Ahli Parlimen Ph Persoal Tiada Tindakan Ke Atas Suspek Dalam Kematian Adib
Mohamad Fadli -September 21, 2021
Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Sept 2019 memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengapa tiada tindakan diambil terhadap suspek dalam kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, semua Ahli Parlimen pembangkang mahu suspek terlibat dihadapkan ke mahkamah bagi membela kematian Adib.
“Baru-baru ini, saya usulkan kepada Dewan ini untuk membincangkan kes Adib, di mana usul saya telah ditolak Speaker Dewan Rakyat.
“Kita tahu Adib meninggal dunia pada 2018. Sehingga sekarang, persoalan saya kenapa tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana suspek yang terlibat,” katanya ketika membahas titah diraja di Dewan Rakyat.
Beiau berkata, sepatutnya kes melibatkan kematian penjawat awam lebih cepat diselesaikan.
Tetapi, sehingga kini, katanya, selepas dua kali Menteri Dalam Negeri bertukar, kes Adib belum selesai.
“Di sini kita bincang tentang seorang anggota bomba dikatakan dibunuh.
“Maka, persoalan saya, kenapa sehingga sekarang suspek yang melakukan perkara ini terhadap Adib tidak dituduh? Saya merayu Menteri Dalam Negeri memberi jawapan.”
Adib, 24, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Tahun lalu, polis mencadangkan satu lagi inkues diadakan kerana terdapat beberapa saksi baharu yang akan memberi keterangan berhubung kematian Adib.
“Sehingga kini, 54 saksi baharu dirakamkan percakapan membabitkan saksi polis, saksi awam dan saksi pakar yang membawa kepada 115 orang dirakam percakapan sepanjang siasatan kes ini,” kata Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador pada 7 Ogos 2020.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/09/ahli-parlimen-ph-persoal-tiada-tindakan.html