Apa Itu Bisnes Multi Level Marketing Patutkah Anda Join Bisnes Mlm
Apa itu bisnes Multi Level Marketing? Adakah anda sudah benar-benar faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bisnes MLM?
Konsep bisnes MLM sebenarnya sudah tak asing lagi dinegara kita. Anda pasti pernah dengar tentang bisnes MLM atau setidak-tidaknya anda pernah kenal dengan individu yang terlibat secara aktif dalam bisnes MLM.
Boleh jadi juga anda sendiri pernah didekati oleh mana-mana individu, sama ada yang anda kenali atau tidak, yang mengajak anda untuk menyertai syarikat MLM. Selalunya anda akan dipelawa untuk menjalankan bisnes dan seterusnya menggunakan produk yang dikeluarkan oleh syarikat.
Multi Level Marketing (MLM) jika kita terjemahkan dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud pemasaran berbilang peringkat. Ia sebenarnya adalah satu kaedah pemasaran yang mana tujuannya adalah untuk memastikan sesuatu produk yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat berjaya sampai ke tangan pengguna akhir.
Oleh kerana dalam dunia ini, tak banyak produk yang betul-betul unik yang masih belum pernah dicipta, maka pengeluar produk perlu mengambil tindakan yang bijak bagi memastikan produk keluaran syarikatnya dapat menembusi pasaran dan diterima oleh pengguna.
Sebagai contoh produk pencuci pakaian, produk penjagaan kecantikan, produk pembersihan diri. Semua jenis produk ini sudah ada dipasaran dan yang membezakan antara satu produk dengan produk yang lain, kemungkinan hanyalah dari segi jenama dan beberapa kandungan tambahan.
Persoalannya ialah, bagaimanakah syarikat yang masih baru dan kurang dikenali ingin bersaing dengan jenama lain yang lebih lama mendominasi pasaran? Baiklah, bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya ada beberapa kaedah yang mereka boleh lakukan.
1. Buat perjanjian dengan pasaraya besar untuk menjual produk keluaran mereka
Pasaraya besar yang dimaksudkan adalah seperti Tesco, Giant, Aeon Big dan sebagainya. Dari pembacaan yang pernah saya buat sebelum ini, lazimnya untuk syarikat kecil yang ingin memasukkan produk mereka di pasaraya besar, akan ada banyak terma dan syarat yang perlu dipenuhi. Itu perkara biasa.
Cuma dalam banyak-banyak terma dan syarat tu mungkin ada beberapa syarat yang agak sukar untuk dipenuhi contohnya dalam bab pengagihan keuntungan dan pemulangan barang-barang yang rosak dan tak terjual. Selain itu, syarikat juga perlu memastikan produk sentiasa ada, dan setiap cawangan pasaraya mempunyai produk tersebut.
Pemilik produk perlu memastikan produk sentiasa ada, namun tiada sebarang jaminan produk akan dibeli oleh pelanggan. Selain itu, jenama miliknya juga perlu bersaing dengan jenama-jenama lain yang sudah terkenal yang disusun di rak yang berhampiran di pasaraya tersebut.
2. Gunakan media untuk iklankan produk
Iklan menggunakan media seperti televisyen, radio, bill board dan banyak lagi. Ini juga merupakan satu kaedah yang biasa digunakan oleh pemilik produk bagi memperkenalkan produk milik mereka. Walaupun begitu, kaedah ini juga memakan kos yang besar dan belum tentu orang ramai akan beli walaupun telah melihat iklan.
3. Dapatkan khidmat selebriti untuk iklankan produk
Selebriti atau mana-mana orang yang popular mampu untuk membantu menaikkan nama dan jenama sesebuah produk. Jika selebriti tersebut adalah individu yang memang sangat popular, sesuatu perniagaan itu juga akan mampu untuk dapat pelanggan segera yang akan membeli produk keluarannya.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang masih ingat dengan berita ini, yang mana pada waktu ini Christiano Ronaldo dilihat menari dalam sebuah iklan milik Shopee.
Cuma sekali lagi, isu dengan mendapatkan perkhidmatan selebriti adalah dari segi kos. Pada pendapat anda, berapa agaknya yang Shopee perlu bayar untuk dapat khidmat dari Christiano Ronaldo ni agaknya ya?
