3 Ramadhan Wafatnya Fatimah Puteri Rasulullah
Tanggal 3 Ramadhan 11 Hijrah, wafat seorang penghulu wanita syurga, puteri Rasulullah ﷺ, Fatimah radhiallahu ‘anha. Kewafatan Fatimah hanya berselang enam bulan dari wafatnya ayahandanya, Rasulullah ﷺ. Jenazahnya dimakamkan di Baqi’.
Imam Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan: “Enam bulan setelah beliau wafat, puteri beliau Fatimah radhiallahu ‘anha wafat. Rasulullah ﷺ mengkhabarkan pada Fatimah, dia adalah orang pertama dari keluarganya yang akan menyusulnya. Beliau berkata kepada Fatimah: “Tidakkah engkau redha menjadi penghulu wanita di syurga?” Dia adalah puteri bongsu Nabi. Ini adalah pendapat yang masyhur. Tidak ada lagi anak Rasulullah yang masih hidup kecuali dia. Kerana itu, Allah besarkan pahala untuknya. Dialah (satu-satunya) anak Nabi yang merasakan kehilangan Rasulullah.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 6/365)
Banyak riwayat yang menerangkan tentang betapa cintanya Nabi ﷺ kepada Fatimah. Jika tiba dari safar atau pulang dari suatu peperangan, pertama kali yang dilakukan Nabi ﷺ adalah solat dua rakaat di masjid kemudian menemui Fatimah. Setelah itu baru menemui isteri-isterinya. Nabi ﷺ bersabda:
أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ: خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ
“Wanita-wanita terbaik di syurga iaitu; Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiyah binti Muzahim isteri Firaun.” (HR. Ibnu Abdil Bar, al-Isti’ab 2/113)
Nabi ﷺ menikahkan Fatimah dengan anak pakciknya, Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu. Pernikahan ini terjadi setelah hijrah, empat bulan setengah setelah Perang Badar. Dari pernikahan agung ini lahirlah Hassan, Hussain, Muhsin dan Ummu Kultsum. Di masa berikutnya Ummu Kultsum dinikahkan dengan Umar bin al-Khattab.
Diriwayatkan, ketika Rasulullah ﷺ menikahkannya dengan Fatimah, beliau menghantar Fatimah dengan membawa sebuah tilam, bantal kulit yang diisi serat pohon kurma, dua batu gilingan, bekas air dari kulit, dan dua periuk dari tanah.
Menjelang wafat, Fatimah radhiallahu ‘anha berwasiat kepada Asma binti Umais, isteri Abu Bakar as-Siddiq agar yang memandikan jenazahnya adalah dia, Ali bin Abi Talib dan Salma Ummu Rafi’ radhiallahu ‘anhum.
Sejarahwan berbeza pendapat berapa umur Fatimah radhiallahu ‘anha ketika wafat. Ada yang mengatakan 27, 28, atau 29 tahun. Solat jenazahnya sendiri diimamkan oleh Ali bin Abi Talib. Ada juga yang mengatakan al-Abbas atau Abu Bakar as-Siddiq.
+ Ustaz Nurfitri Hadi | Kisah Muslim
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/07/3-ramadhan-wafatnya-fatimah-puteri.html