Anwar Muhyiddin Dan Tun M Akan Bincang Kerjasama Politik
inforakyat.net
21/3/2022
Anwar, Muhyiddin dan Tun M akan bincang kerjasama politik? Sudah sampai masanya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang untuk bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bendahari Kelab Veteran Bersatu Malaysia (KVBM), Saifulanuar Yahya berkata, semua pihak perlu melupakan persengketaan dan ego masing-masing sebaliknya merangka strategi bersama-sama untuk PRU15.
“Kekalahan PN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebenarnya adalah satu hikmah, ini melihatkan di mana kelemahan PN dan PH. Kelemahan ini boleh dibaiki dalam PRU15.
“Kita boleh gunakan formula kerjasama politik yang sama dalam PRU14 dan ini sudah terbukti berjaya, bagi pemilihan logo parti atau logo gabungan mana akan digunakan, itu boleh dibincangkan nanti.
“Kita harus belajar daripada kesilapan PRN Johor. Analisis mendapati pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor hanya 35 peratus manakala 65 peratus lagi menyokong PN dan PH,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, Larkin di sini pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha KVBM, Datuk Jemale Paiman, Ketua Penerangannya, Haron Ariffin serta dua Ahli Jawatankuasanya Norzri Mokhtar serta Lokman Abu
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa PH, PN dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengadakan kerjasama strategik bagi mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat dan seterusnya mampu menumbangkan BN pada PRU15.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu menjangkakan akan wujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU15 kerana perpecahan hanya memberi kelebihan kepada BN.
Mengulas lanjut, Saifulanuar berkata, melalui perbincangan itu nanti dicadangkan PN dan PH masing-masing bertanding di 111 kerusi Parlimen serta memastikan tidak akan berlaku pertembungan kerusi sesama mereka.
Katanya, bagi parti pembangkang lain contohnya Pejuang, Muda atau Parti Warisan (Warisan), mereka boleh memilih untuk menyertai PN atau PH dan semuanya perlu mengutamakan semangat setiakawan dan mempunyai matlamat yang sama iaitu menang PRU15.
“PN dan PH boleh tanding di semua 222 kerusi Parlimen, kita bahagi dua, PN tanding 111 kerusi Parlimen, PH juga tanding 111 kerusi Parlimen, kita bahagikanlah supaya tidak ada satu kerusi pun yang bertembung,” katanya.
Beliau akui akan ada parti-parti komponen dalam PN atau PH mempunyai perbezaan pandangan yang menyukarkan rundingan termasuk beberapa pemimpin gabungan politik tersebut sudah pun mengeluarkan kenyataan membantah rancangan itu baru-baru ini.
Namun katanya, itu semua hanya pandangan peribadi pemimpin berkenaan serta tidak mewakili parti, apabila keputusan sudah dipersetujui kepimpinan tertinggi nanti semua pihak perlu akur untuk kepentingan semua.
Sementara itu, Jemale berkata, perancangan untuk PN, PH dan parti pembangkang lain bergabung tidak mustahil dilaksanakan malah sudah terbukti pada PRU14 sehingga berjaya menjatuhkan BN yang memerintah lebih 60 tahun.
Tambahnya, amat penting hanya dua gabungan politik bertanding dalam PRU15 kerana PRN Johor membuktikan PN dan PH gagal sedangkan BN sebenarnya tidak kuat serta masih lagi ditolak rakyat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/03/anwar-muhyiddin-dan-tun-m-akan-bincang.html