Bagaimana kalau saya katakan ada kaedah pemasaran yang lebih menjimatkan kos, namun mampu untuk memberi pulangan yang lebih baik berbanding kaedah biasa (konvensional) yang ada diluar sana.
Ya, kaedah tersebut yang dimaksudkan adalah kaedah pemasaran menggunakan konsep Multi Level Marketing.
Melalui konsep pemasaran Multi Level Marketing, pemilik bisnes dapat menjimatkan kos yang sangat besar bagi tujuan pemasaran. Kalau sebelum ini, syarikat terpaksa membayar upah pekerja untuk membuat kerja-kerja pemasaran, namun dengan kaedah pemasaran MLM, itu semua sudah tak perlu lagi.
Kerja pemasaran akan diambil alih oleh para ejen yang berminat untuk menyertai syarikat MLM tersebut. Cuba bayangkan, kalau syarikat mempunyai 100 ribu orang ejen dan setiap orang ini pula setiap hari membuat kerja-kerja marketing untuk syarikat?
Sudah pasti, ini akan melonjakkan prestasi dan pendapatan syarikat, tanpa perlu syarikat mengeluarkan kos pemasaran yang besar. Namun begitu, tidak cukup sekadar mempunyai barisan ejen pemasaran yang besar. Pada masa yang sama, syarikat juga perlu memastikan produk yang mereka keluarkan adalah benar-benar berkualiti tinggi, barulah usaha pemasaran yang dijalankan oleh ejen tidak menjadi satu usaha yang sia-sia.
Syarikat yang menggunakan kaedah pemasaran MLM, hanya perlu berkongsi sebahagian keuntungan kepada para ejen yang layak dan menepati syarat sahaja. Jika dari hasil usaha para ejen itu tadi, mereka berjaya dapatkan pelanggan baru, maka mereka itu sahaja yang perlu dibayar upah dalam bentuk komisen.
Selebihnya, tak perlu dibayar kerana masih belum cukup syarat. Ya, mereka dianggap buat kerja pemasaran untuk syarikat secara percuma sahaja. Sebarang bentuk bayaran atau imbuhan yang bakal dibayar oleh syarikat, semuanya adalah berdasarkan kepada prestasi individu tersebut. Jika ejen atau pengedar tersebut mampu untuk bawa hasil kepada syarikat, maka dia layak untuk menerima bayaran.
Sudah tentu, konsep pembayaran seperti ini agak sukar diterima terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai mindset seorang usahawan. Mereka yang seumur hidup hanya tahu makan gaji, akan merasa peluang buat duit dalam MLM kurang menarik dan seolah-olah seperti menindas dan sekadar mahu mengambil kesempatan sahaja. Bagi dirinya, kalau nak suruh buat kerja, kena bayar gaji.
Well, saya tak kata pemikiran tersebut salah. Cuma pemikiran tersebut kurang sesuai apabila kita ingin membangunkan atau menjalankan sebarang bisnes. Kena ubah dulu mindset kepada mindset seorang usahawan, baru lebih mudah untuk atur strategi.
Oleh itu, jika ada mana-mana individu yang berhasrat untuk menyertai syarikat MLM sebagai pengedar (atau ejen) anda perlu tahu dengan jelas, apakah syarat dan kriteria yang diperlukan untuk layak menerima bayaran.
Bagi sesetengah individu, peluang untuk jadi pengedar bersama syarikat MLM ibarat satu rahmat dalam hidupnya. Bisnes MLM ini sebenarnya adalah satu konsep bisnes yang agak mudah.
Setiap syarikat MLM menggunakan compensation plan (atau marketing plan) yang berbeza, namun dari segi asasnya, berikut adalah langkah demi langkah untuk menjadi sebahagian daripada pengedar dalam syarikat MLM
1. Kita daftar sebagai ahli atau pengedar
Kebiasaannya kita tak boleh nak daftar sendiri. Sebaliknya kita perlu dijemput atau kita sendiri hubungi mana-mana individu yang menjadi wakil bagi syarikat untuk minta didaftarkan.
