Apakah Penghargaan Tun M Kepada Pkr Bermakna Anwar Benar2 Bakal Penggantinya
Rasanya ini adalah kali pertama Tun Mahathir Mohamad memberi penghargaaan secara khusus kepada PKR berhubung kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 yang lalu.
Berucap di jamuan makan malam Pakatan Harapan yang dihadiri oleh semua pemimpin-pemimpin utama parti dalam gabungan itu, termasuk Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Tun Mahathir berkata, kemenangan dalam PRU14 sebenarnya adalah milik PKR kerana membenarkan empat parti menggunakan logo serta bendera parti berkenaan.
Sehubungan itu, beliau memuji sikap murah hati PKR dan sepatutnya parti itu juga berhak menguasai kerajaan, tetapi tidak berbuat demikian kerana menghormati persefahaman yang telah dipersetujui.
Apa yang pasti kenyataan Tun Mahathir ini bukan saja yang pertama kali, malah amat berlainan dengan apa yang kerap disebutnya sebelum ini.
Dalam beberapa kenyataan atau ucapannya selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu, Tun Mahathir hanya kerap memberi penghargaan kepada rakyat atau pengundi kerana memilih Pakatan Harapan berbanding BN untuk menerajui negara ini.
Justeru itu, beliau selalu menyatakan bahawa Pakatan Harapan akan berusaha membalas kepercayaan rakyat itu dengan cara yang sebaik mungkin melalui proses memulihkan ekonomi negara serta menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PRU14 lalu.
Dalam pada itu, meskipun sudah ada persefahaman untuk beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagai penggantinya dalam tempoh dua tahun setelah memegang jawatan itu, jawapan Tun Mahathir mengenainya juga selalu kedengaran longgar dan sukar difahami.
Di sebalik berkata akan berpegang kepada janji tersebut, Tun Mahathir beberapa kali menyebut, kedudukannya turut bergantung kepada keadaan.
"Saya memang akan serah jawatan kepada Anwar, tetapi boleh jadi saya perlu jadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun dan mungkin juga kurang daripada dua tahun," begitu lebih kurang antara yang selalu disebutnya.
Di satu ketika yang lain pula beliau berkata, kalau Anwar sudi memberinya lebih masa, maka dapatlah beliau menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun.
Dalam waktu yang sama, di samping mengatakan berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan jawatannya kepada Anwar, banyak pihak turut melihat beliau seperti sedang menyediakan laluan kepada Azmin Ali untuk mengambil alih tempatnya.
Azmin yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya 9 Mei lalu dan tidak dicalonkan oleh PKR untuk kerusi menteri, sebaliknya telah dilantik oleh Tun Mahathir menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu kementerian baru yang kanan selepas dipecahkan daripada Kementerian Kewangan.
Sejak itu nama Azmin telah menjadi bualan hangat sebagai pengganti Tun Mahathir dan ia kemudian turut dijadikan bahan kempen oleh Rafizi Ramli untuk mencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR lantaran dilihat sebagai ancaman kepada Anwar untuk menjadi PM ke-8 selepas Tun Mahathir.
Setelah Azmin berjaya mengekalkan jawatannya dan cakap-cakap mengenai soal peralihan kuasa daripada PM ke-7 kepada PM ke-8 tidak lagi disebut-sebut, kenapakah tiba-tiba Tun Mahathir begitu memuji PKR dan menyifatkan kemenangan dalam PRU14 lalu adalah milik PKR, bukannya Pakatan Harapan.
Apakah ini bermakna Tun Mahathir benar-benar menghargai peranan dan sumbangan PKR atau kesediaan Anwar berbaik semula dengannya, lalu tiada apa-apa masalah lagi untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu sebagaimana yang dijanjikan?
Betulkah begitu?
Atau Tun Mahathir ada maksud lain di sebalik pujiannya yang tiba-tiba kepada PKR itu? (ShahbudinHusin 10/12/2018)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2018/12/apakah-penghargaan-tun-m-kepada-pkr.html