Agong Bertindak Ikut Nasihat Kerajaan Kata Bekas Hakim Kanan Berhubung Darurat
 Farhira Farudin
 Gopal Sri Ram berkata sama  ada darurat ditamatkan atau Parlimen bersidang semula, Perlembagaan  jelas menetapkan kerajaan boleh buat keputusan. 

Bekas hakim Mahkamah  Persekutuan Gopal Sri Ram berkata peruntukan kuasa Agong jelas termaktub  dalam Perlembagaan. Gambar: Bernama     Sebarang keputusan untuk  menamatkan perintah darurat sememangnya terletak di tangan kerajaan pada  ketika ini, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan terkemuka susulan  timbul semula perbahasan mengenai kuasa Perlembagaan Agong.
Gopal Sri Ram, peguam terkemuka yang berkhidmat sebagai pendakwa raya  ad hoc di bawah kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan  Nasional ketika ini berkata, Agong tidak memiliki kuasa budi bicara  melainkan dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri, pembubaran  Parlimen, dan penganjuran mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata tiga perkara budi bicara ini jelas termaktub dalam Artikel 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
  “Hanya  dalam tiga perkara ini sahaja Agong memiliki budi bicara.  Perkara-perkara lain, beliau harus bertindak mengikut nasihat Kabinet,”  kata Sri Ram kepada MalaysiaNow.
Sebelum ini Sri Ram pernah mewakili pemimpin pembangkang Anwar  Ibrahim dalam rayuan kes liwat dan turut pernah dilantik kerajaan  sebagai ketua pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak,  Rosmah Mansor dan beberapa lagi tokoh yang terlibat dalam perbicaraan  kes 1MDB.
Ketika ditanya mengenai anggapan diuar-uarkan sebahagian ahli politik  dan sekutu-sekutu mereka dunia perundangan yang mengatakan Agong  memiliki kuasa menetapkan persidangan semula sesi Dewan Rakyat, Sri Ram  menegaskan tidak ada peruntukan kuasa sedemikian.
“Tiada pilihan lain. Agong mesti bertindak mengikut nasihat Kabinet. Itu menjawab semua persoalan anda,” katanya.
Beliau merujuk Artikel 40 dalam Perlembagaan yang menyebut Agong akan  bertindak “mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang  menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri”.
“Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau  undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki  bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan  nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut  nasihat itu,” kata klausa 1A Artikel 40 dalam Perlembagaan.
Sri Ram berkata dalam isu kuasa Agong untuk melanjutkan darurat, prinsip Perlembagaan tersebut turut terpakai.
  “Semuanya  dikawal oleh Kabinet,” kata bekas hakim tersebut yang berkhidmat di  Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dan pernah menghakimi lebih 800  kes mahkamah.
Beliau dianggap sebagai tokoh utama perundangan baik di mahkamah Malaysia mahu pun mahkamah Komanwel.
Sri Ram berkata tidak ada persoalan mengenai keabsahan undang-undang  darurat yang dikuatkuasakan ketika ini walaupun proses Parlimen tidak  berjalan.
Ini merupakan responsnya terhadap rungutan menggunakan Artikel 150  (3) yang mengatakan proklamasi darurat mesti dibentangkan di Dewan  Rakyat dan Dewan Negara tidak dituruti.
Katanya, sebarang proklamasi perlu dibentangkan di Parlimen mengikut Perlembagaan hanya apabila ia bersidang.
“Jadi apabila sidang Parlimen ditangguhkan, darurat boleh diteruskan,” tambahnya.
Pandangan Sri Ram ini menjawab pelbagai cadangan ahli politik  berhubung usaha membendung virus Covid-19 susulan keputusan Agong untuk  bertemu pemimpin parti-parti politik baru-baru ini.
Ketika ini, Dr Mahathir Mohamad menggesa untuk penubuhan Mageran  mirip seperti yang pernah ditubuhkan pada 1969 susulan rusuhan kaum,  Pemimpin PH pula menggesa supaya perintah darurat ditamatkan dan  Parlimen harus segera bersidang.
  Proklamasi  darurat diisytiharkan pada Januari lalu selepas peningkatan mendadak  kes Covid-19 selain beberapa ancaman dari sekumpulan ahli Parlimen Umno  untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin bagi menggulingkan  beliau.
Disebabkan blok pembangkang tidak memiliki angka majoriti untuk  menubuhkan kerajaan, langkah itu boleh menyebabkan berlakunya pilihan  raya mengejut, sebuah senario yang beberapa kali diberikan amaran Ketua  Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah agar dielakkan.
Muhyiddin dinamakan sebagai perdana menteri oleh Agong susulan  kejatuhan kerajaan PH pada awal 2020 juga berjanji mengadakan pilihan  raya bergantung situasi wabak Covid-19 dalam negara.
Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, kes Covid-19 terus meningkat.
Ledakan wabak itu menyebabkan kerajaan bersetuju untuk mengambil  langkah lebih ketat dengan mengenakan sekatan pergerakan penuh bulan  lalu bagi mengurangkan tekanan petugas kesihatan dan fasiliti hospital  di seluruh negara.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/agong-bertindak-ikut-nasihat-kerajaan.html