Anak Patuh Solat Kerana Ganjaran Mak Ayah Jangan Biasakan Kelak Anak Makin Meminta
Mendidik anak melakukan beberapa perkara tertentu misalnya bersolat, berpuasa dan sebagainya dengan ganjaran yang dijanjikan oleh mak ayah sememamgnya mampu menarik perhatian anak. Pun begitu jangan terlaku kerap ditawarkan dengan ganjaran yang macam-macam, bimbang anak cepat bosan bahkan bimbang anak menuntut lebih dari sepatutnya.
Lebih buruk lagi, anak mula melalukan arahan yang diberikan ibu ayah dengan ketidakikhlasan hatinya, semata-mata untuk mendapatkan ganjaran. Hal ini sepatutnya dielakkan.
Malah menurut Pn Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist dari BEYOND Home Therapy, jangan dibiasakan hal sebegini tetapi biarkan anak merelakan atas apa yang disukainya. Lebih-lebih lagi mengenai solat dan berpuasa.
BIARKAN ANAK YANG MAHU
Anak solat sebab takut kena rotan.
Anak pakai tudung sebab nanti mak ayah marah.
Anak tingkatan 4 tak mahu puasa kalau tak dapat hadiah?
Ya, beri hadiah atau hukuman memang salah satu teknik yang berkesan untuk mengajar rutin dan tabiat pada anak.
Tetapi persoalannya sampai bila?
Sampai bila anak perlu bergantung harap pada “extrinsic motivation” ataupun motivasi luaran?
Tahukah mak ayah, dalam kita menerapkan sesuatu rutin, tabiat atau perbuatan baik pada anak. Semuanya bergantung kepada motivasi anak melakukan sesuatu.
Motivasi untuk solat.
Motivasi untuk berbuat baik.
Motivasi untuk belajar.
Motivasi untuk menutup aurat.
Motivasi untuk berkelakuan baik.
Kalau tak ada motivasi, memang susah untuk kita buat dengan sendiri. Motivasi pula ada 2 jenis,
1. Motivasi luaran – Hadiah atau elak dari dapat hukuman.
2. Motivasi dalaman – Datang dari diri sendiri.
Ada kajian yang menunjukkan apabila kita terlampau beri motivasi luaran seperti beri hukuman atau hadiah, ia boleh mengurangkan motivasi dalaman.
Dalam kajian itu terbukti kanak-kanak yang selalu diberi ganjaran untuk bermain sesuatu mainan yang mereka memang minat menjadi kurang minat untuk main mainan tersebut setelah mainan itu diberi sebagai ganjaran.
Contohnya kita selalu beri hadiah pada anak untuk main Lego jika berkelakuan baik, kesannya anak akan jadi kurang minat untuk main Lego.
Dalam kes yang lebih ekstrim, jika kita selalu sangat beri hadiah kepada anak yang memang suka membaca buku selepas anak membaca buku. Anak akan jadi kurang minat membaca buku.
Sebab itu bagi saya sistem hukuman atau hadiah sangat bahaya kalau terlalu berlebihan atau salahguna. Boleh guna untuk sesuatu perkara yang anak memang tak suka lakukan cuma perlu rangsang motivasi dalaman anak bersama-sama.
Dalam kes solat, puasa atau menutup aurat, pendapat saya seeloknya mak ayah rangsang motivasi dalaman dahulu sebab itu adalah kewajipan sebagai orang Islam. Buat anak mahu buat dahulu dengan cara:
1. Jadi “role model” pada anak.
2. Cerita tentang kenapa kita solat, puasa dan menutup aurat.
3. Tunggu anak yang minta nak solat dan puasa bersama-sama semasa anak 7 tahun kebawah. Kebiasaannya anak umur 1 tahun sudah mula meniru perbuatan mak ayah. Itu yang bila kita solat, dimana tempat sujud disitulah anak mahu duduk.
4. Dalam Islam juga kita tidak boleh merotan anak semasa anak 7 tahun kebawah. Dedahkan dan ajak anak boleh cuma belum wajib lagi.
5. Rangsang motivasi dalaman anak dahulu sebelum kita beri hadiah atau hukuman.
6. Umur 7 tahun barulah terapkan disiplin dan tanggungjawab.
7. Tekankan kewajipan anak dan hadiah hanya sampingan.
8. Umur 10 tahun baru boleh hukum jika tinggal solat.
Memang normal kita sebagai mak ayah kalau boleh mahu anak kita cepat dari semua aspek. Tetapi apa guna cepat tetapi tidak tahan lama?
Kita tak mahu jadi punca anak solat dan puasa hanya didepan mak ayah. Dalam parenting, kita perlu fikir jangka masa panjang. 12 tahun sahaja kita ada masa untuk bentuk anak. Anak dah masuk sekolah menengah, mereka sudah masuk alam separuh dewasa.
Sebab itu dalam didikan agama, saya dan suami ambil pendekatan untuk tidak terburu-buru dan ikut didik ikut cara Nabi Muhammad kerana kami juga dibesarkan dengan cara ini.
Kami mahu anak gembira setiap kali waktu solat atau puasa semasa umur 7 tahun dibawah. Jadikan perkara tersebut sebagai perkara yang seronok dan ceria bukannya sebagai sesuatu yang stress. Percayalah, pasti anak yang mahu lakukannya sendiri.
Sepanjang saya membesar, seingat saya, masa darjah 3 barulah ayah saya rotan bila tinggal solat. Tiap kali lepas maghrib, ayah saya akan soal setiap waktu solat sembahyang atau tidak. Kalau 3 waktu tidak solat, alamatnya dapatlah 3 kali rotan. Tapi tak lama pun, masa awal-awal sahaja. Lepas itu sendiri dah biasa.
Dalam kes menutup aurat pula, bila dah umur 7 tahun memang dah tak ada pakai skirt ataupun seluar pendek tak kiralah anak lelaki atau perempuan. Pakai baju “princess” tetapi berseluar panjang. Belilah baju fesyen apa-apa yang penting sopan.
Tudung pula tidak pernah mak ayah paksa pakai, cuma sentiasa diingatkan yang nanti dah baligh kena tanggung dosa sendiri. Pakai tudung untuk diri sendiri, tak mahu tanggung dosa bukan sebab takut mak ayah marah.
Saya pasti apabila berbicara tentang ini memang semua ada pendapat dan hujah masing-masing. Poin penting saya adalah, gunalah apa-apa cara tetapi yang penting kita mak ayah rangsang motivasi dalaman bukannya mengharap motivasi luaran semata-mata.
Dunia parenting penuh dengan seni. Lagi-lagi dalam keadaan dunia semakin mencabar, seperti menarik rambut dalam tepung. Kena faham dan banyak belajar tentang psikologi anak. Setiap personaliti dan umur anak pendekatannya berbeza.
Cuba kongsikan cara kalian dididik puasa atau solat dahulu? Semoga semua mak ayah dipermudahkan dalam mendidik anak. Semoga bermanfaat.
Baca: Tak Keluar Rumah Pun Ibu Risau Kesihatan Anak, Ini Apa Yang Boleh Dibuat!/
**Nak menang hadiah menarik dari SSPN, boleh hantar penyertaan Cabaran RM10 mengikut kreativiti anak. Nak tahu lanjut boleh klik sini
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
The post Anak Patuh Solat Kerana Ganjaran Mak Ayah, Jangan Biasakan. Kelak Anak Makin ‘Meminta’! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/anak-patuh-solat-kerana-ganjaran-mak-ayah-jangan-biasakan-kelak-anak-makin-meminta/