lukisan Jalanan
..bersambung dari catatan terdahulu.
Berdasarkan carian internet, kami seterusnya menuju ke sebuah pantai di Balik Pulau. Kedudukannya agak jauh dari bandar, iaitu di Pulau Betong. Tapi bukanlah berada di pulau, cuma namanya saja ada ‘pulau’. Nampaknya selain Betong di Sarawak dan Betong di Thailand, ada juga Betong di Pulau Pinang.
PANTAI PASIR PANJANG
Laluan ke pantai berliku-liku dan agak sempit. Dibeberapa selekoh ada papan tanda mengingatkan kita untuk membunyikan hon kenderaan sebagai amaran keselamatan kepada pengguna jalan raya lain. Perhatikan sebelah kanan jalan tu, tinggi paras lautan di sini seolah-olah sama paras dengan jalan raya
Kami tiba di penghujung jalan, pantai terletak di sebelah kanan. Tiada ruangan parkir khas. Parkir di tepi-tepi jalan begini saja. Di hujung sekali yang ada pagar tu Kem Bina Negara
Terdapat papan tanda amaran. Nampaknya pantai di sini tak sesuai untuk aktiviti mandi laut disebabkan faktor yang dinyatakan pada papan tanda tersebut
Kami menuruni tangga untuk ke Pantai Pasir Panjang. Dari sini memang jelas kelihatan rupa pantai yang nampak beralun. Pengunjung cuma duduk-duduk berkelah dan ramai juga pemancing di sini
Ombaknya agak kuat. Tapi masih ada yang berani cuba-cuba bermain dengan ombak di sini. Dengan bentuk muka bumi pantai yang curam, memang bahaya kalau tiba-tiba ombak tinggi
Pemandangan di sebelah kiri pantai. Sungguh pun namanya Pantai Pasir Panjang, tapi pantai di sini pendek je. Pengunjung pun tak ramai. Mungkin sebab tak ada sebarang kemudahan seperti tandas dan bilik air
Pantai yang menarik, tapi yang jadi kurang menarik - sampah bersepah-sepah. Di tepi tong sampah pun dah berlonggok sampah dibuang. Kita sebagai pengunjung patutnya kalau dah nampak tong penuh, janganlah menambah dengan buang di luar tong. Bungkus bawa balik dululah. Fikir dulu sebelum buang ya
LUKISAN JALANANSatu lagi tarikan di Balik Pulau - lukisan jalanan (street art / wall art). Terdapat beberapa lokasi lukisan jalanan ni. Semuanya berada di sekitar bandar dan tak susah nak mencarinya. Boleh juga buat carian ‘wall art Balik Pulau’ di Google Maps
‘Silat Master’ dilukis oleh pelukis jalanan Rusia - Julia Volchkova. Lukisan ini memaparkan potret Johari Omar, seorang guru silat
‘Wrinkled Old Fisherman’ juga dilukis oleh Julia Volchkova. Memaparkan potret Yeoh Choon Seng, seorang nelayan yang sedang membaiki jaring
‘Uncle Roti’ dilukis oleh Amir Andhar Abu Samah atau lebih dikenali dengan nama Andharas. Memaparkan potret Muniandi, seorang penjual roti terkenal di Balik Pulau
Setahu saya ada lagi lukisan jalanan yang lain di Balik Pulau, tapi ini saja tiga lukisan yang sempat saya cari. Bagi saya, lukisan ini bukan sekadar mengindahkan bandar Balik Pulau, tetapi ia sebuah lukisan yang bercerita. Cerita tentang kehidupan masyarakat setempat
—————————————-Ok, itu saja catatan saya di Balik Pulau. Sekejap je di sini, menjelang tengah hari dah bergerak ke Bayan Lepas untuk hal lain. Ikut rancangan nak makan tengah hari di Balik Pulau ni, tapi perut masih kenyang dengan roti canai ‘cotek extra’ pagi tadi
Tarikan lain di Balik Pulau antaranya Audi Dream Farm, Saanen Dairy Goat Farm, aktiviti menunggang kuda di Countryside Stable Penang dan Anjung Indah (tempat melihat pemandangan dari atas bukit). Anjung Indah ni saya lalu masa dalam perjalanan pergi ke Balik Pulau, ingatkan nak singgah dalam perjalanan balik. Rupanya tak lalu pulak sebab jalan berbeza untuk ke Bayan Lepas
Balik Pulau juga merupakan tempat yang terkenal dengan ladang durian dan buah pala. Sepanjang jalan kita akan jumpa banyak tempat jual durian dan gerai makan durian. Sayangnya masa kami pergi ni bukan musim durian. Insya Allah lain kali kami datang lagi bila tiba musim durian
Untuk sesiapa yang nak melihat sisi berbeza bahagian pulau Pulau Pinang, berkunjunglah ke Balik Pulau. Jauh dari kesibukan dan pembangunan pesat. Perjalanan ke Balik Pulau juga menarik kerana kita perlu melalui laluan berbukit
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2020/09/balik-pulau-pantai-pasir-panjang.html