Ayah Akan Rindu Urutan Aidil
“TIPULAH kalau saya cakap kami tak sedih tetapi benda dah jadi, mahu atau tidak, kami kena terima dan reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Muhammad Razali Ibrahim, 38, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hari ini.
Muhammad Razali adalah bapa Muhammad Aidil, 9, yang ditemui lemas selepas terjatuh ketika bermain air di Lagun Kuala Ibai 10.15 pagi tadi.
Mayat anak keempat daripada tujuh beradik itu ditemui tiga anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.48 petang dalam keadaan terlentang di air pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Muhammad Razali berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian anaknya ketika umat Islam sedang bergembira menyambut lebaran.
“Kami ke sana (kawasan Lagun Kuala Ibai) atas permintaan arwah yang bersungguh-sungguh mengajak dan tak sangka itu permintaan terakhirnya.
“Memang sedih apatah lagi arwah anak yang ceria dan aktif. Tentunya kami akan merindui keletahnya yang kuat mengusik itu.
“Arwah pandai mengurut dan tentunya saya akan merindui urutannya itu,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Johor Bharu hari ini namun pergi ke kawasan lagun berkenaan atas permintaan Muhammad Aidil.
“Mengikut perancangan, kami singgah sekejap di kawasan lagun itu dan balik ke rumah keluarga isteri di Kampung Tanjung Paya dan bersiap-siap untuk pulang pada 2 petang,” katanya.
Jenazah Muhammad Aidil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang Tok Pelam di sini.
Dalam kejadian itu, Muhammad Aidil terjatuh ketika bermain air di Lagun Kuala Ibai pada 10.15 pagi hari ini.
Mangsa yang bermain bersama enam adik beradiknya terjatuh selepas pasir dipijaknya runtuh sebelum dihanyutkan air.
Sumber: kulihatlangitbiru.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/ayah-akan-rindu-urutan-aidil.html