Apa Kesan Perbalahan Pas Bersatu
Mohd Yusri Ibrahim

Pemerhati politik menanti penuh minat perkembangan mesyuarat majlis presiden PN yang katanya diadakan minggu depan.
Tujuannya untuk dapat gambaran lebih jelas arah tuju gabungan politik tersebut selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU dan Muktamar Tahunan (MT) PAS.
Kelulusan usul menamakan TS Muhyiddin sebagai calon PM oleh PAT dan kelulusan usul oleh MT supaya PAS ambil alih teraju PN menimbulkan polemik besar antara dua parti tersebut.
Lanjutan itu, banyak isu sampingan lain turut diungkit, termasuk agihan wang dana pilihan raya dan sebagainya, semuanya dalam konotasi tidak mesra.
Banyak implikasi daripada polemik BERSATU-PAS ini sebenarnya, paling kurang ada dua kemungkinan besar.
Pertama perlu diingat semasa pembentukan PN dahulu PAS terpecah kepada dua kem.
Satu kem menyokong penubuhan PN, manakala satu kem lagi menentang.
Yang menentang itu kerana mereka lebih cenderung kerjasama dengan UMNO melalui MN, penggeraknya ramai dalam kalangan kumpulan ustaz.
Apabila isu dengan BERSATU ini timbul sekarang, kumpulan ini kembali bersuara, termasuk mengungkit rasa tidak selesa terhadap BERSATU.
Masih belum jelas sama ada itu sekadar reaksi spontan untuk memulangkan paku buah keras, atau ada agenda lebi tersusun untuk menghangatkan lagi suasana bagi memisahkan PAS daripada BERSATU, menyelesaikan misi lama yang tertangguh.
Walau apapun tujuan, jika perkembangan ini gagal diurus dengan baik oleh kedua-dua pihak, kerjasama PAS-BERSATU berisiko terburai.
Apatah lagi ada figura kepimpinan yang dilihat pro MN dan kurang mesra penubuhan PN sebelum ini kembali ke dalam Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat pasca muktamar tempoh hari.
Kedua, jika perikatan politik tersebut masih mampu diselamatkan, risiko paling besar adalah terhadap keputusan PRU16 nanti untuk kerusi2 tertentu.
Nasib TS Muhyiddin di Pagoh sebagai contoh.
Dengan senario politik semasa, maksudnya PH-BN vs PN, Pagoh akan jadi kerusi marginal dalam PRU16 nanti.
Ini kerana campuran undi sedia ada PH-BN dalam PRU15 lalu mengatasi jumlah undi sedia ada PN.
Sebenarnya ini bukan isu besar pun bagi TS Muhyiddin jika senarionya adalah normal, beliau masih ada faktor kekuatan peribadi untuk mengekalkan kerusi tersebut.
Namun apabila polemik dengan PAS ini timbul, situasi berubah secara mendadak untuk kerusi Pagoh itu.
Katalah Mesyuarat Majlis Presiden PN minggu depan sepakat untuk tidak namakan calon PM, dengan kata lain berjaya capai kompromi untuk situasi menang-menang.
Tapi PAS sudah sedia maklum hasrat BERSATU untuk lantik TS Muhyiddin sebagai PM jika PN menang nanti.
Dalam kes sebegini, saya tidak jangka jentera dan penyokong PAS akan bagi ruang selesa untuk beliau menang di Pagoh.
Dalam observasi lapangan semasa PRU15 lepas, saya jumpa senario seperti ini di Gombak.
Jentera PAS tidak bekerja untuk DS Azmin menang.
Atau dengan kata lain, ada sebahagian lagi yang bekerja untuk DS Azmin kalah.
Dalam kes Gombak ini sebagai contoh, PAS mempunyai cukup kekuatan jentera dan sokongan akar umbi untuk memastikan projek seumpama itu berjaya.
Kes hampir sama saya jumpa dalam pemerhatian lapangan PRN 2023 di Pulau Pinang, kerusi Bayan Lepas yang ditandingi Datuk Dominic Lau.
Berdasarkan gelombang hijau yang sedang memuncak pada waktu itu, kerusi tersebut sebenarnya dalam radar kemenangan kepada PN.
Namun apabila perang besar berlaku antara PAS dan GERAKAN untuk merebut kerusi tersebut, jentera dan penyokong PAS tidak bekerja sepenuhnya untuk menangkan PN.
Atau dengan kata lain, ada yang bekerja untuk kalahkan Dominic Lau.
Akhirnya Datuk Dominic Lau kalah dengan seribu lebih majoriti.
Gombak dan Bayan Lepas ini hanyalah dua kajian kes untuk menunjukkan bagaimana PAS berupaya menterbalikkan menang kepada kalah jika mereka mahu.
Sebab itu polemik sehari dua ini berisiko memberi implikasi kepada pemimpin2 BERSATU yang kurang disenangi oleh sebahagian kem dalam PAS.
Akan ada kemungkinan untuk nama-nama besar daripada BERSATU berisiko kalah tanpa disangka-sangka.
Inilah paling kurang dua kemungkinan implikasi sedang menanti rentetan polemik PAS-BERSATU sekarang.
Kenapa isu ini penting dan signifikan?
PN adalah pembangkang dan gabungan parti kedua terkuat di Malaysia sekarang selepas PH.
Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem ala Westminster, pembangkang dikenali sebagai kerajaan menunggu (waiting government).
Apa sahaja perubahan dalam politik dalaman PN berpotensi mempengaruhi landskap politik tanah air.
Sebarang kemungkinan tersebut perlu ditekuni, perlu ada jangkaan kemungkinan2.
Kerana banyak sektor dalam negara dipengaruhi oleh situasi politik, bergantung kepada unjuran2 senario politik.
Elemen geostrategik ini sangat penting untuk ekonomi, pelaburan, pasaran saham, industri, hubungan luar dan sebagainya.
Ini yang sesetengah penyokong dan pentaksub parti politik tidak faham.
Mereka cepat melenting dan marah2 apabila parti pujaan mereka disentuh dalam analisis2 dan wacana2.
Kononnya mereka yang lebih tahu parti pujaan mereka, perjuangan mereka.
Mereka tidak faham apabila sesebuah parti politik menawarkan diri dalam pasaran (open market) politik tanah air, mereka terbuka untuk dinilai dan dikritik oleh pelanggan.
Pelanggan atau pemegang taruh terbesar sesebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya adalah pengundi, rakyat.
Kena faham konsep itu, jangan fanatik dan sondol mengkhinzir buta.
Saya guna istilah khinzir tu supaya nampak lembut sikit, kurang sesuai kalau tulis membabi buta.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/09/apa-kesan-perbalahan-pas-bersatu.html