5 Amalan Gaya Hidup Sihat
Nikmat sihat, paling terasa bila kita jatuh sakit. Setuju? Jadi sebenarnya amat penting tau untuk jaga kesihatan diri. Namun, penjagaan kesihatan diri yang baik adalah suatu proses yang berterusan dan bukanlah hanya suatu destinasi.
Dalam perkongsian kali ini, mari saya kongsikan 5 amalan gaya hidup sihat. Mudah-mudahan ia jadi sedikit panduan untuk kita sama-sama jaga kesihatan diri, okey?
Amalkan Selalu untuk Hidup Yang Kekal Sihat
1. Cukupkan minum air masak
Kira-kira 70% daripada tubuh kita terdiri daripada air, makanya air kosong memang penting! Antara fungsi air dalam badan ialah;
Menstabilkan suhu badan yang normalSebagai medium berlakunya semua proses-proses sel badanMengekalkan hidrasi
Seorang dewasa digalakkan minum sebanyak 2 Liter air kosong sehari. Ada juga pendapat yang mengatakan pengambilan air kosong mengikut berat badan, iaitu 1 L bagi setiap 25 kg berat.
Pendapat peribadi saya pula, mencadangkan minumlah air kosong setiap kali tekak rasa dahaga. Nak tahu pengambilan air sudah cukup atau belum, perhatikan warna air kencing anda. Jika ia jernih, tidak kuning bermaksud air kosong anda mencukupi. Simple kan?
2. Pengambilan diet yang seimbang
Bila bercakap tentang diet seimbang, kita boleh ambil saja panduan KKM iaitu piramid makanan dan pinggan sihat (suku-suku-separuh).
Dalam bidang nutrisi, ada 7 kelas makanan semuanya iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral, air dan pelawas. Untuk mendapatkan diet seimbang kita perlulah mengambil kesemua 7 jenis makanan ini, namun mestilah dalam kuantiti yang berpatutan.
Perkara yang patut dikurangkan dalam pemakanan seharian kita ialah lemak, garam dan gula putih. Selain itu, sebolehnya elakkan atau kurangkan makan makanan segera atau makanan yang diproses. Selain ia kurang berzat, makanan ini juga diletakkan perisa, perasa dan pengawet yang boleh menjejaskan kesihatan diri dalam jangka masa panjang.
Yang mungkin ramai terlepas pandang ialah pengambilan sayur dan buah-buahan setiap hari. Sayur dan buah sangat penting untul membekalkan vitamin, mineral dan pelawas. Jadi, tolong jangan skip! Jika rasa sukar untuk konsisten, bolehlah dapatkan multivitamin sebagai suplemen tambahan.
3. Bersenam
Ada yang rasa berat hati nak bersenam di sini? Jangan begitu! Bersenam, banyak manfaatnya.
Saya pernah berkongsi manfaat tentang bersenam di TikTok saya, antaranya
Bersenam meningkatkan kecergasan fizikal badan kitaBersenam meningkatkan tenaga harianBersenam boleh menguatkan jantungBersenam boleh meningkatkan mood gembiraBersenam boleh melambatkan masalah osteoporosis (tulang rapuh)
Menarik kan antara manfaat bersenam ni? Oleh itu, mari kita sama-sama jadikan senaman sebagai rutin hidup kita sebagai amalan gaya hidup sihat, in shaa Allah.
Jemput 'scan' dan follow saya di TikTok!
4. Tangani stres dengan baik
Hidup ini memang tidak lari daripada tekanan dan masalah, kerana memang lumrahnya begitu. Sebagai manusia yang Tuhan kurniakan akal, sebaiknya kita berusaha untuk dapat menangai stres dengan baik.
Menangani stres dengan baik termasuk dalam amalan gaya hidup sihat kerana ia menjamin kesejahteraan mental kita. Kesihatan mental adalah salah satu komponen sihat yang perlu kita titikberatkan, selain daripada kesihatan fizikal.
Sedikit perkongsian, saya suka mengikuti perkongsian pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria di TikTok atau Youtube Channel beliau tentang pengurusan stres yang baik. Salah satu kaedah dipanggil teknik ABC.
Tonton Teknik Pengurusan Stres ABC oleh Dr Rozanizam Zakaria.
Dapat sesuatu? InshaaAllah semoga bermanfaat hendaknya.
5. Tidur yang berkualiti
Kualiti tentu tidak sama dengan kuantiti. Tempoh masa tidur yang panjang tidak menjamin kualiti tidur yang baik. Namun, tidur yang berkualiti walau pun singkat sudah memadai untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran badan kita sehari-hari.
Banyak sumber yang mencadangkan untuk tidur 8 jam sehari bagi dewasa. Namun apa yang lebih utama ialah untuk pastikan tidur anda adalah tidur yang berkualiti, meski pun cukup 8 jam atau tidak.
Antara tanda-tanda tidur yang berkualiti ialah,
Bangun dalam keadaan yang segarTidak kerap terjaga dalam tidurMenghilangkan rasa letihTidak mudah stres Bertenaga dan tidak mengantuk di siang hari
Jadi, isu berapa jam tidur tidaklah begitu signifikan di sini. Andai tak dapat 8 jam sehari, tapi anda tidur dengan sangat baik, maka ia memadai sebagai amalan gaya hidup sihat. Jika dapat cukupkan 8 jam tidur setiap hari, tentulah lebih baik lagi.
Sedikit #hack yang saya mahu kongsi, jom cuba kita amalkan tidur sebelum pukul 12 malam seperti saranan Rasulullah saw yang menggalakkan tidur selepas waktu Isya'. Ini kerana, saya pernah terbaca, setiap jam yang kita tidur sebelum pukul 12 malam, kualitinya adalah 2x ganda berbanding kualiti waktu tidur selepas jam 12 (Wallahu'alam). Menarik kan! Cubalah, dan rasai perbezaan! Saya dah cuba, memang lain rasanya - dapat rasa tidur lebih lena dan berkualiti tempohnya. Dapat juga bangun awal untuk qiamullail tau!
Sekian dahulu perkongsian saya kali ini. Bertemu lagi next entry 😘
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bijak-ilmusihat.blogspot.com/2023/06/amalan-gaya-hidup-sihat.html