Ada Dalang Di Belakang Wan Ji Dakwa Ummah
Anne Muhammad     
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mempersoalkan  mengapa Wan Ji Wan Hussin masih boleh berceramah bebas walaupun telah  disabitkan bersalah menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris  Shah
Pengerusi Ummah Aminuddin Yahya berkata, tindakan Wan Ji  yang berceramah di sebuah Masjid Ahad lalu seolah-olah cuba mencetuskan  provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.
  Menurutnya, situasi berkenaan membuatkannya merasakan penceramah itu  tidak bergerak berseorangan dan ada pihak lain berada di belakangnya.
“Saya  nak sebut ‘TST’ iaitu tahu sama tahu. Saya rasa saya pernah dialog  dengan dia, saya tak mahu nyatakan lebih dari itu tapi saya yakin dia  tak bergerak berseorangan.
“(Sila) tafsir sendiri (siapa pihak  itu), bagi saya, saya tak rasa dia tak gerak sendirian,” katanya kepada  pemberita selepas menghadiri Majlis Kempen Membeli Produk Muslim dan  menandatangani usahasama antara Ummah Kohilal – Ummah dan Abata di Hotel  Putra Kuala Lumpur hari ini.
 Aminuddin juga turut diminta  menyebut siapa yang cuba mengaturkan Wan Ji untuk berbuat demikian,  beliau bagaimanapun hanya menjawab ringkas “itu buatlah andaian  sendiri”.
 Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas  pendirian Ummah adakah akan terus menerjah program Wan Ji seperti  dilakukan di Melaka baru-baru ini.
Ahad lalu Ummah mengadakan  bantahan di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal,  Melaka bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.
Bagaimanapun  kuliah itu - yang bertajuk Islam sebagai agama penyelamat kepada umat -  diteruskan selepas sejumlah anggota polis berjaya menyuraikan kumpulan  yang membantah di dalam masjid.
Mengulas lanjut, Aminuddin mahu  melihat kejadian itu dalam konteks yang lebih besar dan menyifatkan ia  seolah-olah ia strategi provokasi.
“Dia (pihak tersebut) tahu  orang tu (Wan Ji) macam tu, dia tonjolkan lagi (Wan Ji), ini seolah-olah  mencabar umat Islam,” katanya.
Aminddin juga berkata Ummah tidak menghalang Wan Ji untuk berceramah namun jangan hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja.
  “Kita tak boleh nak halang cuma bagi saya (jika) berlaku lagi peristiwa  seperti di Melaka kita jangan salahkan sebelah pihak. Itu sangat  penting bagi saya.
 “Sekarang orang nampak demo itu salah tapi  pengurusan masjid dan sikap ustaz (Wan Ji) itu sendiri yang masih nak  berceramah,” katanya.
 Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas Wan Ji berhubung dakwaan itu. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/ada-dalang-di-belakang-wan-ji-dakwa.html