Baik Tapi Tak Bertudung
Oleh : Nik Mohamad Abduh
Baik, Tapi Tak Bertudung
Dia wanita yang baik. Amat baik. Tetapi dia tak pakai tudung dan tak menutup aurat. Jadi, mana baiknya?
sdf
Saya berkata, insya Allah satu hari nanti dia akan bertudung dan menutup aurat. Dia seorang wanita muslim. Muslimah. Kemudian dia dikenali pula dengan kebaikan akhlaknya. Itu mencukupi untuk diharapkan bahawa Allah akan menambahkan dan menunjukinya jalan hidayah yang akan mengubah kehidupannya kepada lebih baik.
Sudah ramai saya melihat wanita yang amat baik akhlaknya, tetapi tidak bertudung dan tidak menutup auratnya. Sampai saya kehairanan dan kempunan untuk melihatnya bertudung. Nah, akhirnya mereka bertudung jua. 'Comey lotey' jadinya..
Malah, lebih mengujakan, ada juga wanita yang saya gagal mengintai akhlak baiknya dek 'aksi liar' mereka. Tetapi akhirnya dia kembali kepada agama dan menutup aurat 'molek aloh'..
Justeru rutin saya, setiap kali saya menaiki pesawat dalam negara dan melihat kepada pakaian pramugari yang begitu meruntun kesedihan itu, saya akan terus berdoa semoga mereka segera dibebaskan daripada penjara kejahatan kaum lelaki yang menjadi majikan mereka. Ya, setiap wanita muslim, suatu hari yang baik nanti, mereka akan berhijab dengan izin Allah.
Menutup aurat adalah lambang muslimah sejati.
Akar dan umbinya adalah seseorang muslim itu berbangga menjadi seorang muslim. Dia tidak memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Kekurangannya hanya pada ilmu agamanya yang kurang, kehendak nafsunya yang tidak disantuni dan disucikan dengan baik, manakala persekitaran hidupnya pula tidak banyak membantu. Dia leka tetapi Islam dan imannya masih utuh di hatinya.
Setiap muslim ada dua piring timbangan. Satu, piring timbangan untuk amal baiknya dan satu lagi adalah piring timbangan untuk amal buruknya. Allah tidak akan mensia-siakan amal baik yang sedikit walaupun diasak amal buruk yang banyak. Itu, apatah kalau amal baiknya mampu menyaingi amal jahatnya.
Kesudahannya nanti adalah gerangan piring timbangan manakah yang lebih berat. Allah maha pengasih dan penyayang. Dia juga maha keras dan garang. Kasih sayang-Nya adalah mendahului kemurkaan-Nya.
Wanita yang baik tetapi tak bertudung samalah seperti lelaki atau wanita yang baik tetapi tak solat lima waktu. Mereka menanggung dosa sepanjang hari.
Tetapi kebaikan mereka kekal di timbangan baik selama mana tiada amal buruk dan dosa besar daripada mereka yang membatalkannnya.
Selagi di dunia, sisi buruknya adalah diharapkan akan dipintas oleh sisi baiknya. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah badan muslim dikandung rahmat Allah.
Berita gembira adalah buat setiap kita yang mencintai dan berbangga menjadi seorang muslim. Rahmat Allah adalah dekat. Berita buruk pula adalah buat muslim yang munafik, membenci agamanya sendiri dan memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Murka Allah hampir-hampir akan meragut tuah hidupnya di dunia ini.
Mari berdakwah dan berdoa untuk wanita Islam seluruh dunia. Baik dan soleh wanita, baik dan solehlah para lelaki.
Ya Allah, kasihanilah kami seluruh umat Islam, muslimin dan muslimat. Babaskanlah kami daripada fitnah dunia dan tipudaya kuffar yang menyesatkan. Allahumma amiin..
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laiyeker.blogspot.com/2019/06/baik-tapi-tak-bertudung.html