Apa Contoh Kerja Yang Boleh Dilakukan Untuk Individu Lepasan Spm
Pernah tak anda terfikir, apa akan berlaku pada diri anda setelah tamat menduduki peperiksaan SPM semasa di tingkatan lima nanti?
Setelah tamat persekolahan, maka bermulalah cabaran hidup yang baru.
Kalau sebelum ini, kita hanya ikut sahaja cakap mak ayah untuk pergi ke sekolah, dari darjah satu sampai darjah enam, kemudian sambung pula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, kini selepas habis SPM, kita kena buat satu keputusan yang sangat penting.
Adakah anda nak sambung belajar?
Ini adalah pilihan yang sangat digalakkan. Selagi usia masih muda, sebaik-baiknya sambunglah pengajian hingga ke peringkat yang paling tinggi. Kalau boleh belajar sampai ke tahap PhD, sila teruskan.
Atau anda mungkin nak bekerja.
Bekerja juga adalah satu pilihan yang bagus. Dengan bekerja, anda boleh menerima gaji dan secara tak langsung dapat meningkatkan tahap ekonomi keluarga dan tak perlu lagi bergantung kepada orang lain untuk hidup.
Apabila anda ada pendapatan sendiri, anda boleh beli apa sahaja yang anda mahu, tanpa perlu minta izin atau kebenaran dari sesiapa. Duit gaji anda, gunalah dengan sesuka hati anda.
Anda nak berkahwin dan fokus kepada membina keluarga bahagia.
Saya dapati, ada ramai juga kenalan di media sosial yang memilih untuk berkahwin setelah habis persekolahan. Habis SPM, tak perlu lagi nak fikir persoalan tentang nak kerja dimana, atau nak sambung belajar dalam bidang apa, sebaliknya terus berkahwin.
Setelah berkahwin, prioriti lebih kepada untuk membina keluarga. Kebiasaannya yang kahwin awal ini adalah orang perempuan.
Anda ingin berniaga.
Mereka yang sudah terdedah dengan aktiviti keusahawanan semasa diperingkat sekolah, mungkin lebih berminat untuk berniaga berbanding bekerja dengan majikan apabila tamat persekolahan. Berniaga juga adalah satu usaha yang bagus untuk mencari rezeki yang halal.
Walaupun begitu, saya secara peribadi lebih menggalakkan anda bekerja dengan orang, dan belajar dari pengalaman sebelum terus terjun dalam bidang perniagaan pada usia yang begitu muda.
Mungkin juga, anda tak nak buat apa-apa. Hanya nak duduk berehat tanpa berbuat apa-apa.
Orang yang macam ini juga memang ada. Alasannya nak berehat puas-puas sebab dari usia 7 tahun sampailah 17 tahun telah penat perah otak dan belajar. Jadi buat sementara waktu, tak nak buat apa-apa, tapi sekadar nak duduk berehat di rumah, layan movie dari pagi sampai malam, makan free dan cukup masa, sambung tidur.
Saya harap anda tidak termasuk dalam golongan yang tak nak buat apa-apa macam ini. Kalau cuma nak makan tidur, melepak dengan kawan-kawan, dan bila tak ada duit cuma tahu meminta-minta, ini bukanlah cara hidup yang baik.
Tapi saya percaya, anda bukanlah orang yang macam tu, sebab itu anda nak dapatkan idea, apa contoh kerja yang anda boleh buat, kalau cuma ada SPM ataupun kalau anda baru sahaja habis SPM.
Baiklah, saya akan senaraikan beberapa contoh kerja untuk anda pertimbangkan. Seterusnya, terpulang kepada anda, sama ada nak buat permohonan atau sebaliknya.
Untuk makluman anda, semua tawaran dan iklan kerja dibawah ini, saya ambil dari laman web Maukerja.my. Dalam laman web ini ada banyak peluang kerja kosong yang anda boleh isi, sama ada sebagai pekerja sepenuh masa ataupun pekerja part time.
[1] Kerja dengan syarikat yang mengendalikan pusat panggilan atau Call Center
Dalam bahasa mudahnya ialah kerja call center.
Kita lihat potensi gaji yang boleh diperolehi melalui kerja ini.
Kerja call center anda boleh dapat gaji sehingga RM2,400 – RM2,800 sebulan. Kerja seperti ini hanya memerlukan anda mempunyai kelayakan minimum SPM.
Tak perlu risau kalau tak ada pengalaman bekerja sebelum ini, sebabnya anda akan diberikan latihan semasa bekerja. Saya sendiri pernah bekerja di pusat panggilan satu ketika dulu, dan saya dapati ada ramai juga pekerja yang hanya mempunyai sijil SPM diterima bekerja ditempat saya.
