Ambil Iktibar Penganggur Didenda Rm27 000 Hina Agong
Siti Hafidah
ISMA harap tiada lagi perlakuan hina Agong pada masa hadapan									  	 	   

		 			 			BANGI – Hukuman yang dijatuhkan ke atas seorang penganggur oleh Mahkamah  Sesyen kerana membuat hantaran jelik menggunakan profil Facebook palsu  terhadap Yang di-Pertuan Agong tiga bulan lalu, wajar dijadikan  pengajaran semua pihak.
Sahril Zainudin, 26, didenda RM27,000  atau sembilan bulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan  yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.
Menerusi penghakimannya, Edwin berkata,  mahkamah mengambil kira bahasa yang digunakan adalah keterlaluan dan  menjatuhkan Agong sebagai raja Berperlembagaan.
“Bagi pertuduhan kedua, tindakan OKS dengan niat untuk menganiaya  seorang wanita iaitu dengan mewujudkan akaun palsu menggunakan nama  pemilik asal FB Puan Linda (Fatin Aslinda Abu Talib, 33) menyebabkan dia  menerima ugutan culik dan rogol oleh pelayar FB yang tidak dikenali,”  katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Sahril  selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa secara sedar membuat penghantaran  itu dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya.
Dia didakwa membuat hantaran menerusi  perkhidmatan FB atas nama Puan Linda secara sedar, didakwa dengan niat  untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran jelik berkenaan dibaca pada jam 1.05 petang, 2 Mac lalu di  pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan  Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di  bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh  didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau  kedua-duanya dan hendaklah dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi  setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara pertuduhan kedua, OKS membuat kenyataan berkenaan dengan niat mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b)  Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang  memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau  kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 29 Februari hingga 1 Mac lalu.
Lantaran itu, Presiden gerakan Islam  Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap  perbuatan tidak bertanggungjawab ini tidak lagi berlaku pada masa akan  datang.
“Kita harap tiada lagi perlakuan menghina Agong lagi pada masa akan datang. Semoga ini menjadi pengajaran buat semua,” katanya. 			 		
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/ambil-iktibar-penganggur-didenda.html