2. Buat pembelian peribadi sebagai syarat untuk jadi pengedar
Dalam bisnes MLM, kita memang tak boleh lari daripada perlu membuat pembelian bagi kegunaan peribadi. Pelanggan utama bagi syarikat MLM adalah dalam kalangan ahlinya sendiri. Jika anda merasakan syarikat tersebut tidak mempunyai produk yang anda sendiri perlu atau mahu guna, lebih baik anda jangan sertai syarikat tersebut.
Ada beberapa kenalan yang mengajak saya untuk join bisnes MLM mereka yang produknya adalah susu. Saya pula bukanlah penggemar susu dan hanya minum susu sekali sekala. Jadi, saya menolak untuk join dan jalankan bisnes tersebut. Tak kiralah walaupun khabarnya potensi pendapatan yang bakal diperolehi agak besar, kalau produknya tak memberi sebarang kegunaan dan manfaat pada saya, saya terpaksa tolak pelawaan tersebut.
3. Buat kerja-kerja pemasaran
Susah ke nak buat kerja-kerja pemasaran ini? Sebenarnya tak susah mana pun. Kita hanya perlu bercerita mengenai produk. Ceritalah secara santai-santai, dan tak perlu nak terlalu menjual. Kita bercerita bagaimana produk yang dijual oleh syarikat MLM, mampu untuk menyembuhkan penyakit dan sebagainya.
Dalam bisnes MLM, masa kita akan banyak dihabiskan untuk buat kerja-kerja pemasaran sahaja. Ini merupakan satu perkara yang baik, sebabnya kita tak perlu disibukkan untuk fikir hal-hal lain, misalnya seperti hal berkaitan kewangan syarikat, pembangunan produk, customer service, penghantaran dan pembungkusan produk.
Kerja kita, fokus kepada pemasaran dan bercerita mengenai syarikat dan juga produk. Berbeza kalau kita buat bisnes sendiri. Kita perlu urus semua benda dan banyak perkara. Tapi kalau buat bisnes MLM, kita bertanggungjawab sepenuhnya pada kerja-kerja pemasaran sahaja.
Apabila kumpulan downline anda sudah cukup besar, pada waktu tu anda mungkin perlu upgrade peranan anda dalam bisnes. Kali ini bukan sekadar buat pemasaran untuk cari lebih banyak downline, sebaliknya anda melatih downline yang baru untuk jadi berjaya seperti anda juga.
4. Bina rangkaian dan daftarkan downline dalam rangkaian kita
Kerja pemasaran kita seharusnya berfokus untuk daftarkan seberapa banyak downline dalam rangkaian kita. Usaha pemasaran kita akan dilihat seperti hanya sia-sia, sekiranya tiada seorang pun yang berjaya kita daftarkan sebagai downline.
Sesetengah individu yang saya pernah temui, dia bertanya soalan yang agak aneh. Soalan dia ialah “berapa downline saya kena cari?”.
Saya rasa soalan itu agak aneh.
Pada pengalaman saya, untuk menjalankan sesuatu bisnes, kita perlu peruntukkan satu masa yang realistik. Contohnya, saya nak buat bisnes sekian sekian dan saya akan buat bersungguh-sungguh dalam masa 3 tahun. Ini bermakna, kita akan buat yang terbaik pada 3 tahun yang pertama.
Selepas tiga tahun, kita buat penilaian, sama ada wajar atau tidak bisnes tersebut diteruskan?
Atau wajar atau tidak buka cawangan baru?
Wajar atau tidak berpindah lokasi ke premis perniagaan yang lebih besar.
Cuba bayangkan, tiba-tiba pengusaha perniagaan tersebut tanya soalan, “berapa orang pelanggan saya kena cari?” .
Katakanlah, kita ada jawapan untuk soalan itu. Anda hanya perlu cari 10 orang pelanggan sahaja.
Apa yang anda akan lakukan setelah anda berjaya dapatkan 10 orang pelanggan? Adakah anda akan terus duduk santai dan tak mahu lagi berfikir tentang bisnes? Secara jujurnya, saya tak berapa setuju dengan cara pemikiran seperti itu.
Adalah lagi baik, anda tetapkan matlamat, jika serius nak buat sebarang bisnes, yang anda akan berusaha dengan sebaik mungkin selama 3 tahun. Siapa tahu, dalam masa tiga tahun anda buat bisnes secara tekun, jangan kata 10 orang pelanggan, anda mungkin berjaya tarik 1,000 orang pelanggan!
