Anda Minum Air Terus Dari Paip Macam Menteri
Geraldine Tong
Ketika menekankan betapa selamat air paip untuk diminum terus, Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Dr Xavier Jeyakumar berkata beliau sendiri meminum terus dari paip.
Malaysiakini kemudian mengadakan tinjauan di Facebook serta bertanya kepada sejumlah anggota parlimen, sama ada mereka juga berbuat perkara sama.
Kebanyakannya menjawab "tidak".
Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh (DAP) berkata Jeyakumar tidak salah untuk mengatakan air terawat selamat diminum tetapi membangkitkan masalah terletak pada perjalanan air dari loji melalui paip, yang sebahagiannya mungkit berkarat.
"Kata-kata dia tak salah, cuma orang ramai tidak faham bahawa daripada loji (rawatan air) ke rumah - (ia melalui) paip," katanya kepada Malaysiakini.
Yeoh (gambar) berkata beliau akan minum terus air dari paip hanya jika ia dipasang alat penapis.
Anggota Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) pula yakin "99 peratus"
rakyat Malaysia tidak minum air dari paip, dan beliau termasuk dalam golongan itu.
"Saya ada penapis untuk paip di rumah saya. Saya basuh dua kali seminggu dan air lumpur akan keluar, mustahil untuk minum (terus)," katanya.
Kelantan diketahui sering berdepan rungutan berhubung kebersihan bekalan air.
Tuan Ibrahim (gambar) berkata, Kementerian Kesihatan patut mengadakan ujian untuk meyakinkan orang ramai bahawa air paip selamat untuk diminum.
Begitu juga dengan Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (DAP) yang berkata tidak akan minum air terus dari paip.
"Banyak rumah memasang penapis dan jika anda bersihkannya setiap minggu, saya tidak rasa anda akan minum terus dari paip," katanya lagi.
Anggota Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan (Umno) pula menasihati rakyat Malaysia agar tidak mencontohi Jeyakumar.
"Saya nasihatkan orang ramai agar minum air yang dimasak atau ditapis. Jangan buat seperti menteri dengan minum terus dari paip," kata Ahmad (gambar).
Bagi Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi (DAP) pula, beliau hanya minum air yang telah dimasak.
"Bagi kawasan saya, saya pastinya tidak minum terus dari paip kerana mutu air di Kluang telah terbukti agak rendah.
"Tetapi saya yakin ada kawasan lain di Malaysia, syarikat konsesi air membekalkan air dengan mutu yang lebih baik. Jadi ia berbeza mengikut kawasan," katanya lagi.
Berdasarkan tinjauan Malaysiakini di Facebook yang dibuat dalam tiga bahasa, 85 peratus responden berkata tidak akan minum air terus dari paip, manakala 15 peratus lagi berkata berbuat demikian.
Sejumlah 15,600 responden mengambil bahagian dalam tinjauan selama 24 jam itu.
Berikut adalah keputusannya:
Facebook Malaysiakini bahasa Inggeris
Jumlah undi: 5,200
Ya: 772 (15 peratus)
Tidak: 4,400 (85 peratus)
Facebook Malaysiakini bahasa Melayu
Jumlah undi: 6,300
Ya: 1,000 (16 peratus)
Tidak: 5,300 (84 peratus)
Facebook Malaysiakini bahasa Cina
Jumlah undi: 4,100
Ya: 234 (5 peratus)
Tidak: 3,900 (95 peratus)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/10/anda-minum-air-terus-dari-paip-macam.html