Adab Dalam Menziarahi Orang Sakit Dalam Islam
Bolehkah ustaz sebut secara ringkas adab menziarahi orang yang sakit?
Adab Dalam Menziarahi Orang Sakit Dalam Islam
Credit Pic : SUMBER
JAWAPAN :
Adab Dalam Menziarahi Orang Sakit Dalam Islam
Bermula ada-adab ziarah orang sakit sebagaimana disebut pada kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari itu ada sepuluh adab.
Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Ha
وَجُمْلَةُ آدَابِ عِيَادَةِ الْمَرِيضِ عَشَرَةُ أَشْيَاءَ وَمِنْهَا مَا لَا يَخْتَصُّ بِالْعِيَادَةِ أَنْ لَا يُقَابِلَ الْبَابَ عِنْدَ الِاسْتِئْذَانِ وَأَنْ يَدُقَّ الْبَابَ بِرِفْقٍ وَلَا يُبْهِمَ نَفْسَهُ بِأَنْ يَقُولَ أَنَا وَأَنْ لَا يَحْضُرَ فِي وَقْتٍ يَكُونُ غَيْرَ لَائِقٍ بِالْعِيَادَةِ كَوَقْتِ شُرْبِ الْمَرِيضِ الدَّوَاءَ وَأَنْ يُخَفِّفَ الْجُلُوسَ وَأَنْ يَغُضَّ الْبَصَرَ وَأَنْ يُقَلِّلَ السُّؤَالَ وَأَنْ يُظْهِرَ الرِّقَّةَ وَأَنْ يُخْلِصَ الدُّعَاءَ وَأَنْ يُوَسِّعَ لِلْمَرِيضِ فِي الْأَمَلِ وَيُعِينَهُ عَلَيْهِ بِالصَّبْرِ لِمَا فِيهِ مِنْ جَزِيلِ الْأَجْرِ وَيُحَذِّرَهُ مِنْ الْجَزَعِ لِمَا فِيهِ مِنْ الْوِزْرِ اهـ
Artinya : “Bermula jumlah adab-adab ziarah orang sakit itu ada sepuluh perkara.
Pertama :
وَمِنْهَا مَا لَا يَخْتَصُّ بِالْعِيَادَةِ أَنْ لَا يُقَابِلَ الْبَابَ عِنْدَ الِاسْتِئْذَانِ
Dan setengahnya ialah barang yang tidak tertentu dengan ziarah orang sakit sahaja yaitu tidak mengadap akan pintu ketika meminta izin (yakni ketika memberi salam).
Ini adalah kerana memelihara dari ternampak perkara yang tidak patut seperti suatu yang mengaibkan tuan rumah umpamanya jika berada di depan pintu. Maka yang afdhal hendaklah berdiri orang yang datang itu jauh sedikit dari pintu sekira-kira jika dibuka akan pintu rumah maka orang yang datang itu tidak nampak apa yang ada di dalam rumahnya.
Kedua :
وَأَنْ يَدُقَّ الْبَابَ بِرِفْقٍDan bahawa mengetuk akan pintu dengan perlahan.
Ini adalah kerana mengetuk pintu dengan kuat boleh mengejutkan tuan rumah dan jika ada di dalamnya orang yang sedang tidur atau sakit nescaya terganggu ia.
Ketiga :
وَلَا يُبْهِمَ نَفْسَهُ بِأَنْ يَقُولَ أَنَاDan tidak menyamarkan akan dirinya dengan bahawa hanya berkata : Aku.
Maksudnya hendaklah memberitahu dengan jelas olih orang yang datang ziarah itu seperti memberitahu nama penuhnya dan bukan hanya berkata ‘saya’ atau ‘aku ni’ kerana ia mendatangkan kesamaran atas tuan rumah yang bolih jadi takut mereka itu apabila tidak dapat mengenalinya atau lambat tuan rumah membuka pintu kerana hendak memastikan siapa yang telah datang itu.
Keempat :
وَأَنْ لَا يَحْضُرَ فِي وَقْتٍ يَكُونُ غَيْرَ لَائِقٍ بِالْعِيَادَةِ كَوَقْتِ شُرْبِ الْمَرِيضِ الدَّوَاءَDan tidak hadir pada waktu yang tidak layak dengan ziarah orang sakit seperti waktu orang sakit itu makan ubat.