Dari segi cara kerja, setiap hari saya perlu melayan panggilan telefon oleh pelanggan yang berdepan dengan masalah, yang ingin mendapatkan maklumat, atau apa sahaja. Jumlah panggilan telefon adalah sekitar 60 – 100 panggilan telefon, bergantung kepada berapa ramai pelanggan yang membuat panggilan.
Kerjanya tidak begitu susah. Kita hanya perlu jawab telefon dan bantu pelanggan setakat yang kita mampu. Walaupun begitu, kerja ini agak memenatkan sebab kita kena dengar dengan betul apa yang dimahukan oleh pemanggil dan cuba sehabis baik untuk bantu selesaikan masalah mereka.
Saya dapati kerja di pusat panggilan (atau call center) jadi lebih mudah kalau kita anggap seperti kita sedang bersembang-sembang dengan kawan kita. Dalam situasi saya, saya anggap semua pelanggan yang buat panggilan adalah kawan saya sendiri.
Anda boleh terus ke pautan ini jika ingin melihat iklan kerja dalam bidang call center.
[2] Kerja sebagai Pembantu Pelanggan @ Sales Assistant @ Shop Assistant dikedai serbaneka
Kerja sebagai pembantu pelanggan ini, ada beberapa nama. Kadang-kadang ia dipanggil dengan gelaran shop assistant, sales assistant atau ada juga yang menggunakan istilah sales advisor.
Pada asasnya, kerja ini sebenarnya adalah untuk membantu pelanggan membuat pembelian di kedai. Kalau pelanggan ada masalah seperti tak tau tentang produk, tak jumpa produk, maka pembantu jualan ini perlu main peranan untuk bantu pelanggan dapatkan produk yang dimahukan.
Pasaraya yang besar, ataupun kedai yang agak luas yang menjual pelbagai produk dari macam-macam jenama adakalanya menyukarkan pelanggan untuk cari barang. Jadi, inilah peranan yang perlu anda jalankan.
Berapa gaji boleh dapat?
Kerja ini menawarkan gaji sekitar RM1,000 – RM1,500 setiap bulan.
Anda boleh ke halaman ini untuk membuat permohonan kerja dengan syarikat Watson.
[3] Kerja sebagai penghantar barangan atau despatch
Kerja hantar barang biasanya memerlukan anda untuk mempunyai kenderaan sendiri dan ada lesen. Kalau anda pilih untuk kerja despatch, kenderaan yang lebih sesuai adalah motosikal.
Pada hari ini, kerja sebagai penghantar barangan semakin banyak tersedia. Anda boleh pilih sama ada nak bekerja menghantar barangan seperti dokumen, atau mungkin menghantar makanan.
Tawaran gaji yang disediakan untuk anda adalah sekitar RM1,500 – RM2,000 setiap bulan. Kalau boleh tanyakan juga sama ada pihak majikan menyediakan elaun tambahan ataupun perlindungan insurans kalau terjadi apa-apa semasa bekerja.
Maklumlah kerja atas jalan raya ini agak berisiko dan pada bila-bila masa kemalangan boleh berlaku kalau cuai. Apa pun, kalau nak minta kerja sebagai penghantar barang, kena berani tanggung risiko dan boleh buat carian kerja menerusi pautan ini.
[4] Kerja Hotel
Kerja di hotel, bukan semata-mata untuk dapatkan gaji semata-mata, sebaliknya anda yang bekerja hotel patut ambil peluang ini untuk belajar sebanyak mungkin cara bagaimana sesebuah hotel itu diuruskan.
Satu hari nanti, mana tahu anda akan buat bisnes homestay atau guesthouse, setidak-tidaknya anda ada pengalaman bekerja di hotel sebelum ini.
Kerja di hotel sebagai penyambut tetamu ini anda boleh dapat gaji sekitar RM1,500 – RM2,200 sebulan. Andai kata anda tak dapat bekerja di hotel ternama dan terkemuka, pertimbangkan untuk kerja di hotel biasa. Apa yang penting adalah belajar dari pengalaman kerja yang bakal anda lalui nanti.
[5] Kerja Telemarketer
Pernah tak, satu hari telefon anda berdering dan nombor yang terpapar pada skrin adalah dari nombor yang tak dikenali. Bila kita jawab panggilan, rupa-rupanya si pemanggil nak cerita tentang perlindungan insurans, kad kredit, pinjaman bank dan macam-macam lagi.
