Ahli Parlimen Umno Diberi Tempoh 48 Jam Tarik Diri Atau Dipecat
                                Oleh Wartawan UtusanTV                                                                                                                                                                                                                                             

                   KHABARNYA, kepemimpinan tertinggi UMNO mula memberi tekanan kepada  ahli-ahli Parlimen parti itu yang berada dalam Kerajaan Perikatan  Nasional (PN).
   Mereka dikatakan diberikan tempoh 48 jam sama ada menarik sokongan  kepada Kerajaan PN dan perlu meletakkan jawatan dalam Kabinet atau GLC  jika tidak mahu dipecat.
          Sumber mendakwa, seorang pemimpin tertinggi parti dikatakan menghubungi sendiri ahli-ahli Parlimen terlibat.
   Walaupun tidak dipastikan sejauh manakah kebenaran berita tersebut  namun sudah ada cakap-cakap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid  Hamidi dikatakan tertekan selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO  menarik sokongan kepada Kerajaan PN seolah-olah tidak dipedulikan oleh  ahli-ahli Parlimen berkenaan.
   Hanya beberapa orang sahaja ahli Parlimen yang menyokong keputusan  MT, walaupun langkah itu turut disokong oleh dua pemimpin berpengaruh  dalam UMNO iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan  Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
   Pada masa sama tiga lagi anggota Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC masih kekal dalam Kerajaan PN.
   Persoalannya, adakah UMNO akan benar-benar memecat ahli-ahli Parlimen  berkenaan memandangkan ia akan menyebabkan jumlah kerusi parti itu akan  berkurangan secara drastik?
   Selain itu adakah tindakan tersebut akan mengubah perkenan Yang  di-Pertuan Agong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya satu undi  percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini? Ia memandangkan  sama ada seorang  Perdana Menteri kehilangan majoriti atau tidak, ia  perlu dibuktikan di Parlimen.
   Jika benar ahli-ahli Parlimen mahu dipecat apakah kesalahan mereka?  Kalau mereka dianggap mengingkari arahan parti atau melanggar dasar  parti, bagaimana pula dengan tindakan Ahmad Zahid yang mengutus surat  kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar  Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang beliau tidak nafikan sehingga  kini?
   Bagaimana pula dengan rakaman audi mirip suara beliau berbual dengan  Anwar. Walaupun Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dan menganggap ia  politik jijik serta berjanji membuat laporan polis namun sampai hari  ini tiada laporan polis dibuat.
   Lagi pula Perhimpunan Agung UMNO sudah memutuskan bahawa parti itu akan berada dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan? 
   Sedangkan alasan tindakan UMNO menarik diri daripada Kerajaan PN  seperti mana diumumkan Ahmad Zahid mula dipersoalkan memandangkan  semalam Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan Muhyiddin  berhubung soal undi percaya yang sekaligus membuktikan hubungan antara  Kerajaan dan Istana adalah baik – tidak timbul soal penderhakaan.
   UtusanTV telah menghubungi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad  Maslan melalui aplikasi WhatsaApp bagi mendapat pengesahan berhubung  tempoh 48 jam tersebut.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ahli-parlimen-umno-diberi-tempoh-48-jam.html