Sungguhnya orang sakit itu akan terganggu jika datang tetamu ketika dia hendak dirawat atau hendak memakan akan ubat atau meletakkan akan ubat pada badannya yang sakit kerana bolih jadi dia tidak suka orang melihatnya. Begitu juga tidak elok ziarah ketika orang sedang tidur atau sedang makan.
Kelima :
وَأَنْ يُخَفِّفَ الْجُلُوسَDan meringankan akan duduk.
Ini adalah adab yang selalu ditinggalkan yaitu duduk lama dirumah yang diziarah. Hendaklah yang ziarah duduk sekejap sahaja kemudian meminta diri untuk pulang melainkan tuan rumah meminta dia duduk lebih lama maka tidaklah mengapa.
Keenam :
وَأَنْ يَغُضَّ الْبَصَرَDan memejamkan akan mata.
Maksudnya apabila ada di dalam rumah yang diziarah hendaklah tetamu tidak banyak melihat pada sekelilingnya lebih-lebih lagi kepada anggota badan orang yang sakit melainkan kerana perlu. Ini adalah kerana biasanya orang yang sakit tidak sempurna dalam memakai pakaian dan menutup aurat.
Ketujuh :
وَأَنْ يُقَلِّلَ السُّؤَالَDan mensedikitkan akan soalan.
Maksudnya jika hendak bertanya maka bertanyalah perkara yang ringan dan tidak membanyakkan tanya kepada orang sakit kerana bertnya perkara yang berat dan membanyakkan soalan atau menyoal perkara yang sulit dijawab akan memberatkan dan menyusahkan orang yang sakit itu.
Kedelapan :
وَأَنْ يُظْهِرَ الرِّقَّةَDan menzahirkan kasih sayang.
Yakni menunjukkan olih orang yang ziarah itu bahawa mereka sangat kasih kepada orang yang sakit itu kerana ia akan meringankan perasaannya yang sedang tertekan menghadapi penyakitnya.
Kesembilan :
وَأَنْ يُخْلِصَ الدُّعَاءَDan mengikhlaskan akan doa.
Kerana antara doa yang cepat dimakbulkan ialah doa dari hati yang ikhlas.
Kesepuluh :
وَأَنْ يُوَسِّعَ لِلْمَرِيضِ فِي الْأَمَلِ وَيُعِينَهُ عَلَيْهِ بِالصَّبْرِ لِمَا فِيهِ مِنْ جَزِيلِ الْأَجْرِ وَيُحَذِّرَهُ مِنْ الْجَزَعِ لِمَا فِيهِ مِنْ الْوِزْرِ
Dan bahawa memberikan keluasan kepada orang sakit pada harapan dan menolong orang sakit atasnya dengan bersabar bagi barang yang ada padanya daripada besarnya pahala dan menjauhkannya dari keluh kesah kerana ada padanya dosa.
Yakni orang yang ziarah hendaklah memberikan harapan kepada orang yang sakit seperti dikatanya : Aku lihat kamu semakin sihat atau penyakitmu ini tidak seberapa atau seumpamanya.
Dan hendaklah menjauhkan perkataan yang memendekkan harapan orang yang sakit seperti dikatanya : Kawan aku juga penyakitnya sama dengan penyakitmu tetapi dia hanya bertahan selama 3 hari sahaja misalnya atau dikatanya sakitmu ini jarang yang sembuh kebanyakkannya mati. Ini adalah ucapan yang sangat keji yang sangat dilarang olih syarak.
Dan orang yang ziarah hendaklah menasihati orang yang sakit itu supaya banyak bersabar dan redha dengan ketentuan Allah ke atasnya dan menjauhkan dari keluh kesah dan berkata-kata dengan perkataan yang sejuk hati orang sakit mendengarnya seperti menceritakan tentang janji Allah memberi pahala kepada orang sakit yang sabar dan redha dan Allah tidak suka kepada orang yang keluh kesah dan tidak sabar.
Wallahua’lam
SUMBER - Ustaz Azhar Idrus
Baca Juga : Doa Agar Hutang Cepat Selesai
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dakcaii.blogspot.com/2021/06/adab-dalam-menziarahi-orang-sakit-dalam.html