Ahmad Maslan Bakal Jadi Menteri Ganti Kouta Tengku Zafrul
2 June 2025
Berikutan tindakan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO untuk menyertai PKR, ia secara langung juga membawa kepada beralihnya kerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri daripada milik UMNO kepada PKR.
Selain Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri secara terbuka meminta Perdana Menteri memberi satu lagi kerusi menteri kepada UMNO bagi menggantikan tempat Tengku Zafrul itu, beberapa pemimpinya yang lain, termasuk Ketua Pemuda, Dr Akmal Salleh turut menyokong penuh tuntutan tersebut.
Bahkan sebelum itu, Dr Akmal juga menggesa Tengku Zafrul mengosongkan kerusi menteri yang didudukinya kerana ia tegasnya, adalah lantikan atas kouta UMNO.
Azalina Othman Said pula mengingatkan, seseorang itu dilantik menteri adalah atas kouta parti, bukan melalui kapasiti peribadi.
Dalam waktu yang sama, Tengku Zafrul juga nampaknya sedar kerusi menteri yang didudukinya adalah melalui kouta UMNO, lalu beliau menyerahkan kepada Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk memutuskannya.
Makna kata, kalau Zahid Zahid berani angkat suara tinggi sikit untuk mendesak Anwar Ibrahim agar melantik seorang menteri baru daripada UMNO bagi menggantikan kerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dibawa lari kepada PKR itu, secara moralnya ia adalah tuntutan yang wajib dipenuhi dan tidak boleh dipandang sepi, bahkan perlu disegerakan.
Dengan adanya satu kerusi menteri daripada UMNO perlu diisi, ruang legar pencatur-pencatur politik UMNO ketika ini turut hangat dengan perbualan siapakah yang paling layak bagi mengisi tempat tersebut.
Secara umumnya, dua nama disebut-sebut oleh para pencatur sebagai paling layak menjadi pemimpin ketujuh UMNO untuk dilantik sebagai menteri dalam kerajaan perpaduan ini.
Calon pertama ialah Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli MT UMNO.
Sebelum ini, ketika Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri di mana ketika itu UMNO adalah juga sebahagian daripada kerajaan, Shamsul Anuar adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau tidak dilantik sebarang jawatan dan ketika era Anwar ini pula, beliau hanyalah Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Dengan pernah menjadi menteri dan kini hanya menjadi timbalan menteri, jika ada kekosongan seperti sekarang, bererti sesuailah beliau dinaikkan pangkat sebagai menteri semula.
Lagi pun, Shamsul Anuar diketahui memang merupakan penyokong setia kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Pemimpin UMNO kedua yang layak dijadikan menteri ialah Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia.
Sama seperti Shamsul Anuar, sebelum ini Noraini juga pernah memegang jawatan menteri iaitu Menteri Pengajian Tinggi di bawah era kepimpinan Muhyiddin.
Makanya, jika ada keperluan untuk mengisi jawatan menteri, Noraini adalah calon yang wajar dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat semula.
Tambahan lagi, beliau juga berjawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, sayap penting dalam memeriahkan majlis serta program-program parti.
Begitu pun, di celah-celah dua nama itu menjadi sebutan di kalangan pencatur-pencatur politik UMNO, dikatakan turut muncul nama ketiga yang juga amat berminat untuk menjadi menteri iaitu Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya sekarang.
Diperkatakan di kalangan para pencatur politik UMNO bahawa Ahmad Maslan turut berminat kerana bersandarkan hujah bahawa beliau sudah lama menjadi Timbalan Menteri di pelbagai kementerian sejak era Najib Razak lagi.
Kononnya kini sudah sampailah masanya untuk beliau dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh pula.
Senada dengan keinginan Ahli Parlimen Pontian itu, pencatur-pencatur politik UMNO juga merasakan peluang kali ini lebih memihak kepada Ahmad Maslan.
Ia antaranya kerana beliau dikatakan lebih menonjol dalam memuji Perdana Menteri berbanding Shamsul Anuar dan Noraini, selain sudah tentu tidak pernah ketinggalan berdiri teguh di belakang Ahmad Zahid Hamidi.
Meski Ahmad Maslan sebelum ini agak kerap dan keras menolak Anwar sebagai Perdana Menteri, termasuk menggelarnya sebagai “PM Tepi”, tetapi beliau kini sudah beralih arah dan pujiannya sekarang tidak dinafikan amat menyenangkan hati Perdana Menteri.
Dalam satu video yang tersebar, beliau ada berkata – nama saya Ahmad dan orang panggil Mad, nama isteri saya Noraini dan orang panggil Ani, bila dicantumkan ia menjadi Madani.
Macam ini punya lambung, takkan tak dapat jadi menteri lagi?, demikian kata pencatur-pencatur politik UMNO membuat kesimpulan. – ShahbudinHusin 02Jun2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/06/ahmad-maslan-bakal-dilantik-menteri-ganti-kouta-tengku-zafrul/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/ahmad-maslan-bakal-jadi-menteri-ganti.html