Saya Mahu Merawat Hati Sebelum Memikirkan Soal Mencari Pengganti Awi Rafael
Selepas tiga bulan berlalu, penyanyi Awi Rafael mengakui, sukar untuk membuang ingatan terhadap bekas tunangnya, Atikah Suhaime, apatah lagi mereka pernah melalui susah senang bersama.
Saling mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu, Awi, 32, berkata mereka tidak bergaduh, sebaliknya tetap bersahabat, meskipun impian ke jenjang pelamin pada 17 Mac lalu tidak menjadi kenyataan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Bila Aku Jatuh Cinta dan Manusia Sempurna itu berkata, dia perlukan masa untuk merawat hati selepas harapan bersatu dengan Atikah musnah di pertengahan jalan.
"Segala-galanya mengambil masa untuk diubati dan saya mahu merawat hati sebelum memikirkan soal mencari pengganti. Saya tidak lagi bersedih atas apa yang berlaku kerana percaya ini adalah aturan Allah. Biarlah hanya saya yang melalui pengalaman ini, jangan lagi berlaku kepada sesiapa, terutama teman baik saya," katanya.
Awi berkata, selepas hubungannya dengan Atikah berakhir, dia tidak lagi menaruh harapan untuk menyambung cinta mereka, apatah lagi ikatan itu tidak direstui keluarga.
"Lebih baik saya lupakan sahaja kerana segala-galanya sudah berlalu. Saya menghormati dan menyayangi keluarga Atikah, namun saya tidak mahu lagi menaruh harapan. Memang pada awalnya, saya marah dan kecewa kerana kami dalam perjalanan menuju ke jalan yang baik, iaitu mendirikan masjid. Kami berpisah tiga hari sebelum diijabkabulkan. Mungkin kami ditakdirkan lebih serasi sebagai sahabat.
"Kalau masih ada jodoh antara kami, semua itu kuasa Allah. Jika Atikah bertemu jodoh yang baik, saya tentunya gembira melihat dia bahagia. Begitu juga jika sebaliknya, saya berharap Atikah sentiasa positif dan mendoakan saya," katanya.
Awi berkata, untuk melupakan kesedihannya, Awi berkata, dia mengalihkan perhatian dengan menyiapkan studio baharu yang dikongsi bersama rakannya, Aiman Hakim Ridza, Newsantara Studio di Ara Damansara.
"Saya dengan Atikah masih terikat dengan beberapa projek kerja bersama, termasuk untuk pembikinan runut bunyi filem Tantiana keluaran NHF Productions dan Dream At Work Productions. Rakaman lagu itu akan dibuat tidak lama lagi," katanya.
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/saya-mahu-merawat-hati-sebelum.html