Adakah ini mustahil? Tidak mustahil dalam bisnes berkonsepkan MLM.
Cuma dalam MLM, kita tidaklah panggil pelanggan itu sebagai pelanggan, sebaliknya istilah yang lebih biasa digunakan adalah downline. Downline ini pun sebenarnya adalah pelanggan.
Memandangkan dalam bisnes MLM, ada konsep saling kerjasama antara upline dan downline, maka tak mustahil untuk anda berjaya dapat 1,000 orang downline dalam masa 3 tahun. Bukanlah bermaksud anda seorang kena cari 1,000 orang downline, bukan begitu.
Anda mungkin hanya cari 10 orang sahaja.
Manakala 10 orang yang anda cari ini juga buat benda yang sama dan akhirnya rangkaian anda berkembang dengan sendirinya.
Ini satu kelebihan yang ada pada bisnes jenis MLM, yang pastinya tak terdapat pada bisnes lain.
Apakah kedudukan Bisnes MLM dari segi syarak?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 25-26 Februari 2006 telah memutuskan bahawa:
“Konsep, struktur dan undang-undang perniagaan multi-level marketing (MLM) yang diluluskan oleh Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”.
Kriteria MLM yang diharuskan adalah selaras dengan Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM) yang diperakui oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun 2011. Kriterianya adalah seperti berikut :
1. Syarikat hendaklah melantik Penasihat Syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua orang Islam.
2. Produk MLM hendaklah selaras dengan syarak.
3. Berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.
4. Kontrak jualan langsung secara bertulis yang mengandungi terma dan syarat yang jelas dan hendaklah difahami dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
5. Tempoh bertenang iaitu tempoh tidak kurang daripada sepuluh hari bekerja dari tarikh penyertaan yang membenarkan seseorang peserta membatalkan atau menarik balik penyertaan dalam perniagaan jualan langsung.
6. Yuran keahlian pada kadar yang minimum meliputi kos pengurusan dan bahan-bahan bercetak yang dimasukkan dalam suatu kelengkapan jualan yang mengandungi pelan pemasaran dan kod etika syarikat dan bukan pada kadar yang tidak munasabah dan begitu tinggi.
7. Tujuan menjadi peserta syarikat jualan langsung mestilah jelas dan selaras dengan ketetapan syarak iaitu untuk menikmati keistimewaan dan insentif yang telah ditetapkan.
8. Akad dalam perniagaan jualan langsung antara syarikat dengan peserta hendaklah ditentukan dengan jelas.
9. Aktiviti pemasaran (marketing) hendaklah dilakukan secara patuh syariah, tiada elemen paksaan dan desakan, beradab dan tidak mengelirukan (misleading).
Kebiasaannya, yang menjadi pertikaian adalah pada point nombor 1 iaitu perlantikan panel Penasihat Syariah dalam syarikat MLM. Ada banyak syarikat MLM yang tidak ada atau masih belum ada Penasihat Syariah. Persoalannya, adakah jika tiada penasihat syariah, maka bisnes tersebut terus dianggap sebagai tak patuh syariah dan haram untuk disertai?
Melihat kepada trend bisnes MLM di Malaysia, saya dapati bisnes ini lebih popular dalam kalangan non-muslim. Penerimaan bagi non muslim terhadap bisnes MLM adalah lebih tinggi berbanding mereka yang beragama Islam, pada peringkat awal.
Jadi tak pelik kalau syarikat MLM tidak menjadikan point untuk mendapatkan penasihat syariah sebagai satu keutamaan. Asalkan mereka sudah mempunyai lesen SSM dan juga lesen AJL dari KPDNHEP.
Ini merupakan satu perbahasan yang menarik dan pastinya setiap orang mempunyai pandangan yang tersendiri. Saya juga pernah mendengar pandangan seperti “kalau syarikat mampu bayar komisen berjuta-juta kepada ahlinya, tak akan tak mampu nak lantik penasihat syariah?”
Saya melihat isu ini bukan dari sudut syarikat mampu atau tak mampu bayar gaji penasihat syariah. Boleh jadi mereka ada sebab yang kita mungkin tak terfikir. Mungkin mereka tak mahu dikaitkan dengan sebarang kumpulan, agama, ideologi politik dan sebagainya.
