Australia Belanda Anjur Majlis Peringati Mangsa Mh17
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Belanda di Malaysia hari ini mengadakan upacara memperingati mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine lima tahun lepas.
Diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski dan Duta Belanda Karin Mössenlechner, hadirin bertafakur seminit pada 9.20 malam, tepat lima tahun selepas tragedi itu.
Antara yang hadir termasuk waris, duta dari negara lain yang turut berdukacita selain wakil daripada kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines.
Bercakap kepada pemberita, Goledzinowski berkata suruhanjaya itu menganjurkan acara berkenaan untuk mengingati mangsa dan menunjukkan sokongan kepada waris mereka.
“Kita tidak boleh membiarkan ulang tahun kelima tiba pada hari ini tanpa berbuat apa-apa. Acara ini semata-mata bagi mangsa dan waris mereka,” katanya.
Sementara itu, ketika bercakap pada majlis berkenaan, kaum keluarga mangsa menyatakan penghargaan kepada Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diketuai Belanda berikutan usaha mereka tanpa mengenal penat lelah selama lima tahun yang lepas.
“Tanpa JIT, siasatan ini tidak akan sampai hingga ke peringkat ini. Kerana itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JIT serta pihak yang terlibat kerana berusaha membawa keadilan bagi ibu saya,” kata Nur Diyana Yazeera, anak perempuan ketua pramugari, Dora Shahila Kassim.
Kira-kira 50 waris mangsa tragedi itu menghadiri majlis peringatan itu yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Australia di sini malam ini.
Penerbangan MH17 yang berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Airport, Amsterdam, menuju ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 orang, termasuk 15 anak kapal.
Penumpang yang menaiki MH17 adalah dari Malaysia, Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Belgium, Jerman, New Zealand, Kanada dan Filipina.
Di Belanda pada 19 Jun tahun ini, penyiasat antarabangsa diketuai Belanda mendakwa empat orang — tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine — atas tuduhan membunuh berhubung tragedi itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak gembira dengan laporan terkini insiden menembak jatuh penerbangan MH17 dan meminta supaya dikemukakan bukti, bukan sekadar keterangan dengar cakap, dalam siasatan itu.
Sumber: BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/07/18/australia-belanda-anjur-majlis-peringati-mangsa-mh17/