Bakal Calon Ph Mahu Teruskan Agenda Allahyarham Bakhtiar Di Semenyih
Mohd Zaini Samsu Hadi                                                                                                                                                                                              

Temubual  eksklusif Malaysia Gazette bersama Bendahari Bahagian Armada Hulu  Langat, Mohamad Shazri Mohamad Suhaimi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK)  N.24 Semenyih di Prima Saujana, Kajang. foto FAREEZ FADZIL 
SEMENYIH – Salah seorang calon daripada enam nama yang  disenarai Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil  (PRK) Semenyih berhasrat mahu meneruskan agenda yang dirangka oleh  penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Allahyarham  Bakhtiar Mohd Nor.
 Mohamad Shazri Mohamad Suhaimi, 31, dari Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (Bersatu) berkata, beliau akan memastikan kesejahteraan  penduduk di kawasan itu terjamin sekiranya diberi mandat untuk menjadi  wakil dalam membela nasib mereka.
 Menurutnya, tempoh Allahyarham Bakhtiar untuk menerajui DUN berkenaan  yang terlalu singkat telah menyebabkan beberapa aspirasi yang  diilhamkan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
 “Kita dapat lihat faktor-faktor yang ada di Semenyih dari segi perkauman, agama, masalah tempatan kita perlu selesaikan.
 “Saya akan meneruskan agenda-agenda yang dirangka oleh beliau dan  aspirasi untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette menjelang pilihan raya DUN berkenaan yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.
 Mohamad Shazri berkata, beliau mempunyai misi dan visinya yang  tersendiri dalam memajukan Semenyih dan semuanya itu akan cuba dikotakan  sekiranya peluang diberikan kepadanya.
 Katanya, DUN Semenyih sememangnya satu kawasan yang luas dan di  setiap kawasan mempunyai masalah berbeza-beza dan perlu diberikan  perhatian serta penyelesaian.
 “Di kawasan DUN Semenyih ini ada 14 ladang, ada 31 kampung dan 42 taman. Setiap tempat ada perbezaan masalah.
 “Di ladang mungkin ada masalah baja dan sebagainya, di kampung pula  ada masalah tradisi. Semua itu perlu diberi perhatian agar menjadi lebih  baik.
 “Di taman pula ada faktor yang lebih umum, dari segi kesesakan lalu  lintas. Jadi, setiap tempat itu berbeza masalah yang perlu kita hadapi,  ia tidak sama dengan di tempat-tempat lain,” ujarnya yang merupakan  Bendahari Bahagian Armada Hulu Langat.
. 
 
 PRK DUN Semenyih akan diadakan susulan penyandangnya dari PH,  Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11  Januari lalu akibat serangan jantung.
 Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan  penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz  serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S  Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
 Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di  kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas  memperoleh 23,428 undi.
 PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.
 Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/bakal-calon-ph-mahu-teruskan-agenda.html