Acik Gomen Memuncung Mulut Mof Arah Semua Kementerian Jabatan Ikat Perut Untuk Rakyat
The Reporter
Semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.
Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam' ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai kelmarin.
Menurut pekeliling itu, semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan dan CLBG hendaklah menyusun semula program/aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan tanpa menjejaskan program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.
Perbelanjaan mengurus semua entiti itu juga dikehendaki melaksanakan penjimatan untuk menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip dan peraturan ditetapkan bagi pengurusan kewangan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.
Susulan itu, semua pegawai pengawal kementerian, jabatan, agensi kerajaan adalah dikehendaki untuk mengambil langkah proaktif dalam mematuhi garis panduan yang dikeluarkan bersama surat pekeliling itu.
Langkah penjimatan perbelanjaan itu adalah bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.
Perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan bagi tahun ini adalah RM77.7 bilion, berbanding peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.
Kerajaan juga menyediakan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion untuk merangsang dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sejak 2020.
Langkah penjimatan sektor awam itu bakal menyaksikan penurunan dalam perbelanjaan mengurus, sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022.
Penjimatan itu mencakupi aspek Perjawatan, Penyusunan Semula Organisasi, Penubuhan Badan Berkanun atau Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG), Elaun Lebih Masa, Pertukaran ke Luar Stesen, Perjalanan Bertugas Rasmi di dalam Negeri, Perjalanan Bertugas Rasmi ke Luar Negara, Penginapan Di Dalam dan Luar Negara, Perbelanjaan Utiliti dan Barang Pakai Habis.
Turut disenaraikan adalah Sewaan Pejabat atau Peralatan Pejabat, Perolehan Aset Baharu, Penganjuran Acara, Majlis, Keraian Rasmi Kerajaan, Mesyuarat, Persidangan, Seminar atau Bengkel, Kempen, Promosi, Penajaan atau Pengiklanan dan Penyumberluaran (Outsourcing).
Pekeliling itu juga mengarahkan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan atau agensi hanya dibenarkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan tanpa tambahan bilangan jawatan dan implikasi kewangan.
Pewujudan jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti (trade-off) dan penempatan semula (redeployment) tanpa implikasi kewangan tambahan. Pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara dibenarkan dengan kawalan ketat.
Jawatan kosong yang tidak diisi melebihi dua tahun akan dimansuhkan.
Malah, penubuhan badan berkanun, CLBG atau entiti baharu lain tidak dibenarkan.
Ketua jabatan atau agensi dan pegawai yang memberi arahan juga perlu mengawal perbelanjaan kerja lebih masa selain pastikan kerja lebih masa itu benar-benar penting. Arahan kerja lebih masa juga mesti dikeluarkan secara bertulis.
Bagi perbelanjaan bertugas ke luar negara pula, ia hanya dibenarkan bagi urusan mesyuarat atau rundingan berjadual atau berkala atau persidangan yang diluluskan dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting serta memberi impak yang signifikan kepada kepentingan negara.
Selain itu, mesyuarat dan persidangan yang hanya diluluskan oleh Jemaah Menteri dan pegawai pengawal digalakkan mewakilkan kehadiran ke mesyuarat atau persidangan tertentu kepada duta atau ketua perwakilan Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran, tanpa penyertaan pegawai dari Malaysia atau penyertaan secara atas talian.
Hanya dua pegawai, termasuk wakil pejabat menteri/timbalan menteri dibenarkan mengiringi ketua delegasi, iaitu sama ada menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha, timbalan ketua setiausaha atau ketua jabatan, bagi negara yang mempunyai pejabat perwakilan Malaysia dan tidak lebih tiga pegawai bagi negara yang tidak mempunyai pejabat perwakilan Malaysia.
Kelonggaran kepada bilangan delegasi bagi mesyuarat berjadual atau yang bersifat teknikal serta tugasan luar negara berkaitan perolehan kerajaan yang diperuntukkan dalam klausa kontrak sesuatu perolehan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri atau Kementerian Kewangan.
Pekeliling itu juga menyebut, keutamaan penyertaan kursus atau latihan luar negara adalah secara dalam talian melainkan kursus yang bersifat teknikal, tiada kepakaran atau bidang khusus, dihadkan kepada seorang pegawai dengan sekali perjalanan sahaja dalam tempoh setahun; kursus atau latihan yang dibiayai sepenuhnya oleh penganjur atau dibiayai kerajaan asing dan institusi atau pertubuhan antarabangsa yang tidak membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
Arahan itu juga menyebut, pegawai tidak dibenarkan untuk menuntut sebarang perbezaan kadar kelayakan dengan kemudahan yang disediakan oleh penganjur.
Semua kementerian, jabatan dan agensi juga diarah melaksanakan penjimatan perbelanjaan utiliti seperti telekomunikasi, elektrik, air; memastikan barang pakai habis seperti alat tulis, kertas, digunakan dengan optimum bagi mengelakkan pembaziran.
Semua perbelanjaan bagi perolehan aset baharu termasuk kereta, perabot dan kelengkapan pejabat yang tidak mendesak yang belum dipesan atau ditandatangani hendaklah ditangguhkan kecuali dengan kelulusan khas Kementerian Kewangan.
Sumber: Berita Harian
July 16, 2022 at 06:00AM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://atmknews.blogspot.com/2022/07/acik-gomen-memuncung-mulut-mof-arah.html