Alunan Azan Iringi Petugas Kesihatan Ke Sabah
Oleh Siti Rohana Idris
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (tengah) bergambar dengan enam kakitangan JKNK yang berlepas ke Sabah pada majlis pelepasan di lobi Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). - Foto ihsan pembaca KOTA BHARU: Laungan azan mengiringi enam kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang dihantar ke Sabah, semalam bagi membantu mengawal penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.
Suasana sedih menyelubungi sekitar acara pelepasan yang dimulakan dengan ucapan disusuli doa seterusnya azan dilaungkan oleh pegawai agama JKNK mengiringi kakitangan berkenaan ketika keluar dari lobi Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ada di antara kakitangan itu cuba menahan sebak, malah ada yang menangis sambil ditenangkan rakan setugas dengan memberi kata-kata semangat.
Mereka antara 85 kakitangan JKNK yang dihantar berkhidmat di beberapa hospital dan pejabat kesihatan di Sabah.
Penghantaran dilakukan secara berperingkat bermula 23 September lalu dan terkini membabitkan enam pembantu perawatan kesihatan yang dihantar semalam.
Pelepasan diadakan di lobi Kompleks Rawatan Harian HRPZ II pada jam 10 pagi oleh Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin.
Zaini berkata, penghantaran kakitangan JKNK itu adalah bagi membantu pengurusan kesihatan di Sabah dalam usaha merawat pesakit serta mengawal wabak COVID-19 yang masih menular di sana.
"Semua kakitangan JKNK yang dihantar akan berada di sana selama sebulan dan diletakkan di beberapa lokasi hospital dan pejabat kesihatan antaranya di Tawau, Labuan dan Semporna bergantung kepada kerajaan Sabah.
"Kakitangan yang dihantar membabitkan pakar perubatan, pegawai, penolong pegawai, jururawat serta pemandu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zaini berkata, enam kakitangan terbabit menaiki kereta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Sabah.
"Alunan azan adalah bagi menyuntik semangat dan menganggap tugasan yang diberikan adalah satu ibadat.
"Selepas sebulan, mereka akan digantikan dengan kakitangan lain bergantung kepada keperluan dan sudah ada kakitangan yang pulang iaitu mereka yang berlepas sebelum ini," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/alunan-azan-iringi-petugas-kesihatan-ke.html