Air Mutlak Maksud Jenis Kegunaan
Untuk bersuci, berwuduk dan sebagainya, kita mestilah menggunakan Air Mutlak untuk perkara-perkara tersebut.
Oleh kerana itulah kita wajar mengetahui mengenai air ini yang boleh digunakan untuk melaksanakan kehidupan seharian.
Kita perlulah memastikan air yang digunakan untuk membersihkan diri adalah daripada air yang suci supaya dapat bersuci dengan sempurna.
Maksud Air Mutlak
Apakah yang dimaksudkan dengan Air Mutlak?
Dalam tulisan Jawi (اءير مطلق), air ini bermaksud air suci yang tidak dicemari oleh sesuatu yang najis sehingga mengubah bau, rasa dan warna air tersebut.
Dalam erti kata lain, air ini ialah air yang belum bercampur dengan najis, air takungan yang lebih dari dua kolah dan air yang tidak digunakan lagi dan tidak bercampur dengan zat-zat yang lain.
Takrif air mutlak telah diberikan oleh Imam al-Syirazi dalam kitabnya al-Muhadzdzab:
Diharuskan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis dengan air mutlak, iaitu apa yang turun dari langit atau yang membuak dari bumi. Maka, apa yang turun dari langit itu ialah air hujan, dan cairan salji dan embun. Asal tentang fakta ini ialah firman-Nya Azza wa Jalla:
وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya,”
Syarat Air Mutlak
Air ini masih dikira Mutlak jika memenuhi syarat-syarat berikut:
Masih kekal dalam keadaan yang asal. Iaitu tidak berubah salah satu daripada tiga sifat-sifatnya; bau, rasa dan warna.
Berubah dengan sesuatu yang tidak menghilangkan kesuciannya seperti tanah yang suci, atau garam, atau rumpai air.
Belum pernah digunakan untuk mengangkat hadas kecil atau besar, jika air tersebut kurang daripada dua qullah.
Air Mutlak Yang Berubah Tetapi Suci
Jika air tersebut berubah sedikit disebabkan sesuatu yang suci (bukan najis), ianya tidak memberi kesan kepada kesucian air tersebut, walaupun perubahan itu telah lama berlaku atau perubahan yang terlalu ketara.
Antara benda yang boleh menyebabkan air tersebut berubah disebabkan benda yang suci ialah:
Tanah.
Kiambang atau tumbuh-tumbuhan air.
Daun pokok yang tumbuh berhampiran sumber air.
Sulfur dalam tanah.
Kapur tohor (kalsium oksida).
Air garam.
Asfalt (asphalt).
Ini juga termasuk dengan air sukatan dua qullah yang tidak berubah rasa, bau dan warna, tetap dikira sebagai suci lagi menyucikan.
Jenis Air Mutlak
Terdapat 7 jenis air ini iaitu:
Air sungai
Air perigi
Air hujan
Air laut
Air embun
Air mata air
Air salji
Kegunaan Air Mutlak
Terdapat 2 kegunaan utama air ini iaitu:
Digunakan untuk mandi, berwuduk, dan menghilangkan najis.
Digunakan untuk membasuh dan memasak.
Adab Menggunakan Air
Antara adab-adab menggunakan air adalah:
Menutup paip selepas digunakan.
Menggunakan air mengikut keperluan.
Tidak membuang sampah kedalam laut dan sungai.
Sumber:
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3895-al-kafi-1482-bersuci-dengan-air-tadahan-pendingin-hawa
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/air-mutlak/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=air-mutlak