Agong Bukan Rubber Stamp Ikut Cakap Kerajaan Pn
Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri terhadap kenyataan Yang di-Pertuan Agong dianggap biadap apabila membayangkan seolah-olah Raja Berperlembagaan hanyalah ‘pak turut’ kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terpaksa menerima apa sahaja yang dinasihatkan oleh Jemaah Menteri.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Agong sewajarnya dianggap sebagai simbol kestabilan, perpaduan negara dan pelindung Perlembagaan Persekutuan di Malaysia, bukannya cop getah untuk meluluskan setiap Rang Undang-undang yang dibawa oleh kerajaan.
“Walaupun Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Seri Paduka Baginda perlu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri, amatlah salah untuk kita perlakukan Tuanku sebagai ‘rubber stamp’ Jemaah Menteri, atau sebagai ‘pak turut’ yang hanya mengikut segala arahan Jemaah Menteri walaupun nasihat itu jelas salah.
“Sebagai Raja Berperlembagaan, Seri Paduka Baginda mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat, hak untuk menasihati dan hak untuk memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
“Sebagai pelindung Perlembagaan Persekutan, Seri Paduka Baginda juga berhak menolak nasihat yang melanggari Perlembagaan atau cacat (defective). Tuanku juga berhak memberi peringatan atau teguran kepada Jemaah Menteri berkenaan sebarang cadangan yang melanggari Perlembagaan dan menasihati Jemaah Menteri untuk perbetulkan kecacatan atau kesalahan tersebut,” kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, Perkara 150(2C) dan (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara jelas Parlimen perlu memutuskan usul untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.
Manakala penerangan Menteri pada 24 Julai lalu dalam sesi mengadap Agong secara maya tidak memenuhi keperluan yang terkandung di dalam Perkara 150(2C) dan (3) tersebut.
“Seri Paduka Baginda amat tepat untuk mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara untuk membentangkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen untuk dibahas dan diputuskan sewaktu sidang khas yang bermula 26 Julai 2021.
“Takiyuddin Hassan dan Idrus Harun telah gagal menasihati Kerajaan untuk membentang Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan supaya boleh diputuskan Parlimen, dan dengan itu telah mengingkari titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Tambahan pula, Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 dengan berkata Ordinan-Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai walhal perkara tersebut tidak benar. Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan, dan pembatalan tersebut tiada di dalam Warta Kerajaan sehingga kini,” katanya.
Bertindak lebih jauh, menurut Saifuddin, kerajaan PN setelah dibidas oleh Agong pada 29 Julai gagal untuk memohon ampun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bertindak mengeluarkan kenyataan yang lebih mengeruhkan keadaan.
“Dalam keadaan ini, kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri telah merosakkan keadaan. Perdana Menteri dan Jemaah Menteri gagal memohon ampun di atas kesalahan yang telah mereka lakukan, malah dengan begitu biadabnya terus mempertikai dan mencabar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah salah bertindak.
“Oleh itu, Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri wajib meletakkan jawatan sekarang,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32684