Anwar Dakwa Pakatan Harapan Menolak Tawaran Yang Di Buat Pm Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) menolak tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui ucapan khas Perdana Menteri bersama memulihkan negara, hari ini.
Pendirian itu disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Dalam kenyataan dikeluarkan bersama, Majlis Presiden PH menyifatkan tawaran itu sepatutnya dibuat Muhyiddin lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.
"Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.
"PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19.
"Kami yakin bahawa kami mampu mengemuka suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian," katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.
Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut berpandangan perutusan khas Muhyiddin pengakuan terbuka Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, iaitu Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.
"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti, namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang.
"Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Majlis Presiden PH mendakwa Perdana Menteri dengan jelas membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan apabila berkata, tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/08/anwar-dakwa-pakatan-harapan-ph-menolak.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)