Awi Rafael Belum Mengalah
Perkara yang sudah berlalu, usah dikenang kerana kehidupan perlu diteruskan. Meskipun rasa 'sakit' masih berbekas di hati, tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh membahagiakan dirinya.
Begitu prinsip yang dipegang penyanyi Awi Rafael apabila berbicara tentang kehidupannya selepas berdepan dengan detik sukar ekoran kegagalannya membina rumah tangga bersama pelakon Atikah Suhaime.
Berselang-seli dengan kisah sambutan Syawalnya tahun ini, pertemuan bersama Awi, 33, baru-baru ini sarat dengan perkembangan terkini hidupnya yang masih berstatus bujang.
Awal bicara, Awi diajak bercerita tentang sambutan rayanya tahun ini. Menurutnya, sejak dahulu sehingga kini baginya Syawal harus diraikan bersama keluarga, terutama ibu tercinta.
Malah, jelas pemilik nama sebenar, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael itu, sambutan raya di negara kelahirannya, Singapura tidak banyak beza dengan Malaysia.
Positif
Rutin yang dilakukan tetap sama iaitu menunaikan solat sunat hari raya, berkumpul bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara.
“Ibu saya tinggal di rumah kakak, jadi rutinnya adalah kami akan berkumpul dan makan-makan di rumahnya.
“Juadah wajib sama saja, cuma tahun ini saya teringin sangat makan ayam masak merah air tangan ibu walaupun sebenarnya saya tidak makan ayam kerana mengalami kulit sensitif,” katanya.
Beralih bicara soal kehidupan peribadinya, Awi terdiam seketika. Terhanyut dengan emosi berangkali, manakan tidak, mengikut perancangan awal, tahun ini Awi sepatutnya meraikan Syawal selaku seorang suami.
Namun, pelamin indah yang diangan-angankannya bersama pelakon Atikah Suhaime musnah di tengah jalan apabila majlis perkahwinan mereka dibatalkan saat-saat akhir iaitu beberapa hari sebelum dijadualkan berlangsung pada 17 Mac lalu.
Tidak terkilan dengan ketentuan, Awi yang popular menerusi lagu Kalau Aku Kaya itu tetap bersikap positif dan berlapang dada kerana percaya Allah mempunyai aturan jauh lebih baik untuknya pada masa hadapan.
“Itu perancangan saya, untuk beraya sebagai suami dan isteri dengan Atikah. Tetapi perancangan Allah jauh lebih hebat. Saya percaya Allah mungkin telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk saya.
“Tetapi kejadian itu tidak merencatkan kehidupan saya. Raya masih berjalan seperti biasa kerana keutamaan hidup saya adalah ibu,” katanya tenang.
Ditebak bagaimana seorang lelaki sepertinya mampu bersikap positif dalam berdepan dugaan begitu besar, Awi hanya menyulam senyum sebelum menyusun jawapan.
“Syukurlah saya bukan pelakon, hanya seorang pemuzik (ketawa). Apa jadi sekali pun, kita mesti dan perlu terima semuanya dengan berhemah.
“Atikah seorang yang sangat baik. Cuma mungkin kedua belah keluarga ada pendapat masing-masing yang perlu dihormati. Jadi, mahu atau tidak, positif sahajalah dengan semua ini.
“Sebab itu fokus saya sekarang adalah untuk membantu golongan yang memerlukan. Mungkin Allah tarik satu nikmat lain kerana ingin saya melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat,” tuturnya.
Autisme
Berkongsi perkembangan terkini, Awi teruja berkongsi tentang penglibatannya dalam usaha menyantuni golongan kanak-kanak autisme menerusi kelas terapi muzik.
Awi menggunakan bakatnya untuk berkongsi semula dengan mereka yang memerlukan sebagai alat berkomunikasi.
Kelas terapi muzik itu merupakan projek istimewa di bawah akademi muziknya sendiri, Newsantara dengan kerjasama bersama rakan pelakon Aiman Hakim Redza.
“Di negara kita masih kurang terdedah dengan terapi muzik untuk golongan autisme. Sedangkan di negara luar, sudah lama dipraktikkan.
“Muzik sebenarnya mampu mengembangkan potensi mereka terutama dalam membantu tahap keupayaan interaksi dengan orang ramai,” ujarnya yang menganjurkan kelas terapi tersebut secara percuma.
Kata Awi, idea itu hadir kerana terinspirasi dengan rakan-rakan artis lain seperti Faizal Tahir, Altimet dan Noh Salleh yang sanggup meninggalkan keluarga serta negara demi membantu masyarakat yang terjejas akibat perang di Syria dan Palestin.
“Saya sangat bangga dengan mereka kerana sanggup mengambil risiko bergadai nyawa untuk ke negara bergolak seperti itu. Saya pula hanya perlu fokus terhadap anak-anak autisme.
“Kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu diperluaskan lagi sebab golongan ini sangat memerlukan bantuan. Saya lakukan bukan untuk populariti atau membina nama, tetapi cukup sekadar menyebarkan kesedaran,” kata Awi menutup bicara.
Sungguhpun impian untuk meraikan Syawal tahun ini selaku seorang suami tidak kesampaian, Awi Rafael berlapang dada dan menganggap setiap kejadian berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/06/awi-rafael-belum-mengalah.html