Ahli Parlimen Perlu Runding Kerjasama Rentas Parti Penganalisis
azrulhakimieJangan jadikan rakyat sebagai mangsa pergolakan politik

		  			 			KUALA LUMPUR  – Tawaran-tawaran kerjasama dwipartisan yang dicadangkan oleh Perdana  Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertimbangkan dengan serius  dalam usaha melaksanakan reformasi undang-undang dan Parlimen ke arah  kestabilan politik negara.
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan  Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berpendapat tawaran yang  dicadangkan itu mempunyai impak baik jangka panjang kepada proses  demokrasi negara selain mampu mewujudkan senario politik lebih matang  dan berhemah.
Justeru katanya, Ahli Parlimen daripada  kerajaan mahupun pembangkang wajar mengambil peluang itu dengan  mengadakan rundingan untuk mencapai, menstabilkan atau melakukan  gencatan politik, agar tumpuan pemulihan kepada impak COVID-19 dapat  dilaksanakan.
“Kita harus melihat, sebenarnya tujuan  tawaran itu untuk melindungi dan mempertahankan institusi perlembangaan,  itu yang penting.
Perkara ini juga perlu diterjemah secara  rasional dan praktikal bukannya emosional semata…jika krisis ini  berterusan, pembangkang juga akan dipertanggungjawabkan kerana dilihat  tidak mahu melakukan reformasi parlimen dilaksanakan,” katanya ketika  menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara yang  disiarkan di Bernama TV, hari ini.
Program itu turut disertai Pengerusi  Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri  Baharuddin, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran  Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub dan Pengurus Unit Demokrasi  dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Aira  Azhari.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan cadangan  rangka persefahaman rentas parti yang mengandungi tujuh perkara yang  akan dilaksanakan kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap beliau  diluluskan di Dewan Rakyat termasuk tawaran tempoh jawatan Perdana  Menteri terhad kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang  Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,
Tawaran lain, keseimbangan jumlah  keanggotaan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa  Pilihan Khas Parlimen, serta pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu  pelaksanaan pendaftaran automatik serta rang undang-undang termasuk  belanjawan akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen  sebelum dibentang di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat pelbagai reaksi daripada parti-parti politik tempatan termasuk parti pembangkang.
Mengulas lanjut, Sivamurugan  bagaimanapun melihat proses untuk mencapai persefahaman itu agak sukar  ketika kini kerana pendirian pembangkang nampaknya hanya mahu melihat  keabsahan serta kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Proses pemulihan krisis kesihatan dan  krisis politik ini tidak dapat dicapai tanpa dua pihak (kerajaan dan  pembangkang) bersedia untuk berkorban dan berkompromi dengan tawaran  itu.
“Sekarang ini bukan masa untuk rebut  jawatan perdana menteri tapi rebut hati rakyat yang sedang menderita…  usah terus memangsakan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata  tawaran yang dikemukakan perdana menteri itu bukannya “jalan mati”  politik negara, sebaliknya permulaan untuk nafas baharu dalam arena  politik tempatan dan kehendak rakyat.
Katanya tawaran itu jelas disertakan  dengan pelawaan kepada pembangkang untuk berunding dan membolehkan  terma-terma atau keputusan akhir tawaran berkenaan dipersetujui secara  konsensus.
“Elemen-elemen menolak sepenuhnya  mempamerkan ada ahli politik yang tidak menunjukkan kematangan  mereka…seolah-olah tiada kesungguhan untuk bersama-sama membantu untuk  rakyat.
Kita tak mahu ahli politik ini dilihat  berjuang untuk ‘political survival’ (kelangsungan politik) semata,  sehingga mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ahli-parlimen-perlu-runding-kerjasama.html