Air Mata Kucing Bukan Tanda Emosi Ini Penjelasan Saintifik Yang Ramai Tak Tahu
Air Mata Kucing Bukan Tanda Emosi, Ini Penjelasan Saintifik Yang Ramai Tak Tahu
Kucing merupakan antara haiwan yang paling mudah menarik perhatian manusia. Dengan bulu yang lembut, mata yang tajam dan gelagatnya yang lincah, kucing sering dianggap haiwan yang penuh dengan keunikan tersendiri.
Walaupun nampak bebas dan berdikari, kucing sebenarnya haiwan yang sensitif dan mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan emosi.
Kalau kucing gembira, kita boleh nampak melalui gelagatnya yang aktif, suka bermain dan kadang-kadang melompat ke sana sini.
Namun, kalau ia sedih pula, adakah kita boleh nampak melalui air matanya? Adakah benar kucing akan “menangis” seperti manusia?
Justeru, hari ini SK akan kongsikan penjelasan doktor haiwan tentang kucing yang mengeluarkan air mata dan mengapa ianya boleh terjadi.
Adakah kucing menangis?
Menurut Reader’s Digest, titisan air mata yang keluar daripada mata kucing sememangnya benar. Sama seperti manusia, kucing juga menghasilkan air mata bagi memastikan mata mereka sentiasa lembap.
Namun begitu, air mata yang dihasilkan oleh kucing berbeza daripada manusia. Ia bukanlah tanda emosi seperti sedih atau terharu, sebaliknya berpunca daripada keadaan fizikal tertentu
“Saya sering menerima kucing dengan masalah mata berair yang berlebihan, dan biasanya ada sebab-sebab tertentu di sebaliknya
“Tetapi apa yang pasti, ia bukan kerana kucing anda sedang bersedih,” ujar Dr. Saffire.
Apa punca mata kucing berair secara berlebihan?
Selain itu, Dr. Saffire turut menjelaskan istilah kucing mengeluarkan air mata berlebihan ini digelar Epiphora dari segi perubatan.
“Ia sebenarnya sangat biasa berlaku dan berpunca dari masalah ringan seperti alahan atau bulu yang termasuk dalam mata. Namun, ianya juga boleh terjadi kerana penyakit mata yang serius,” katanya lagi.
Difahamkan, antara punca utama kucing kelihatan seperti menangis ialah
Alahan
Berbanding anjing atau manusia, alahan jarang berlaku pada kucing.
Namun, ia tetap boleh terjadi. Apabila alahan kucing berlaku, kucing mungkin akan mengalami mata berair yang kelihatan seperti sedang menangis.
“Selalunya, kucing mengalami alahan terhadap persekitaran. Apabila musim berubah, ada kucing yang sensitif terhadap debunga
“Pencetusnya selalu datang daripada pasir najis (cat litter) yang terlalu berdebu dan menyebabkan iritasi pada mata,” tambahnya lagi.
Jangkitan pernafasan
Masalah ini boleh berpunca daripada jangkitan bakteria atau virus, dan biasanya menyebabkan simptom seperti mata berair, bersin, serta hingus atau hidung tersumbat.
Menurut Dr. Saffire, banyak kucing dijangkiti feline herpesvirus (FHV) sejak kecil kerana virus ini mudah merebak, terutama bagi kucing yang hidup di luar atau di pusat perlindungan.
“Sistem imun mereka biasanya mampu mengawalnya, tetapi apabila berada dalam keadaan tertekan, virus tersebut boleh aktif semula dan menyebabkan kucing jatuh sakit,” jelasnya.
Ulser kornea
Menurut Reader’s Digest, ulser kornea ialah luka kecil pada bahagian hadapan mata (kornea).
Ia selalunya berlaku akibat kecederaan seperti cakaran semasa bergaduh dengan kucing lain atau geseran mata pada benda tajam seperti duri.
Selain itu, ulser juga boleh terbentuk akibat jangkitan bakteria, virus atau penyakit lain.
Ulser kornea booleh menyebabkan rasa sakit yang ketara. Kadang-kadang, kucing mungkin akan menutup mata separuh atau cuba mengelak daripada cahaya kerana tidak selesa.
“Kucing nampak seperti menangis sebenarnya kerana rasa pedih dan tidak selesa,” maklum Dr. Saffire.
Konjunktivitis (Pink eye)
Konjunktivitis ialah keradangan pada bahagian konjunktiva, iaitu tisu lembut yang melapisi bahagian dalam kelopak mata.
Ia boleh disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria, dan menyebabkan mata menjadi merah, bengkak, serta mengeluarkan air mata dan lendir.
Dr. Saffire menjelaskan yang konjunktivitis sangat sakit sehingga kucing yang mengalaminya sukar membuka mata kerana pedih.
Faktor genetik
Sesetengah baka kucing seperti Parsi dan Himalayan sering kelihatan seperti menangis disebabkan oleh bentuk mereka yang unik.
“Hidung yang pendek menyebabkan saluran air mata mereka juga lebih pendek daripada biasa
“Akibatnya, air mata yang sepatutnya mengalir ke belakang hidung tidak dapat disalurkan dengan sempurna, lalu menyebabkan lebihan air mata mengalir keluar dari mata,” ujarnya seperti yang dilaporkan dalam Reader’s Digest.
Baka seperti ini juga lebih mudah mengalami ulser kornea kerana mata mereka yang besar dan lebih terdedah kepada persekitaran.
Apa yang perlu dilakukan jika anda perasan mata kucing berair?
Reader’s Digest menasihatkan jika anda melihat kucing dengan mata berair atau keluar air mata secara berlebihan, sebaiknya bawa kucing berjumpa doktor haiwan.
Terutamanya jika keadaan itu baru berlaku atau disertai simptom lain seperti bersin, hingus, hilang selera makan atau lesu.
Menurut Dr. Saffire, kucing sangat pandai menyembunyikan rasa sakit atau penyakit yang dialami, jadi tanda-tanda awal kadang-kadang sangat halus dan sukar disedari.
“Apabila dibawa ke klinik, kami boleh lakukan pemeriksaan mata dengan lebih terperinci untuk mengetahui punca sebenar masalah tersebut,” jelasnya.
BACA: Pelik, Rupanya Ini Sebab Kucing Selalu Celup Dulu Air Sebelum Minum
Sumber: Reader’s Digest
The post Air Mata Kucing Bukan Tanda Emosi, Ini Penjelasan Saintifik Yang Ramai Tak Tahu appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/04/air-mata-kucing-bukan-tanda-emosi-ini-penjelasan-saintifik-yang-ramai-tak-tahu/