Al Jazeera Program 101 East Bukan Dalam Kategori Filem Perlu Lesen Finas
MALAYSIAKINI
Pengurusan  agensi berita antarabangsa Al-Jazeera menegaskan hari ini bahawa  program mingguan '101 East' tidak memerlukan lesen dari Perbadanan  Pembangunan Filem Nasional (Finas) sebelum dihasilkan.
Ini kerana, katanya, program berkenaan bukan dalam kategori filem yang memerlukan lesen.
"Al  Jazeera menegaskan bahawa, menurut definisi Finas sendiri, program hal  ehwal semasa mingguan 101 East tidak termasuk dalam kategori filem yang  memerlukan lesen," kata pasukan perhubungan awam Al-Jazeera di Twitter.
Kenyataan  itu juga berkongsi mesej dari pengarah urusan Al Jazeera bahasa  Inggeris, Giles Trendle yang membantah percubaan pihak berkuasa Malaysia  untuk mengetahui sama ada episod kontroversinya yang bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" dilesenkan oleh Finas sebelum dihasilkan.
"Kerana  tidak dapat mempertikaikan integriti kewartawanan kami, kami yakin  pihak berkuasa kini berusaha melakukan tuntutan baru ini dengan mendakwa  kami tidak memiliki lesen yang wajar," kata Giles.
"Kami tidak percaya ini adalah hujah yang boleh diterima.
"Malah, kami percaya ia bertentangan dengan garis panduan yang diterbitkan sendiri oleh pihak berkuasa," kata Giles lagi.
Finas  pada hari Isnin mengatakan bahawa siasatan awalnya mendapati bahawa Al  Jazeera tidak mempunyai lesen yang diperlukan untuk menghasilkan  dokumentari berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas  Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengatakan  kementeriannya akan menyemak sama ada dokumentari itu dilesenkan oleh  Finas sebelum dihasilkan.
Beberapa pakar sebelum ini memberitahu  Malaysiakini bahawa penguatkuasaan Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981  mengenai syarat pelesenan boleh memberi implikasi yang luas kerana  definisi filemnya yang luas.
Subseksyen berikutnya menyatakan  bahawa lesen boleh ditolak tanpa alasan yang diberikan dan pelanggaran  boleh mengakibatkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda maksimum  RM50,000 atau kedua-duanya.
Awal bulan ini, Al-Jazeera telah  mengeluarkan dokumentari berdurasi 25 minit yang mengecam layanan  terhadap warga asing tanpa dokumen ketika Malaysia mengambil langkah  mengatasi wabak Covid-19 di negara ini.
Putrajaya mengecam dokumentari itu dan menyifatkannya sebagai berat sebelah.
Polis  sebelum ini mengesahkan akan memanggil beberapa pihak berkuasa yang  berkaitan untuk mengesahkan beberapa perkara dari segi kelulusan dan  kebenaran yang diberikan dalam penghasilan dokumentari tersebut.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/al-jazeera-program-101-east-bukan-dalam.html