Ahmad Maslan Hanya Beritahu Salah Guna Kuasa Kerajaan Ph Tak Dibetulkan Pn Kata Najib
mykmu.net
January 8, 2021
Najib Razak tampil mempertahankan Ahmad Maslan dengan berkata, setiausaha agung Umno itu hanya memaklumkan ketidakadilan perundangan dan salah guna kuasa pentadbiran Pakatan Harapan tidak diperbetulkan kerajaan Perikatan Nasional, tanpa merujuk kes mahkamah “zalim” membabitkan dirinya atau pemimpin Umno lain.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahmad yang berkata, antara sebab Umno tidak menyokong PPBM kerana PN tidak sanggup menggugurkan beberapa kes.
“Dia (Ahmad) tidak merujuk kes-kes saya atau mana-mana kes pemimpin Umno, tetapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun. Kesemua melibatkan wang yang dibayar oleh saya sebelum PRU14.
“Kena tanya kenapa 80 pihak dikenakan notis sitaan dan 41 lagi didakwa dan dikompaun sehingga berpuluh kali ganda jumlah wang yang dibayar saya, sedangkan ianya melibatkan isu sama, iaitu menerima bayaran dari saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, beberapa pemimpin Umno, termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengkritik Ahmad atas kenyataannya itu yang disifatkan “pemikiran goreng pisang” dan bukan alasan berkualiti.
Majlis Kerja Tertinggi Umno akan mengadakan perhimpunan agung pada 31 Jan ini untuk menentukan sokongannya terhadap PPBM. Sebarang keputusan Umno menarik balik sokongan kepada PPBM dan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin akan mencetuskan kemungkinan pilihan raya umum diadakan.
Najib berkata, beberapa individu termasuk Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed turut menerima dana sama, namun mereka tidak dikenakan tindakan selepas meninggalkan Umno dan menyertai PPBM.
“Mas Ermieyati dan Mustapa menerima dana politik dari saya, tetapi mereka tidak diambil tindakan setelah lompat keluar Umno dan dilantik menjadi menteri penuh pula. Ahmad Maslan dan Shahrir Samad juga menerima dana politik dari saya.
“Mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan Umno dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah pula. Adakah ini adil? Patutkah Ahmad Maslan membisu saja dan tidak mengadu.”
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/01/ahmad-maslan-hanya-beritahu-salah-guna.html