Ahli Parlimen Bimbang Penahanan Pelancong Bawa Kesan Negatif
Jason Santos
-December 30, 2019 12:17 AM
Chan Foong Hin (kiri) dan Liew Vui Keong menyuarakan kebimbangan serta mencadangkan pindaan undang-undang selepas 4 pelancong China ditahan lebih 2 minggu di Sabah baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, undang-undang imigresen perlu dihormati, tetapi “penguatkuasaan keterlaluan” hanya akan membawa kesan negatif kepada Tahun Melawat Malaysia 2020, susulan penahanan 4 pelancong China lebih 2 minggu di Sabah.
“Sabah tidak boleh membenarkan ini berlaku lagi. Jangan ambil mudah ketibaan pelancong China. Ada banyak tempat menarik di kawasan lain di dunia ini untuk dilawati,” kata setiausaha DAP Sabah itu.
Penahanan 4 wanita China selama 18 hari dari 10 hingga 28 Dis lalu menimbulkan kebimbangan berhubung kesan ke atas industri pelancongan Sabah.
Pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin dilaporkan berkata, 4 wanita itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Shanghai pada 4 Dis lalu, tetapi pasport mereka tidak dicop di kaunter imigresen.
Mereka ditahan ketika pemeriksaan pasport di Lapangan Terbang Tawau pada 10 Dis lalu, selepas 6 hari melawat Tawau dan Semporna.
Pegawai imigresen berkata, mereka melanggar Akta Imigresen kerana gagal melaporkan diri ke kaunter imigresen setibanya di negara ini. Mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau 5 tahun penjara, jika sabit kesalahan.
Kes mereka hanya didengar di Mahkamah Sesyen Tawau semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 18 hari selepas 4 wanita itu mengaku bersalah gagal melaporkan diri ke kaunter imigresen setibanya di negara ini.
Kes itu mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang menggesa usaha dilakukan untuk memastikan pelancong asing dimaklumkan mengenai undang-undang imigresen Malaysia.
Christina berkata, beliau hanya tahu mengenai kes itu pada 24 Dis lalu, manakala Vui Keong pula akan membangkitkan isu itu di Kabinet dan mencadangkan pindaan undang-undang untuk membenarkan ikat jamin terhadap kesalahan sedemikian.
Konsulat jeneral China mengadu kejadian sama pernah berlaku beberapa kali.
Daily Express melaporkan 4 warga China termasuk seorang wanita mengandung ditahan di pusat tahanan Menggatal atas kesalahan sama pada Disember tahun lalu.
Akhbar itu melaporkan 4 wanita dalam kejadian terbaru ini ditahan lebih lama kerana tiada hakim yang boleh mendengar kes mereka disebabkan cuti perayaan.
Seramai 3.879 juta pelancong melawat Sabah pada 2018 dan menyumbang RM8.342 bilion kepada pendapatan negeri itu dengan pelancong China paling ramai, iaitu 593,623 orang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/12/ahli-parlimen-bimbang-penahanan.html