Air Selusuh Paksa Sakit Kontraksi Sebelum Waktunya Bahaya Untuk Ibu Bayi
Air selusuh diminum selepas tanda-tanda awal bersalin itu berlaku, keluar darah awal bersalin pecah air mentuban pecah atau sakit kontraksi sudah bermula. Bukan sahaja boleh diminum, ada yang boleh disapu pada perut, bersertakan bacaan-bacaan tertentu. Benarkah akar fatimah mempercepatkan proses kelahiran?
Selusuh yang melibatkan hanya air kosong dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan doa, sepatutnya tiada masalah untuk diamalkan. Ada beza tu, doa dan jampi yang bukan-bukan. Jangan keliru!
Air rendaman akar fatimah, minyak selusuh bidan kampung, air jampi, air asam jawa yang dibacakan jampi, rendaman akar kayu dan herba – sekadar menamakan sedikit jenis-jenis selusuh amalan orang melayu. mungkin ada banyak lagi selusuh yang mungkin tidak saya ketahui.
Artikel Menarik: [Ayah Selalu Sembang Dengan Bayi Dalam Perut, Anak Jadi Sihat & Bijak!]
Selusuh jenis ini tidak diketahui cara penghasilan dan bahan kimia aktif di dalamnya – ada kajian membuktikan bahan yang digunakan mempunyai aktiviti seperti hormon oksitosin yang menyebabkan kontraksi pada rahim.
Ia merbahaya kerana jumlah dos untuk menggalakkan kontraksi ini tidak dapat diketahui berbanding hormon oksitosin yang digunakan dalam dalam perubatan obstetrik moden diketahui dosnya dan diubah mengikut keperluan pesakit. Ia juga tidak diberikan kepada si ibu sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh.
Ikuti penerangan dari Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kehamilan & Kesihatan Wanita, tentang isu ini.
Melihat kepada pengalaman saya yang sekelumit cuma ini sepanjang berkhidmat di bidang ini yang sentiasa berhadapan dengan ibu-ibu yang sedang bertarung nyawa ni, secara peribadinya, saya TIDAK menggalakkan penggunaan air selusuh yg mengunakan bahan-ibu seperti yang saya nyatakan tadi. Ada banyak sebab mengapa saya tidak mengalakkan penggunaanya dan jika ada ahli debat yang sanggup berdebat, saya persilakan.
IBU BERPUASA
PERTAMA : Ibu digalakkan berpuasa sepanjang tempoh bersalin – yakni ibu-ibu yang sudah memasuki fasa aktif bersalin yang berada di dewan bersalin untuk menyediakan ibu jika berlaku sebarang kecemasan yang memerlukan pembedahan ceaserean , ibu itu sudah berpuasa dan boleh segera dilakukan pembedahan ke atasnya. Jadi jika air selusuh diberikan kepada ibu-ibu nak bersalin ini secara tak langsung akan memberikan risiko kepada ibu.
AIR SELUSUH ‘PAKSA’ PINTU RAHIM
KEDUA : Air selusuh ini seolah-olah memaksa pintu rahim terbuka sedangkan belum tiba waktunya untuk bersalin. Hal yang demikian akan menyebabkan ibu-ibu mengalami kesakitan yang amat sangat. Bukan kepalang sakitnya. Di mana, melalui pengalaman saya, hampir kesemua ibu yang mengamalkan air selusuh ini meracau dan tidak keruan akibat kesakitan yang melampaui biasa.
Artikel Menarik: [Cincin Ketat, kasut Tak Muat. Jangan CEmas, Ibu Hamil Mungkin Alami ‘Water Retention’]
Tambah menyedihkan, ada di antara mereka terpaksa kami tolak ke dewan bedah untuk pembedahan caeserean kerana pintu rahim langsung tidak terbuka sedangkan ibu tersebut dalam kesakitan yang amat sangat, berjam jam lamanya.
Kontraksi yang kerap ketika bersalin akibat air selusuh ini kadangkala menyebabkan peredaran darah pada bayi terganggu dan boleh mengakibatkan bayi lemas secara tidak semena-mena.
Pandangan peribadi saya kepada pasangan yang baru berkahwin, terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar, kalau boleh, janganlah mengharap kepada air selusuh ini. Lazimnya air selusuh ini bukan buatan sendiri, kadang kadang kita meminta orang lain yang buatkan, jadi kita tidak tahu apa yang terkandung dalam air tersebut.
Memang diakui, syaitan itu ada, bahkan di setiap pembuluh darah kita, syaitan itu akan melaluinya. Jika inginkan kesenangan dan kemudahan dalam bersalin, lakukanlah solat taubat, mohon keampunan kepada Allah, mohon dipermudahkan segala urusan, solat hajat. Minta ampun pada suami, kedua ibu bapa, dan para suami, ampunkan dosa dosa isteri. Insyallah, Allah itu akan ADA untuk kita.
KONTRAKSI ‘TERPAKSA’, SAKITNYA BUKAN MAIN!
Setiap kali, melihat pesakit yang mengamalkan air selusuh ini , sangat ‘terasa’ kesakitan para wanita itu, tapi apa kan daya. Kadang kala, kejahilan di atas ilmu yang ada membuatkan kita lupa, alpa dan lalai. Oleh itu, Allah sediakan masa 40 minggu bersamaan dengan 9 bulan untuk bersedia menghadapi semua itu.
Dan, yang terakhir pesanan saya, amalkanlah doa ini setiap masa – Laillahha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zholimin (Tiada Tuhan melainkan Engkau, Masa Suci Engkau, sesungguhnya aku dalam golongan orang yang menzalimi diri sendiri). Ini adalah doa Nabi Yunus ketika baginda ditelan oleh ikan Nun, di mana pada ketika itu baginda berpaling dari kaumnya yang enggan mengaku Allah itu sebagai Tuhan. Amalkan setiap kali musibah dan masalah melanda, insyallah akan melimpah Rahmat dari Yang Maha Berkuasa.
Artikel Menarik: [Jangan ‘Main Tipu’ Bila Kira Gerakan Bayi. Itu Tanda Dia Elok Dalam Tu!]
Saya bukan ustaz mahupun alim ulama, hanyalah manusia biasa yang menilai alam sekeliling, yang kadang-kadang terlupa, terlalai, penulisan kali ini, untuk diri saya sendiri dan pembaca yang disayangi.
SELUSUH TAK MEMUDAHKAN BERSALIN.
Semoga dengan penerangan dari Dr Izzat ini dapat memberi penjelasan kepada para ibu yang sedang ‘menunggu hari’ tentang penggunaan air selusuh untuk melancarkan proses kelahiran. Elakkan meminumnya untuk kebaikan ibu dan bayi dalam kandungan. Sebaiknya apabila datang kontraksi atau sebarang tanda untuk melahirkan, segeralah ke hospital untuk pemerhatian doktor dan juru rawat berpengalaman.
The post Air Selusuh ‘Paksa’ Sakit Kontraksi Sebelum Waktunya. Bahaya Untuk Ibu & Bayi! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/air-selusuh-paksa-sakit-kontraksi-sebelum-waktunya-bahaya-untuk-ibu-bayi/