Isu ini ada sedikit persamaan dengan isu tentang logo halal. Adakah jika makanan tersebut tidak mempunyai logo halal, maka makanan tersebut adalah haram?
Sesetengah orang tidak mengatakan makanan yang tiada logo halal itu haram dimakan. Namun dari segi reaksi dan tingkah laku seolah-olah makanan tersebut haram.
Ada sesetengah orang tidak terus menjatuhkan hukum, bahawa makanan tanpa logo halal adalah haram dimakan. Sebaliknya dia akan melihat dulu pada kandungan makanan tersebut.
Begitulah juga halnya dengan bisnes MLM. Jika tiada penasihat syariah, kita seharusnya boleh membuat penilaian sama ada ianya patuh syariah atau tidak, dengan melihat beberapa kriteria seperti
1. Kaedah pemasaran yang digunakan
2. Produk yang dijual
3. Pengurusan perniagaan
Jika semuanya tiada masalah, dan sama sahaja dengan lain-lain bisnes diluar sana, maka bisnes tersebut tak ada masalah dari segi syarak. Kembali kepada hukum, iaitu harus.
Bisnes MLM dari sudut perundangan di Malaysia
Saya kongsikan artikel yang saya baca di akhbar Sinar yang ditulis oleh seorang pengamal undang-undang.
Dari sudut perundangan pula, bisnes MLM sememangnya sah disisi undang-undang. Walaubagaimanapun anda perlu pastikan syarikat yang anda ingin sertai itu nanti mempunyai lesen pendaftaran syarikat SSM dan mempunyai lesen jualan langsung yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sila berhati-hati dengan mana-mana syarikat yang memasarkan bisnes mereka menerusi kaedah MLM namun masih belum ada lesen jualan langsung yang dikeluarkan oleh KPDNHEP. Anda boleh buat semakkan di portal KPDNHEP bagi mengetahui apakah status syarikat tersebut.
Jika tiada maklumat tentang syarikat, atau memang syarikat tersebut tidak pernah memohon untuk dapatkan lesen AJL, maka tinggalkan sahaja syarikat tersebut. Boleh jadi syarikat tersebut sebenarnya menjalankan bisnes skim piramid ataupun menjalankan bisnes yang menyalahi undang-undang.
Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuat semakkan sebelum menyertai mana-mana bisnes yang menggunakan konsep MLM dan melindungi diri anda sendiri.
Sesetengah individu yang mengajak untuk join bisnes MLM, seolah-olah tidak memberi ruang untuk kita berfikir dan mempertimbangkan tawaran tersebut. Kita diasak dengan pelbagai hujah, hingga kita sendiri mula berasa lemas dan akhirnya terpaksa berkata ya kepada individu yang mengajak tersebut.
Jika ada unsur paksaan seperti itu, sudah jelas bahawa ia bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa fatwa iaitu dalam MLM tidak boleh ada unsur paksaan dan desakan. Individu yang mengajak orang lain untuk menyertai bisnes MLM perlulah beradab dalam membuat tawaran tersebut.
Patutkah anda join bisnes MLM?
Bisnes MLM adalah sah disisi undang-undang negara kita.
Jawatankuasa fatwa juga telah menetapkan bahawa bisnes MLM hukumnya adalah Harus.
Jadi, segalanya terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk buat keputusan. Ada sesetengah orang, dia agak anti dengan bisnes MLM. Ada yang bersifat neutral.
Bagi saya sendiri, saya tak mempunyai sebarang masalah dengan bisnes MLM, asalkan ianya dilakukan dengan etika dan cara yang betul. Memang betul, diluar sana terdapat banyak cerita-cerita yang kurang enak didengar berkait dengan bisnes MLM.
Namun akhirnya, itu semua bukan salah bisnes MLM, sebaliknya adalah kerana adanya tangan-tangan manusia yang tamak dan memanipulasi sistem MLM yang telah disusun secara adil.
Baiklah, jika anda berminat untuk membaca topik mengenai bisnes MLM dengan lebih mendalam, boleh ikuti perkongsian saya dilaman blog ini.
The post Apa itu Bisnes Multi Level Marketing? Patutkah anda join bisnes MLM? appeared first on Soal Jawab .MY.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://soaljawab.my/apa-itu-bisnes-multi-level-marketing-mlm/