8 Cadangan Tapau Untuk Istana Negara
Kredit: star.my
Semenjak kemelut politik melanda negara berikutan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri, ramai media menunggu di luar Istana Negara untuk mendapatkan berita terkini.
Namun begitu tugas membuatkan mereka perlu menunggu dalam suhu panas untuk masa yang lama. Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah telah mengedarkan makanan kepada para wartawan agar mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna.
Sultan Berjiwa Rakyat
Tindakan Yang di-Pertuan Agong telah memenangi hati rakyat Malaysia dan sedikit sebanyak mengalihkan perhatian kita daripada berita-berita politik yang serius.
Ramai rakyat Malaysia mengikuti perkembangan Yang di-Pertuan Agong dan juga aktiviti Istana Negara dengan meneka apakah menu seterusnya yang Sultan Abdullah dan seluruh isi istana akan kongsi bersama para wartawan kali ini.
Oleh itu, saya telah ke laman Instagram Butterkicap dan meminta rakan-rakan Butterkicap untuk berkongsi apakah idea-idea makan yang pihak istana dapat pertimbangkan untuk hari-hati seterusnya.
8 Cadangan Menyelerakan
Anda semua memang tidak mengecewakan. Pelbagai jawapan telah saya terima dan berikut merupakan 8 cadangan makanan yang saya rasakan cukup mengenyangkan dan menarik untuk pihak istana pertimbangkan.
Apapun, kita rakyat Malaysia, walau apapun kemelut yang kita hadapi, bab makanan masih kita utamakan!
Sate
Credit: vkeong.com
Menurut @linalunadnan, sate sepatutnya menjadi pemberian istana seterusnya.
Saya merasakan idea ini agak bernas juga kerana sate tak merenyahkan dan mudah untuk dinikmati oleh para wartawan yang bertugas.
Selain itu, sate dapat memberi sumber tenaga yang diperlukan tanpa membuatkan para wartawan berasa lemah dan pasif.
Nasi Kukus Kak Wok
Vkeong.com
Menurut pengguna @thasha_gunaseelan, nasi kukus kak wok menjadi pilihan.
Hal ini demikian kerana nasi kak wok merupakan hidangan lengkap yang memberikan tenaga yang mencukupi kepada para wartawan yang bertugas.
Nasi Goreng
Menurut pengguna @_nisa.2i_, nasi goreng lebih praktikal.
Saya setuju dengan Nisa kerana nasi goreng mudah untuk disediakan, cepat untuk disediakan dan paling penting, tak memerlukan usaha yang banyak untuk disiapkan.
Dengan melihat kuantiti yang perlu disediakan oleh pihak istana, nasi goreng sememangnya satu cadangan yang baik.
Sandwic
Bagi pengguna @maznimustafa01, sandwic lebih praktikal.
Sandwic merupakan hidangan yang ringan tapi mengenyangkan. Selain itu, pelbagai variasi sandwic dapat disediakan dan dinikmati secara ‘on-the-go’.
Kalau-kalau ada kakitangan istana negara yang membaca, saya ingin cadangkan satu resepi sandwic yang pasti membuatkan istana negara menjadi lebih viral lagi!
Nasi Beriani Gam Johor
Kredit: The Vocket
Menurut pengguna @sakinahaqlh, nasi beriani gam Johor adalah satu cadangan yang bagus.
Pemberian nasi beriani ini boleh mengingatkan orang ramai tentang negeri kelahiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Namun begitu, lebih baik tunggu hari Jumaat kalau pihak istana berkira-kira untuk beri nasi beriani kepada para wartawan. Tak adalah mereka berasa lesu untuk teruskan kerja nanti!
Daging Dendeng
Menurut pengguna @plainwisteria, daging dendeng merupakan idea yang bernas.
Saya merasakan idea ini adalah suatu idea yang kreatif kerana daging dendeng boleh dimakan dengan apa saja, baik roti mahupun nasi dan jika tidak dimakan terus, tidak akan cepat basi dan masih dapat dinikmati kemudian.
Saya tak tahu pasal anda, tapi idea ini memang bagus!
Nasi Tomato Ayam Masak Merah
Kredit: Eny Abdullah
Menurut pengguna @sugarloucakes, nasi tomato ayam masak merah ialah cadangan pemberian makanan yang bagus.
Bagi saya, cadangan ini adalah satu hidangan pemberian atau jamuan yang klasik. Cepat, mudah dan semestinya mengenyangkan! Lagipun, siapa yang tak suka kombinasi nasi tomato dan ayam masak merah?
Nasi Lemak Kukus Ayam Berempah
Kredit: Che Nom
Akhirnya, kita dah sampai ke cadangan terakhir. Menurut pengguna @sunita_shaharin, nasi lemak kukus ayam berempah merupakan pilihan yang terbaik.
Semua orang sukakan ayam berempah, apatah lagi kalau dimakan bersama nasi lemak kukus. Memang menyelerakan dan pastinya membuatkan mood sesiapa saja bertambah baik, khususnya mereka yang berpanas sepanjang hari.
Kalau anda tiba-tiba teringin nak makan ayam goreng berempah, klik di sini untuk hasil ayam yang rangup, lembut dan lembap.
Menu Istana Seterusnya Ialah…
Memang banyak respons dan banyak cadangan yang bernas diberi. Namun begitu, apapun makanan yang ingin diberi oleh pihak istana adalah terpulang kepada mereka. Kita hanya boleh mencadangkan saja.
Apapun terima kasih kepada semua rakan Butterkicap yang sudi memberi respons kepada kami.
Namun begitu, perkara paling penting ialah kita patut mencontohi sikap prihatin dan murah hati Yang Dipertuan Agong dan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu walaupun pada waktu-waktu sukar seperti sekarang.
The post 8 Cadangan Tapau untuk Istana Negara appeared first on Butterkicap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.butterkicap.com/open-house/8-cadangan-tapau-untuk-istana-negara