Kalau anda nak tahu, itulah kerja seorang telemarketer.
Telemarketer ini akan telefon orang yang tak dikenali, kemudian akan buat penerangan tentang produk melalui telefon.
Orang yang ada SPM boleh mohon kerja ini, dan gajinya juga boleh tahan iaitu RM1,000 – RM2,200 sebulan. Saya pun sebenarnya tak berapa suka kerja macam ni, tapi memandangkan ini antara kerja yang ada banyak kekosongan, jadi saya cerita juga disini.
Mana tahu ada yang berminat nak cuba. Kalau nak mohon kerja, sila ke halaman ini.
[6] Kerja di Restoran
Satu lagi tempat yang boleh dikatakan ada banyak kekosongan kerja adalah kerja di tempat makan. Lihat disekeliling anda, dan perhatikan ada berapa banyak restoran dan kedai makan yang terdapat disekeliling anda.
Sama ada anda nak kerja dibahagian dapur, ataupun bekerja dibahagian hadapan. Kalau anda merasa segan untuk bekerja di restoran yang menyediakan nasi campur atau masakan ala thai, maka anda boleh pertimbangkan untuk kerja di restoran makanan segera.
Contohnya?
McDonald, KFC, Burger King dan banyak lagi.
Gaji yang boleh diperolehi juga agak lumayan, iaitu sekitar RM1,200 – RM1,500 sebulan. Dekat sini ada banyak iklan kerja kosong sebagai kru restoran yang anda boleh mohon sekarang juga.
[7] Kerja di Panggung Wayang
Kerja di panggung wayang juga adalah antara kerja yang tak begitu susah dan ada banyak kekosongan.
Mungkin perkara yang menarik dengan kerja di panggung wayang ni ialah, anda boleh menonton cerita-cerita terbaru lebih awal dan percuma sahaja berbanding kawan-kawan anda yang lain.
Dalam satu panggung wayang, ada macam-macam kerja yang boleh dilakukan, dan ia bukannya terhad kepada jaga tiket dan keluar masuk penonton. Ada banyak lagi kerja. Anda yang minat nak kerja di panggung wayang, boleh cuba tengok kekosongan kerja melalui pautan ini.
Gaji yang boleh diperolehi untuk kerja di panggung wayang adalah sekitar RM900 – RM1,200 sebulan.
[8] Kerja sebagai tutor atau cikgu tusyen
Kerja ini sesuai untuk mereka yang minat untuk menjadi tenaga pengajar.
Anda boleh kerja dengan pusat tusyen, dan menjadi cikgu tusyen ataupun boleh juga tawarkan khidmat tutor secara persendirian kepada pelajar lain yang memerlukan.
Kalau anda lepasan SPM, anda boleh bantu orang lain yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun akan datang ataupun boleh juga jadi tutor untuk pelajar yang bakal menduduk UPSR mahupun PT3.
Gaji untuk kerja sebagai tutor adalah bermula RM1,500 – RM3,000 sebulan.
Andai kata anda minat nak cari kerja sebagai tutor atau tusyen, boleh cari disini. Manalah tahu, ada kekosongan kerja sebagai cikgu tusyen dikawasan berdekatan dengan anda.
[9] Kerja pengurus akaun media sosial
Kalau kita merujuk kepada iklan kerja diatas ini, untuk jawatan pemasaran media sosial ini, gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM2,500 – RM4,000 sebulan.
Kerjanya adalah menjaga dan menguruskan akaun media sosial milik syarikat. Pada masa yang sama, anda juga perlu buat kerja-kerja pemasaran untuk pihak syarikat melalui media sosial tersebut.
Suka habiskan masa di media sosial? Jika ya, jawatan ini mungkin untuk anda.
Baiklah, apa yang saya kongsikan disini adalah antara contoh kerja yang popular yang boleh dimohon oleh mereka yang ada kelulusan minimum SPM atau yang baru menamatkan pengajian. Sementara menunggu peluang kerja yang diidam-idamkan, bolehlah cuba apply kerja-kerja yang dicadangkan ini.
Jadi lepas ini, daripada anda duduk melepak tak buat apa-apa, ada baiknya anda cari kerja. Dengan bekerja, anda boleh dapat pengalaman, dapat ilmu baru, dan akan ada pendapatan sendiri.
The post Apa contoh kerja yang boleh dilakukan untuk individu lepasan SPM? appeared first on Soal Jawab .MY.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://soaljawab.my/apa-contoh-kerja-yang-boleh-dilakukan-untuk-individu-lepasan-spm/