5 Tips Menghindari Diri Daripada Berkata Bohong
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud;
“Tanda-tanda orang munafik itu ada 3 iaitu, apabila bercakap suka berbohong, apabila berjanji selalu memungkiri dan apabila diberi kepercayaan (amanah) dia khianat.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Hadis di atas menunjukkan bahawa berbohong merupakan salah satu ciri-ciri munafik. Tahukah anda apa itu munafik?
Munafik bermaksud berpura-pura mengikuti ajaran agama islam namun, tidak mengakui keislamannya di dalam hati. Dengan kata mudah, orang munafik itu hipokrit. Bibir kata lain, hati kata lain.
Tabiat suka berbohong ini terjadi apabila seseorang sudah pandai berkata bohong seawal usia kecil dan tidak mustahil tabiat ini mampu merebak sehinggalah meningkat dewasa.
Tabiat berbohong sukar dibuang kerana telah menjadi sebahagian daripada mainan lidah yang sudah terbiasa.
Kadangkala, manusia berbohong dalam gurauan atau perkara serius yang boleh mengundang prasangka dan dosa. Mungkin pembohongan yang dilakukan itu adalah tanpa sedar atau mungkin juga langsung tidak disengajakan.
Tetapi percayalah, jika sekali kita sudah mulai berbohong maka esok dan hari seterusnya akan menjadikan kita lebih senang meneruskan tabiat berbohong ini.
Pernah dengar tentang istilah ‘bohong sunat’? Selalukan. Apabila tengah seronok bercerita, tiba-tiba kita menambah kisah daripada kisah asal atau mereka cerita untuk memburukkan seseorang. Maka terpacul di bibir perkataan ‘bohong sunat.’
Sebenarnya, tiada istilah berbohong atau tipu sunat dalam Islam, melainkan semua jenis pembohongan itu haram dan berdosa.
Namun, ada sesetengah bohong yang diharuskan seperti ingin menyelamatkan akidah atau untuk mendamaikan orang yang bergaduh supaya tidak terputus hubungan silaturrahim dengan syarat pembohongan itu tidaklah melampaui batas dan ada hadnya yang tertentu.
Tabiat suka berbohong bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Ianya satu kemungkaran yang perlu dicegah. Perbuatan tersebut boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
Bahkan, Allah turut menegaskan bahawa perbuatan berbohong itu bukanlah datang dari orang yang beriman. Buktinya, Allah S.W.T berfirman dalam Al Quran yang bermaksud;
“Orang yang berdusta (berbohong) itu adalah orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka itu pendusta.”
Surah An Nahl :105
Berbohong bukanlah sifat muslim yang beriman. Justeru itu, perlu untuk kita mengetahui cara untuk mengelak atau menghentikan diri daripada perbuatan suka berbohong agar kehidupan diberkati Allah dan disenangi manusia.
#1- Ingat Bahawa Allah itu Maha Mengetahui
Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah maha melihat akan segala yang kamu kerjakan.”
Surah Al Hujuraat :18
Yakinlah bahawa setiap gerak-geri kita ada malaikat yang mengawasi. Walaupun satu dunia tidak tahu akan pembohongan kita, namun Allah itu Maha Mengetahui.
Sekecil mana pun kita berbohong, hatta dengan gurauan sekalipun, ia tetap berdosa apatah lagi berbohong tentang perkara serius dan melibatkan orang lain.
#2- Amalkan Sikap Suka Berterus-Terang
Kadang-kadang, mulut mengucap kata tanpa berfikir panjang. Terutamanya ketika kita membuat kesalahan. Kita menindakkan salah sendiri walhal, jika berterus-terang mungkin masalah dapat diselesaikan dengan pantas dan mudah.
Bersikap jujurlah pada diri dan orang lain, sesungguhnya ia dapat mengelakkan perasaan gelisah, susah hati dan takut andai kata setiap perbohongan yang dilakukan terbongkar.
Sikap jujur dan sentiasa berterus terang merupakan sikap terpuji yang perlu diterapkan dalam diri orang mukmin.
#3- Berhati-Hati Dalam Berkawan
Kita perlu melihat dengan siapa kita berkawan, adakah yang suka berbohong. Jika berbicara, suka mengumpat dan memfitnah. Jika berniaga, suka berbohong tentang timbangan, kualiti dan kuantiti.
Sebaiknya, hindarilah sahabat yang sebegini. Kita tidak mendapat sedikit pun manfaat daripada mereka malah, mungkin mendapat saham dosa.
Berhijrahlah! Carilah sahabat yang baik. Carilah sahabat yang selalu menasihati dengan kebaikan dan selalu menasihati dengan kesabaran.
#4- Fikir Akibat Dan Kesan Buruk Hasil Berbohong
Selalunya bila berbohong, kita tidak sempat berfikir tentang implikasi terhadap perbuatan bohong tersebut.
Sedarlah, mungkin disebabkan pembohongan kita, ada orang yang diberhentikan kerja, pasangan bercerai-berai, rezeki tidak berkat, hidup bergelumbang dengan pelbagai masalah.
Masyarakat sekeliling pula sukar untuk meletakkan kepercayaan serta bersikap prejudis atau bersangka buruk terhadap kita dan keluarga. Hasilnya, diri sendiri akan mudah rasa tertekan kerana hidup tidak seperti yang diinginkan.
#5- Sedar Akan Perbuatan Bohong Merupakan Dosa
Benar. Setiap manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan dosa, adalah mereka yang sentiasa bertaubat.
Beristigfarlah selalu. Cari keampunan Allah. Minta maaf sesama manusia. jauhilah daripada lidah yang berdusta.
Setiap kali ingin berbohong, ingatlah bahawa ianya salah satu ciri orang munafik dan perbuatan bohong itu adalah berdosa! Ingatlah, Nabi S.A.W pernah berpesan yang bermaksud;
“Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus lisannya (lidahnya)”
Riwayat Ahmad
Jadilah mukmin yang sejati serta hamba Allah yang beriman. Jadilah manusia yang sentiasa berjuang didunia menegakkan keadilan.
Sekalipun, bukan berjihad di medan perang, namun berjuanglah sedaya upaya menegakkan lisan. Jadilah insan yang jujur, amanah dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. InsyaAllah, moga beroleh syurga!
Sumber: Tazkirah.net
The post 5 Tips Menghindari Diri Daripada Berkata Bohong appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/5-tips-menghindari-diri-daripada-berkata-bohong/